Tarikh istimewa 22 Februari 2022 merakam sejarah tersendiri buat penyanyi terkemuka Indonesia, Krisdayanti apabila selamat menimang cucu pertamanya pada usia 47 tahun.
Krisdayanti kini bergelar nenek apabila anaknya, Aurel Hermansyah selamat melahirkan cahaya mata pertama hasil perkongsian hidup dengan YouTuber sensasi Indonesia, Atta Halilintar. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 April 2021.
Bayi perempuan yang hanya digelar ‘Baby A’ itu dilahirkan jam 7.40 pagi waktu Indonesia dengan berat badan 3.32kg dan panjang 48cm.
“Alhamdulillah telah lahir cucu kesayangan kami, cahaya sempurna bagi keluarga.” Krisdayanti
Kedua ibu dan anak dilaporkan sihat dan berada dalam keadaan stabil. Pastinya Aurel bakal menjalani tempoh berpantang mengikut tradisi Indonesia, selain dijaga rapi oleh ibunya iaitu Krisdayanti dan ibu tiri, Ashanty.
KELUARGA
Momen kelahiran Baby A di Rumah Sakit Bunda Jakarta juga dihadiri ibu tiri Aurel, Ashanty dan bapanya Anang Hermansyah.
Sebelum ini, Krisdayanti dilihat begitu teruja ketika majlis sambutan kelahiran cucunya itu, dan tidak sabar untuk bergelar nenek.
Krisdayanti mempunyai dua anak termasuk Aurel, 23, dan Azriel, 21, hasil perkahwinannya dengan penyanyi Anang.
Bersama suaminya kini, Raul Limos, pelantun lagu Menghitung Hari itu mempunyai dua lagi anak Ariannha Amora Lemos, 10, dan Kellen Alexander Lemos, 9.
Krisdayanti yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam industri muzik Indonesia tidak sekadar sukses dalam kerjaya seni. Malah, dia juga bergelar ahli politik selepas melibatkan diri secara serius pada tahun 2019.
Mewakili parti DPR RQ dari PDIP, pelbagai program pembangunan telah dilaksanakan Krisdayanti termasuklah pembinaan Workshop Balai Latihan Kerja (BLK) Kejuruan Informatika yang menjadi tempat untuk memperkasakan wanita dalam perusahaan di Kabupaten Malang, Indonesia.
This website uses cookies.