Semalam, berlangsungnya majlis pernikahan dan persandingan adik perempuan kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Siti Nursairah Tarudin. Menggunakan khidmat perunding perkahwinan, Villa Busainna dan dekorasi dari Wedding Galore Sdn Bhd, perkahwinan Sairah bersama Mohd Sharidan Johari ini juga diserikan dengan kehadiran ahli keluarga dan beberapa rakan artis terdekat.
Selain tarikan majlis yang serba indah dan meriah, telatah comel anak-anak Sairah turut menarik perhatian. Paling mencuri tumpuan adalah anak sulung Sairah yang kini berusia 7 tahun iaitu Ummi Umairah atau Umai. Anak kecil ini kian menjadi bualan ramai apabila Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut memuat naik gambar bersama Umai yang jelas menunjukkan kemiripan wajah mereka berdua.
Dua orang lagi anak Sairah ialah Ahmad Daiyan dan Ahmad Aisy. Masing-masing berumur lingkungan 6 dan 4 tahun.
Mengimbas kembali momen Dato’ Sri Siti Nurhaliza bersama Umai, kanak-kanak perempuan ini juga pernah muncul dalam sebuah program TV bersama ibu saudaranya itu sekitar empat tahun lalu.
Malah, kalau mengikuti Instagram penyanyi nombor satu negara ini pasti anda sedar minat Umai yang gemar berdandan dan pandai menyanyi. Barangkali kerana darah seni yang mengalir dalam dirinya. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Mungkinkah puteri Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang bakal lahir Mac ini ada iras wajah Umai? Sama-sama kita nantikan.
Sumber foto: Instagram @ctdk, @sitisairahtarudin & @zaramizsdnbhd
“Dia Tegas Di Arena, Tapi Bila Bab Anak-Anak…” Nurul Farhana Kongsi Keperibadian Al Jufferi Dari Mata Seorang Isteri
Khabar persaraan diumumkan oleh jaguh pesilat negara, Al Jufferi Jamari cukup mengharukan apatah lagi dirinya baru melakar kejayaan melengkapkan koleksi kejuaraan dunia kali keempat merangkul pingat emas pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di MITC, Melaka. Ketika namanya berada di puncak, sudah pasti keputusan diambil tidak mudah apatah lagi Al Jufferi sudah mengabdikan dirinya dalam dunia persilatan sejak berusia 15 tahun lagi.
Namun, sudah tertulis di azali, dan punya alasannya yang tersendiri, berita persaraan pesilat berusia 30 tahun tersebut ternyata cukup pahit untuk ditelan terutama sekali peminat seni bela diri.
Ingin memfokuskan pada kesihatan diri, dan ingin meluangkan lebih masa dan memberi tumpuan pada keluarga dikatakan antara faktor utama pengunduran Al Jufferi.
Di sebalik duka dan tawa pencapaian dan kegagalannya, berselindung disebaliknya adalah isteri beliau, Nurul Farhana yang dikahwininya pada 3 November 2017. Tetap berada di sisinya, NONA berkesempatan menemubual Nurul Farhana, dan bertanyakan penerimaan, serta perancangan dan personaliti Al Jufferi yang tidak semua tahu dari kaca matanya sebagai seorang isteri.
NONA: Boleh kongsikan serba sedikit tentang diri anda?
NURUL FARHANA: Nama diberi, Nurul Farhana Binti Abd Majid, berumur 32 tahun dan berasal dari Johor. Saya juga merupakan bekas pesilat yg pernah mewakili negara semasa berumur 16 tahun. Ibu kepada 3 org pendekar cilik, iaitu Furqan Al Haq (4 tahun), Zimraan Al Qays (2 tahun) dan Daneer Al Arsh (10 bulan).
NONA: Boleh kongsikan momen perkenalan dengan Al Jufferi
NURUL FARHANA: Pada tahun 2015, saya menyertai pertandingan silat di Putrajaya bersempena Hari Belia Negara. Dan pada ketika itu, Jufferi juga terlibat dengan pelancaran One Silat di mana dia merupakan ikon One Silat ketika. Ketika itu, saya baru kenal siapa Mohd Al Jufferi. Itupun saya tengok dari gambar dan banner. Waktu itu, dia dah “spot” saya dari jauh. Tapi Jufferi tidak menegur saya, sebaliknya memilih platform Facebook as a medium to starts his conversation. Selama hampir 3 bulan perkenalan & berhubung secara maya, barulah kami bersemuka di Bedok Hall,Singapore. Sepanjang perkenalan, saya selesa berkawan dengann dia kerana dia seorang pendengar yang baik, menghiburkan, suka memberi nasihat dan sangat fleksibel.
