Beruntung Datin Noor Kartini Noor Mohamed dikurniakan tubuh badan sihat dan rupa paras memikat. Meniti usia 57 tahun, pesona ibu kepada selebriti popular Noor Neelofa ini tidak perlu disangkal lagi.
8 Julai tahun ini genap 57 tahun usia Datin Noor Kartini. Masih sihat bertenaga dan aktif berniaga, tak dinafikan ibu sembilan cahaya mata yang juga nenek ini jelita dalam kelas tersendiri.
Melihat penampilannya, figura ini nyata lebih muda daripada usia sebenar. Bersandarkan status ibu selebriti, pastinya Datin Noor Kartini turut tidak terlepas menjadi perhatian khalayak.
Apatah lagi, anak-anak perempuan termasuk Noor Nabila, Athisha Khan dan Ameera Khan merupakan influencer popular.
Mesra disapa Datin Tini, isteri Dato’ Abdul Halim Khan ini pernah mendedahkan petua cantik sihat yang diamalkan ialah minum air putih.
“Sebenarnya, tiada sebarang petua yang saya amalkan. Saya hanya amalkan beberapa tip ringkas. Amalan penjagaan diri saya sungguh mudah. Setiap kali bangun tidur, saya akan terus menikmati secawan air putih.
Saya pernah membaca satu artikel mengenai kebaikan minum air putih untuk penjagaan diri. Jadi saya mengamalkan untuk minum air putih sewaktu bangun tidur, sebelum
mandi dan selepas mandi,” katanya yang memiliki darah keturunan Pakistan-Arab.
Dalam pada itu, Datin Tini juga mementingkan sikap positif dalam kehidupan seharian. Tambahnya, “Saya tidak menyimpan sebarang perkara negatif di dalam hati. Saya anggap cerita negatif sebagai satu perkara yang tidak mustahak selain mahu sentiasa kekal positif.
Selain itu, bercakap mengenai elemen kecergasan, saya juga mengamalkan senaman ringan seperti pilates dan yoga. Saya juga sering berjalan-jalan di sekitar taman selama
30 minit untuk kekal aktif,” terang anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.
Sembilan anak Datin Tini ialah Noor Sara Dinna, Noor Nabila, Noor Neelofa, Noor Nellisa, Nur Athira, Mohamed Aqief, Nur Athisha, Nur Ameera dan Mohamed Faliq.
Ibu berjiwa kental ini juga seorang usahawan berjaya yang menguruskan empayar produk Kucate, Young and Glow dan Aunty Tini Kitchen.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/kenal-3-hari-dah-ajak-kahwin-datin-noor-kartini-terharu-suami-terima-dirinya-ibu-tunggal-5-anak/