NEELOFA Selebriti Pertama Malaysia Lancar Kasut Mewah Edisi Terhad Giuseppe Zanotti!

Wow, dalam diam rupa-rupanya Neelofa tengah rancak merencana masa depan dengan ramai designer luar negara! Kolaborasi terbarunya bukan calang-calang, Giuseppe Zanotti merupakan pereka kasut mewah terkenal kelahiran Itali dan rekaan kasut beliau sering digayakan selebriti terkemuka dunia antaranya Kim Kardashian, Lady Gaga dan Heidi Klum. Khabarnya, belum pernah lagi artis Malaysia menjalin kerjasama dengan pereka kasut hebat ini dan Neelofa pastinya menjadi personaliti pertama negara ini yang mendapat peluang keemasan tersebut. Kagum!

Penampilan Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor pada pertunjukan koleksi Giuseppe Zanotti Fall Winter 2019 di Milan, Februari lepas menjadi detik permulaan kepada kerjasama ini. Mereka berdua kemudian bertemu semula di Paris pada Jun lalu  untuk membincangkan secara terperinci mengenai rekaan kasut eksklusif yang diilhamkan oleh Neelofa sendiri. Tiga bulan seterusnya iaitu pada September, pengasas Naelofar Hijab ini sekali lagi bertemu Zanotti ketika dia menghadiri pertunjukan koleksi Women’s Spring Summer 2020 di Milan.

Teruja mendapat kepercayaan untuk menghasilkan rekaan istimewa ini di bawah label terkemuka, Giuseppe Zanotti… duta telefon pintar Oppo berkenaan berkata, “Ia merupakan impian bagi setiap wanita memiliki sepasang kasut yang direka khas untuk mereka sendiri daripada pereka ternama. Dan Giuseppe Zanotti sudah tentunya pereka impian yang diidam-idamkan saya selama ini.

Saya mula memiliki kasut ini sejak 10 tahun lepas dan ia seperti mimpi yang jadi nyata apabila Zanotti sudi mereka kasut yang mencermikan personaliti saya. Saya harap para peminat turut teruja dan suka dengan koleksi eksklusif ini.”

Sementara itu, Zanotti turut melahirkan penghargaannya terhadap Neelofa di atas kerjasama berkenaan. Katanya, “Neelofa adalah gambaran kepada karakter moden, wanita yang yakin dan bersifat unapologetic terhadap gaya pilihannya sendiri. Saya cukup gembira dapat mengenali dan berkerjasama dengan Neelofa dalam menghasilkan sepasang kasut sempurna untuk dirinya.”

Rekaan gaya ‘Dazzling Liza for Neelofa’ dan ‘Mirror Liza for Neelofa’ akan dilancarkan pada penghujung November ini sebagai sebahagian daripada koleksi Spring/Summer 2020 dan ditawarkan dalam kuantiti yang terhad hanya di butik Giuseppe Zanotti di Pavilion Kuala Lumpur.

Dazzling Liza for Neelofa

Mirror Liza for Neelofa

‘Dazzling Liza for Neelofa’ diperincikan dengan material suede

rona biru cair yang ditaburi dengan kilauan kristal sebagai simbolik kepada gaya yakin wanita feminin. Sementara ‘Mirror Liza for Neelofa’ pula dibaluti dengan material kulit rona silver/rose gold metallic.

Memang terinspirasi dengan kejayaan terbaru Neelofa. Nampaknya makin rancak usahawan muda ini membina nama dan legasi ke peringkat antarabangsa. Buat Lofa, syabas dan tahniah kerana bukan hanya mengangkat martabat wanita Islam di mata dunia bahkan secara tidak langsung berjaya menyerlahkan kredibiliti rakyat Malaysia!

 

 

Share
Published by
Suzi