NONA: Al Jufferi, bagaimana orangnya serta sikap dia di rumah?
NURUL FARHANA: Dia seorang yang matang dalam berbicara, dan dia juga suka mengalah. Selain suka menyanyi & melawak, dia juga pandai memasak. Serawa duriannya memang sedap. Sikap Jufferi terhadap anak-anak memandangkan semuanya lelaki, dia cukup tegas dari segi tutur kata dan perbuatan. Tapi anak-anak tetap nak tidur bawah lengan dia tiap-tiap malam. Meskipun dia tegas, tugas menguruskan anak seperti mandikan anak, sediakan makanan untuk anak-anak dan beri ubat chemo kepada anak sulung tetap dilakukan tiap-tiap hari.
NONA: Penerimaan Farhana bila suami mengatakan yang dirinya akan bersara dalam sukan persilatan?
NURUL FARHANA: Saya akur dengan kehendak dia, saya sendiri pernah menjadi pesilat. Kecederaan memang tak dapat nak dielakkan. Memandangkan Jufferi dah menyerahkan seluruh tenaga dan kudratnya pada negara selama lebih kurang 13 tahun, sudah pasti ada susut nilai ditubuhnya. Selain kecederaan serius di bahagian miniscus kiri, dislocated shoulder kanan, 9 muscles tear, bone plate yang masih melekat di tangan kiri selama 5 tahun, menjadikan asbab utama Jufferi untuk berehat panjang. Sebagai isteri saya hanya mampu teruskan sokongan kepada beliau lebih-lebih lagi ketika ini beliau bukan lagi aset negara.
NONA: Bagaimana Farhana dan suami mengekalkan keharmonian rumah tangga?
NURUL FARHANA: Kami sentiasa mengamalkan komunikasi yang baik. Ketika Jufferi menjadi ikon & aset negara, saya sentiasa berfikiran terbuka dari segi emosi & mental. Contohnya, ada kalanya waktu cuti yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga terpaksa dibatalkan dek kerana urusan atau program mengejut oleh pihak majikan. Sepanjang 5 tahun perkahwinan, kami mengamalkan mendiamkan diri jika terlalu sakit, dan jangan ditambah bara dengan kata-kata dan amarah hanya akan memburukkan keadaan.
NONA: Perancangan Farhana dan suami selepas ini memandang Al Jufferi akan bersara.
NURUL FARHANA: Perancangan lepas bersara memang tak boleh lari dari “silat” itu sendiri. Jufferi telah membangunkan Akademi Silat Semboyan Warrior hasil kerjasama dengan Semboyan Malaysia di bawah Yusuf Azmi. Selain turut menjadi pembantu jurulatih pasukan SUKMA negeri Pahang, perancangan ke arah perniagaan juga turut menjadi fokus utama Jufferi dalam meneruskan kelangsungan hidup keluarga kami.
Foto kredit: Instagram (@farhanamajid__/)
Tak Pasti, Jangan Layan! Kenali Modus Operandi SCAMMER & Elak Menjadi Mangsa
Gempar media sosial hari ini apabila pengasas kosmetik Qu Puteh, Datuk Seri Vida hampir kehilangan sejumlah wang akibat terpedaya dengan panggilan scammer. Meskipun si pelaku tidak berjaya mengeluarkan wang di akaun bank usahawan ini, namun kejadian tersebut benar-benar memberi kesan kepada Datuk Seri Vida.
KEPADA SEMUA….BERHATI HATI DENGAN PANGGILAN YANG DATANG KONON NYA DARI BANK ATAU BALAI POLISShit!! Syaitan!!Scammer.. saya hari ni 3 jam layan scammer….Saya Share cara mereka ni..Taktik mereka..Cara mrk Psyco..Supaya kita tak tertipu..Sentiasa dilindungi…JANGAN MUDAH PANIK..JANGAN MUDAH PERCAYA..Share..share ..share..SHARE SHARE SHARE.
Posted by Sayang-Sayang DSV on Monday, 20 November 2017
Berang dengan jenayah yang dilakukan sekumpulan individu tidak bermoral itu, beliau lantas memuat naik video peringatan buat orang ramai sejurus membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang, Perak.
Berdasarkan video yang berdurasi hampir 19 minit tersebut, Datuk Seri Vida berkata taktik yang dilakukan ‘golongan’ ini cukup terancang. Malah, beliau mengakui terkejut apabila dikhabarkan akaun bank miliknya terpaksa dibekukan kerana pinjaman RM30, 000 yang dibuat di Karamunsing, Sabah. Lebih mendebarkan Datuk Seri Vida, individu terbabit turut menyatakan pinjaman berkenaan ada kaitan dengan kes dadah.
