Nekad Berpakaian Longgar Lepas Mengerjakan Haji, Penampilan RUBY CHE WAN Curi Tumpuan

Aura selebriti Rozita Che Wan bukan hanya menyinari dirinya sahaja malah adik-beradik perempuannya juga turut terkena tempias aura glamornya. Ayu Raudhah sudah tentu kerana melibatkan diri dalam dunia lakonan dan berkahwin dengan bintang bola sepak, Mohamad Zaquan Adha bin Abd. Radzak. Manakala kakaknya sulung dan adiknya, Datin Jaja Che Wan walaupun tidak terlibat dengan bidang seni namun turut dikenali ramai.

Foto: Instagram @rozitachewan1

Seorang lagi adik perempuan Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, Ruby Che Wan terlibat secara tidak langsung dalam dunia seni kerana menguruskan kerjaya seni suaminya, Lan Pet Pet. Penampilan Ruby yang kini selesa berpakaian longgar dan bertudung labuh telah mencuri perhatian dan ramai yang memujinya.

Foto: Instagram @rozitachewan1

Cerita Ruby tentang penghijrahannya, “Saya melakukan transformasi diri dengan melabuhkan sedikit tudung selepas pulang daripada mengerjakan haji. Perubahan ini berlaku apabila saya terfikir sudah beberapa kali mengerjakan umrah namun apabila tiba masa mahu meninggalkan tanah suci timbul rasa tidak seronok.

Ruby Che Wan bersama suaminya, Lan Pet Pet

Apabila saya berada di tanah suci dan kembali ke Malaysia umpama berada dalam dua dunia yang berbeza. Sepatutnya ke mana sahaja kita berada amalan dan pakaian kita adalah sama.

Oleh itu sejurus pulang daripada mengerjakan haji, saya nekad untuk mengubah penampilan. Penghijrahan ini bukan untuk menunjuk alim dan sebagainya tetapi mahu menyarung pakaian yang boleh di bawa solat tidak kira masa dan tidak kira tempat,” terang ibu kepada empat orang anak ini.

Tambah wanita yang mudah mesra ini, setiap kali menemani suami menghadiri majlis tertentu ramai wanita yang bertanya tentang pakaian yang tersarung di tubuhnya. “Memang baju dan tudung yang saya pakai sekarang tidak ada dijual di mana-mana. Rekaannya saya buat sendiri dan jahit sendiri.

Dahulu saya memang tidak suka menjahit dan hanya tahu mereka pakaian sahaja. Akibat takut tukang jahit tidak faham keinginan saya justeru saya jahit sendiri. Benar kata orang jika kita buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh pasti akan berjaya,” bicara Ruby tentang baju yang selalu dipakainya.

Pernah bertugas sebagai Perancang Kewangan, Ruby juga mempunyai pernah mempunyai rangkaian produk kecantikan di bawah RCW Beauty Empire. Kini Ruby mempunyai jenama pakaian sendiri di bawah label MaliqaJilbabSyari’i. Semoga Ruby terus sukses mengendalikan perniagaan yang dekat dengan hatinya.

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed