Setiap manusia boleh berubah. Sebab itulah orang kata jangan menilai seseorang daripada luaran sahaja. Sebaiknya, lihat pada dalamannya. Itulah yang terjadi pada seorang wanita bernama Jen Atkin yang nekad untuk mengubah bentuk bandannya kerana sering dihina gemuk oleh tunangnya sendiri.
Siapa tidak sedih jika perkara ini berlaku pada diri kita. Itulah yang dirasai oleh Jen Atkin. Dek kerana terlalu kecewa ditinggalkan oleh tunangnya, Jen nekad untuk membuktikan bahawasanya dia boleh menjadi cantik seperti wanita lain.
Buktinya ialah apabila dia menyertai pertandingan ratu cantik United Kingdom sekaligus dinobatkan sebagai juara.
Jen, 26, yang bekerja sebagai pentadbir di sebuah syarikat penerbangan dan menetap di Ulceby mula menjalani gaya hidup sihat selepas kejadian pahit dalam hidupnya itu. Dia kemudiannya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 50kg, turun daripada 107kg kepada 57kg ketika ini.
Jen muncul pemenang Miss Scunthorpe, sebelum menduduki tempat kedua dalam pertandingan Miss England pada 2018. Dia kemudiannya bersara daripada menyertai pertandingan namun ingin mencuba buat kali terakhir apabila namanya tersenarai dalam pertandingan Ratu Cantik United Kingdom ke-75.
Tuah memihak kepadanya apabila muncul sebagai pemenang dalam pertandingan yang diadakan di Leicester.
“Saya sangat terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang, tak boleh nak gambarkan perasaan saya sekarang.
“Pada mulanya saya hanya menyertai suka-suka. Tak sangka saya mampu pergi sejauh ini. Saya tak pernah terbayang langsung tentang ini 3 tahun lepas,” ujarnya.
Katanya lagi, dia mendapat ilham setelah melalui kisah duka akibat perbuatan bekas tunangnya.
“Saya menangis berminggu-minggu dan anggap hidup saya telah hancur.”
Kini, Jen telah berkahwin dengan kekasih baru dan menganggap kejayaannya ini ditujukan kepada bekas tunangnya.