“Saya terima call itu pukul 12.45 malam. Hampir 2 jam saya bercakap dengan orang itu. Dia memang pandai psiko kita. Bayangkan saya yang buat bisnes ini boleh dia psiko sedemikian rupa. Kalau orang yang tak tahu macam mana? Saya tengok ramai pesara kena sampai RM160 ribu, RM50 ribu, RM30 ribu … Tapi tadi Tuhan selamatkan saya. Dia sudah final stage nak keluarkan duit saya.
Mujur peguam saya datang dan beritahu itu scam. Saya jadi lembik kena soal siasat dan macam-macam. Pandai ‘trik’ dia sampai kita boleh tersangkut dalam perbualan dia, ” ujarnya sambil melahirkan rasa bimbang sekiranya perkara sama terjadi kepada individu lain.
TINDAKAN ANDA JIKA MENGALAMI SITUASI INI
Berdasarkan maklumat yang dinyatakan menerusi Portal Rasmi Polis Diraja Malaysia, sindiket penipuan seumpama ini didalangi oleh warga tempatan dan warga asing yang membuat panggilan telefon secara rambang dengan mendakwa mewakili mana-mana institusi kewangan. Panggilan tersebut dibuat bagi membuat pengesahan transaksi kad kredit yang kononnya milik anda. Taktik ini digunakan untuk memperdaya mangsa dan boleh menyebabkan kerugian berjumlah ribuan ringgit.
MODUS OPERANDI
1. Mangsa mendapat panggilan telefon mengatakan kad kreditnya di sebuah bank tempatan telah digunakan di sebuah pusat membeli-belah.
2. Mangsa menafikan beliau mempunyai sebarang kad kredit di bank tersebut dan sindiket berjanji akan berhubung dengan bank negara mengenai masalah tersebut.
3. Beberapa minit kemudian, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan yang kononnya dari bank negara dan meminta semua maklumat peribadi mangsa.
4. Bagi menyekat kad kredit supaya tidak disalahgunakan, mangsa diarahkan pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
5. Apabila sampai di ATM, mangsa sekali lagi menerima satu panggilan telefon yang memberikan arahan sehingga transaksi selesai.
6. Mangsa hanya sedar telah ditipu setelah transaksi selesai. Tanpa disedari mangsa telah membuat pemindahan wang kepada akaun pihak ketiga.
NASIHAT POLIS
1. Berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon oleh mana-mana individu yang mendakwa diri sebagai pegawai kerajaan atau swasta (pegawai polis, pegawai Bank Negara Malaysia atau pegawai bank) memaklumkan akaun bank anda digunakan oleh orang lain
2. Semak dengan pihak yang bertanggungjawab terlebih dahulu
3. Jangan menghubungi nombor telefon yang diberikan oleh mana-mana individu yang melalui telefon, sebaliknya hubungi nombor rasmi agensi tersebut
4. Untuk pertanyaan lanjut dan nasihat, sila hubungi Pusat Hubungan Pelanggan Bank Negara Malaysia (BNMTELELINK) di talian 1300-88-5465.
Cantiknya Miss Nepal 2018, Rupa- Rupanya Seorang Arkitek!
Beauty with brain! Seorang arkitek wanita bernama Shrinkhala Khatiwada telah dinobatkan sebagai Miss Nepal 2018 sekaligus merangkul gelaran Miss Best Hair. Shrinkhala yang berasal dari Hetauda seorang graduan Akademi Hetauda dan berpindah ke Kathmandu untuk melanjutkan pelajaran.
Wanita berusia 22 ini juga merupakan penduduk asli Hetauda, Khatiwada. Shrinkhala menewaskan 24 peserta lain untuk memenangi gelaran Miss Nepal 2018 pada edisi ke 23 Treasure Hidden Miss Nepal 2018.
Dari kecil lagi, Shrinkhala amat berminat dalam mereka bentuk dan merupakan seorang yang sangat kreatif. Beliau menyertai IOE, kolej kejuruteraan Pulchowk untuk Kejuruteraan Senibina.
Selain hobi rekabentuk dan menulis, beliau sangat bersemangat untuk menjadi salah seorang peserta Miss Universe 2018. Kini beliau mewakili Hetauda, Nepal dan bertanding dalam pertandingan ratu cantik yang sedang berlangsung di China.