Bila menyebut jenama BONIA, pasti ia begitu dekat di hati rakyat Malaysia. Mana tidaknya, cuba bongkar koleksi tas tangan milik ibu anda di dalam almari. Pasti terselit jenama BONIA sebagai tas tangan pilihan untuk digayakan ke tempat kerja.
Ya, jenama BONIA begitu sinonim untuk penulis memandangkan arwah ibu, seorang kakitangan kerajaan mempunyai beberapa koleksi tas tangan BONIA di dalam koleksinya. Sehingga ke hari ini, tas tangan tersebut masih kami simpan rapi sebagai memonto serta kenang-kenangan ‘membesar’ bersama jenama tas tangan kegemaran ibu.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1974, setiap koleksi BONIA menampilkan hasil kerja tangan yang halus serta mengetengahkan rekaan kontemporari mengikut peredaran masa. Selama hampir 46 tahun, jenama ini terus menghasilkan rekaan yang memenuhi citarasa pengguna dengan mengekalkan gaya yang everlasting, namun masih moden dan penuh citarasa tersendiri.
Baru-baru ini, BONIA memperkenalkan logo terbaharu mereka dikenali sebagai Neu B yang dihasilkan dengan gabungan koleksi kontemporari dinamik yang membawa revolusi terbaharu jenama tersebut menuju masa hadapan yang lebih gemilang.
Setelah empat dekad dalam industri fesyen serta melakar pelbagai sejarah, jenama yang bermula dengan pelbagai barangan berasaskan kulit ini kini lebih dikenali sebagai jenama gaya hidup yang kontemporari.
Jatuh cinta dengan logo terbaharu BONIA iaitu ‘neu-B’ kerana ia sekaligus melambangkan kematangan jenama tempatan itu dalam menyelusuri arus kemodenan. Malah, ia turut memberi penghargaan melalui rasa cinta pengasas jenama BONIA terhadap Italy di mana era renaissance dan historical sculptor Giambalogna menjadi antara sumber inspirasi.
Malah jenama fesyen tempatan ini melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan koleksi yang menawan dan memenuhi citarasa moden iaitu Neu Romantic.
Gabungan logo baharu dan koleksi terkini ini membawa jenama lebih dikenali tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan sejarah kegemilangan pembuatannya yang teliti dan halus.
Koleksi Neu Romantic bukan sahaja mempunyai pelbagai koleksi menarik untuk wanita, malah ia turut memberi tumpuan terhadap kaum lelaki yang gemar berfesyen. Istimewa untuk wanita, ia menampilkan empat siri untuk dijadikan pilihan iaitu Miley, Samothrace, Dravmo dan Meghan. Koleksi Miley direka untuk memenuhi gaya formal dan kasual, Samothrace pula menampilkan rekaan tote bag diinspirasi dari Winged Victory of Samothrace.
Manakala koleksi Aston mempunyai pelbagai fungsi diinspirasi dari gaya hidup masa kini.
Bijak menyesuaikan gaya hidup masa kini dengan koleksi yang dihasilkan, kisah di sebalik pengasas jenama BONIA ini juga tidak kurang hebatnya. Kisah kehidupannya keluarga yang hanya menyara kehidupan sebagai penoreh getah dan mempunyai adik-beradik yang ramai menjadi faktor Chiang Sang Sem terpaksa berhijrah ke Pulau Pinang untuk tinggal bersama bapa saudaranya.
Walaupun berjauhan dengan keluarga, rupanya ini menjadi titik tolak untuk dirinya lebih berdikari dan ‘belajar benda baharu’. Ketika usia baru mececah 15 tahun, dia bekerja kilang beg tangan bapa saudaranya dan memperolehi kemahiran melukis beg, menggunting, menjahit hingga siap sebuah beg tangan dengan upah RM15 sebulan.
Mengambil keputusan merantau ke Singapura pada tahun 1971 dan diterima bekerja di sebuah kilang membuat beg di sana, rupanya ia belum memberi kepuasan buat dirinya untuk berjaya.
Berbekalkan simpanan yang ada, Chiang memberanikan diri membuka sebuah kilang kecil di republik itu dengan memiliki tujuh orang pekerja.Hasil kerja keras tanpa mengenal penat dan jemu, Chiang memindahkan operasi ke Johor Bahru dan mula menghasilkan beg tangan untuk syarikat besar pula.
Kesempatan berkunjung ke Bologna,Itali pada tahun 1979 mencetuskan inspirasi buat Chiang untuk jenama beg tangan keluarannya dengan melihat nama Bologna yang diubah suai menjadi Bonia. Sejak itu, jenama Bonia mula bertapak di Kuala Lumpur!
Kini, setelah lebih 46 tahun di pasaran, ia mempunyai pelbagai koleksi untuk wanita, lelaki dan bersesuaian dengan apa sahaja acara yang bakal dihadiri. Rekaan Moden dalam kemasa tradisional yang halus dari segi pembuatannya menjadikan Neu B semakin dekat dihati rakyat Malaysia. Apatah lagi dalam situasi kini, promosi barangan jenama tempatan begitu rancak dicanang selaras untuk memperkembangkan ekonomi dalam negara demi memastikan jenama tempatan terus berdiri megah dan bersaing dengan jenama antarabangsa! Syabas!
This website uses cookies.