Niat Ke Mekah Sebelum Usia 40 Termakbul, JURUTERA WANITA Ini Teruja Dapat Kucup Hajarul Aswad

Apabila berada di tanah suci Mekah tiada lagi perbezaan darjat mahupun pangkat. Semua yang ada sama di sisi Allah SWT.

Pengalaman kali pertama menunaikan umrah pada Mac 2019 telah membawa perubahan besar dalam kehidupan jurutera wanita, Surina Mohd Zain. Ia juga mengajar Surina menjadi seorang yang redha dengan takdir Allah SWT.

Lebih membahagiakan Surina apabila niatnya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah sebelum usia 40 tahun termakbul.

“Setiap kali selesai solat saya sering berdoa semoga suatu hari nanti saya dapat ke tanah suci sebelum usia 40 tahun. Alhamdulillah doa saya dimakbulkan apabila pada Mac 2019 saya berpeluang menunaikan umrah untuk pertama kalinya pada usia 39 tahun.

Sejak dulu saya memang dah berniat, sebelum umur 40 tahun mesti ada turning points ke arah kebaikan termasuk tujuan hidup. Objektif hidup saya ialah berjaya di dunia dan akhirat.

Saya ke tanah suci pada 20-30 Mac 2019 diuruskan oleh agensi pelancongan berdaftar, Qalesya Travel & Services Sdn Bhd.

PENGALAMAN PERTAMA

Memandangkan ini pengalaman pertama saya, segala persiapan dilakukan sebaik mungkin. Sewaktu menjejakkan kaki ke tanah suci perasaan saya berlainan sekali, tidak seperti beberapa trip yang pernah saya pergi sebelum ini. Ia cukup membahagiakan dan menenangkan jiwa. Tak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Saya berpeluang menunaikan solat di Hijir Ismail selama 30 minit. Saya juga dapat mencium Hajarul Aswad dengan pertolongan 2 wanita dari Indonesia termasuk menjejakkan kaki ke Raudah. Saya dapat bersolat dan berdoa dengan selesa. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan atas izin-Nya.

Cuma saya tidak berkesempatan untuk melakukan tawaf wida’ kerana tiba-tiba datang haid. Selepas makan ubat, haid berhenti dan saya dapat meneruskan ibadah semula di Madinah.”

PERISTIWA MENAKJUBKAN

“Peristiwa ini terjadi ketika saya berniat hendak membawa kerusi wakaf masjid ke hotel atas sebab tertentu. Nak dijadikan cerita ketika saya hendak mengambilnya di masjid, kerusi itu dah tiada di tempatnya. Lantas saya berniat untuk mencarinya semula esok selepas Subuh. Saya kembali ke hotel.

Namun apa yang berlaku amat menakjubkan. Pulang saja dari menunaikan solat isyak di masjid saya terkejut apabila melihat kerusi itu ada di depan pintu bilik hotel. Subhanallah!”

TERUS ISTIQAMAH

“Pengalaman ke tanah suci telah menjadikan saya seorang yang lebih redha dengan takdir Allah SWT. Saya percaya kita mesti berbuat baik dalam apa jua perkara mahupun keadaan demi mendapatkan ganjaran kebaikan dari Allah SWT. Semuanya kerana Dia.

Bersama sahabat karib yang sentiasa setia di kala susah mahupun senang.

Bagi saya segala yang dilakukan mahupuan kejayaan adalah untuk dunia dan akhirat. Ia perlu selari dan berpandukan ajaran serta undang-undang Islam. Secara tak langsung saya dapat menjaga penampilan dan kelakuan dengan baik.

Impian saya selepas ini ialah untuk menunaikan ibadah haji pula. Never say good bye to Kaabah and Mecca. I will come back. Rindu sangat!”

Kredit Foto: Instagram Surina Mohd Zain

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad