Nieza Muslimah Salon jaga kebajikan pekerja, sediakan kondo penginapan percuma – Shasha Masrey. Tak ramai majikan prihatin dengan kebajikan pekerja khususnya menyediakan penginapan selesa buat pekerja. Namun sejak memulakan perniagaan salon muslimah lima tahun lalu, pemilik Nieza Salon, Shasha Masrey mengakui antara yang dititik beratkan  adalah menjaga kebajikan pekerja bagi pekerja  kekal selesa dan setia bersama-sama memajukan syarikat.

Ads

Sejak kecil sudah didedahkan dengan dunia salon, pengalaman pemilik Nieza Salon iaitu Shasha Masrey membesar dengan melihat ibunya menggunting rambut di sebuah salon di PPR Kerinchi, Pantai Dalam, membentuk jiwa usahawan yang begitu kental.

Nieza Muslimah Salon Jaga Kebajikan Pekerja

“Saya sering melihat ibu sibuk melayani pelanggan setia yang datang untuk menggunting rambut mereka di Nieza Salon. Sejak diasaskan pada tahun 1988, ibu saya memandang setiap pelanggan yang datang bukan sekadar pelanggan tetapi keluarga. Saya melihat bagaimana kepercayaan dan hubungan yang terjalin antara ibu dan pelanggan adalah kunci kepada kejayaan salonnya.

Pengalaman berharga itu kini menjadi panduan bagi saya dalam mengembangkan Nieza Salon agar berkembang ke arah lebih premium dengan pengkhususan untuk pelanggan Muslimah. Pun begitu saya masih mahu mengekalkan aura yang sama,” demikian jelas pemilik Nieza Salon, The Best Salon Muslimah iaitu Shasha Masrey.

Nieza Muslimah Salon Jaga Kebajikan Pekerja, Sediakan Kondo Penginapan Percuma – Shasha Masrey
Shasha Masrey menerima anugerah Nona Inspired Muslimah Salon Award di malam penghargaan Nona Superwoman Award 2024.

Bermula dengan pembukaan Nieza Salon di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, pada tahun 2020 memperlihatkan bagaimana salon pilihan Muslimah ini berkembang pantas menjadi enam cawangan iaitu di Wangsa Maju, Kuantan, Putrajaya, Kajang dan terkini Shah Alam.

Berbicara dengan anak muda penuh inspirasi ini, Shasha menyerlahkan semangatnya yang sentiasa ingin meneroka teknik dan ilmu baru dalam dunia salon yang sedang berkembang pesat. Tak hairanlah, dirinya dan pasukan baru saja pulang dari  Budapest Hair Show 2024 pada September lalu, iaitu acara yang menghimpunkan individu dari salon terbaik di seluruh dunia.

Lebih menarik, Nieza Salon menjadi satu-satunya salon Muslimah yang terpilih mewakili Malaysia di acara professional paling popular ini. 

“Tahun ini, sudah dua kali Nieza Salon dipilih mewakili negara. Sebelum Budapest, acara profesional ini turut diadakan di Shanghai. Tahun sebelum itu di Greece. Kami didedahkan dengan teknik-teknik baru dalam potongan gaya rambut termasuk mewarnakan rambut dengan mudah dan cepat tapi hasilnya memuaskan.

Sebagai orang baru dalam industri salon, saya akui agak kerdil apabila terpilih berada bersama mereka yang hebat-hebat tapi dalam masa yang sama bangga kerana berjaya mewakili negara dalam industri. Pendedahan yang saya dapat, saya akan ajar kepada pasukan di mana kami mahu berikan yang terbaik buat pelanggan Nieza Salon,” katanya sambil mengakui teknik perawatan dan potongan rambut di Eropah berkembang begitu pantas.

Nieza Muslimah Salon Jaga Kebajikan Pekerja, Sediakan Kondo Penginapan Percuma – Shasha Masrey

Tambah Shasha, boleh dikatakan industri ini masih lagi kecil di Malaysia dan segelintirnya mengekalkan cara lama berniaga.

Dalam memastikan aurat dan keperibadian pelanggan terjaga, Nieza Salon melarang sama sekali lelaki untuk berada di dalam salon biarpun hanya untuk menunggu pasangan selesai menggunting rambut.

“Demi keselesaan pelanggan, Nieza Salon ada menyediakan ruang tertutup. Di sini pelanggan bebas membuka tudung masing-masing. Hairstylist juga berpengalaman malah bila datang ke sini, kami akan berkongsi ilmu pengetahuan. Bukan sekadar gunting rambut atau cuci semata-mata tapi juga berkongsi ilmu tentang penjagaan rambut,” ujarnya.

Shasha menjelaskan hair scalp treatment atau rawatan kulit kepala sentiasa menjadi pilihan pelanggan ketika mengunjungi Nieza Salon. “Rambut itu mahkota wanita. Biasanya masalah sering dihadapi oleh mereka yang berhijab ialah kelemumur, rambut gugur dan berbau. Masalah ini dapat di atasi melalui Hair Scalp Treatment.

Untuk rawatan kulit kepala ini ada banyak kelebihannya di mana ia dapat memelihara akar rambut, dapat memperbaiki rambut rosak, menyihatkan rambut dan kulit kepala, mencegah rambut daripada rosak selain melembutkan rambut.

Alhamdulillah, ramai yang memilih membuat rawatan ini untuk rambut kembali subur dan tak gugur. Bahan yang kita gunakan juga bebas bahan kimia dan selamat digunakan,” katanya mengenai kelebihan rawatan yang ditawarkan di Nieza Salon.

AURA KELUARGA

“Bagi saya, untuk berjaya dalam industri ini, kemahiran teknikal adalah amat penting. Bukan sahaja fokus pada potongan rambut dan rawatan yang terbaik tetapi juga kepada pengetahuan tentang bahan-bahan yang digunakan, pemahaman tentang keperluan rambut setiap individu dan sentuhan seni yang membolehkan kita mencipta gaya yang sesuai dengan personaliti setiap pelanggan. Tapi satu yang paling utama ialah kita meraikan pelanggan seperti ahli keluarga.

Ads

Inilah yang saya nampak ketika ibu membuka perniagaannya. Ramai selesa bersama ibu walaupun ada banyak pilihan salon lain. Jadi segala ilmu yang baik daripada ibu iaitu Anizah Othman atau Kak Nieza, saya bawa ke Nieza Salon ini.

Nieza Muslimah Salon Jaga Kebajikan Pekerja, Sediakan Kondo Penginapan Percuma – Shasha Masrey
Bersama ibunya, Kak Nieza yang menjadi inspirasi diri Shasha untuk berjaya dan telah membuka tujuh buah salon setakat ini.

Dalam masa yang sama, Shasha menjelaskan perbezaan di antara Nieza Salon dengan salon Muslimah lain adalah daripada segi perkhidmatan terbaik serta produk berkualiti. “Bagi saya apa yang penting ialah kejujuran kepada pelanggan. Di Nieza Salon, kita sediakan produk berkualiti tapi pada harga berpatutan. Tak ada charge yang mahal-mahal hanya disebabkan produk di gunakan berkualiti. Bagi saya biarlah cari rezeki yang berkat. Bila kita jujur dengan pelanggan, mereka akan datang lagi ke salon ini. Alhamdulillah, ramai pelanggan setia bersama Nieza Salon.”

Selain meraikan pelanggan, Shasha akui bahawa aspek menjaga kebajikan pekerja turut menjadi keutamaan syarikat. “Selain gaji berpadanan mengikut kemahiran seseorang pekerja, syarikat turut sediakan penginapan di kondominium secara percuma buat  staf yang masih bujang. Kita juga sediakan elaun makan setiap hari selain bonus dan penghargaan buat mereka dengan membawa mereka bercuti ke luar negara. Baru-baru ini, Nieza Salon meraikan staf seramai 30 orang di semua cawangan dengan membawa mereka pergi bercuti ke Hatyai.

Nieza Salon juga merupakan syarikat Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah  Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Jadi mana-mana individu yang mahu bekerja sama ada berkemahiran atau tidak, boleh datang ke Nieza Salon.

Kami akan berikan gaji permulaan sebanyak RM1,200 (mengikut syarat kerajaan sebelum ini sebelum asas gaji baru diperkenalkan) bagi menempatkan mereka dalam latihan industri. Yang tak ada kemahiran pun boleh memohon kerana Nieza Salon mahu membuka peluang pekerjaan kepada semua. Maksudnya pekerja boleh bermula dari bawah sebagai shampoo girl.

Kemahiran pekerja akan terus dipertingkatkan melalui latihan termasuk jika mahu bergelar hairstylist. Alhamdulillah, rata-rata pekerja setia bersama Nieza Salon sehingga ke hari ini,” kongsi Shasha. Demi mengekalkan kesetiaan pelanggan pula, mereka sering  membuat pelbagai promosi seperti  Wash & Cut pada harga RM30 sahaja selagi tawaran masih berlangsung.

Ads

Nieza Muslimah Salon Jaga Kebajikan Pekerja, Sediakan Kondo Penginapan Percuma – Shasha Masrey

Berpegang kepada nasihat ayah, Masri Abu Talib, prinsip ‘tempuh saja, jalan terus’ adalah pegangan Shasha dalam dunia perniagaan. “Kalau kita tak mencuba, kita tak akan tahu. Saya sendiri tak pernah menyangka akan berada sejauh ini dalam perniagaan salon. Dulu saya bermula sebagai make-up artist freelancer untuk penggambaran drama dan filem, sebelum dipanggil merias wajah selebriti selepas tamat pengajian.

Sampailah dapat peluang bisnes begini termasuk mempunyai rakan kongsi. Alhamdulillah, rezeki itu sentiasa ada. What you give you get back. Di Nieza Salon, saya mengambil aura ibu yang mana dirinya sering memberikan harga murah dan kadangkala tidak mengambil sesen pun bayaran daripada pelanggan yang kurang mampu. Tak hairanlah kedainya sentiasa dipenuhi orang.

Saya mengambil aura kebaikan ini di mana kami setiap bulan akan mengunjungi rumah anak-anak yatim, orang tua dan sebagainya untuk memberikan perkhidmatan gunting percuma. Alhamdulillah, Allah merezekikan kami untuk terus kekal bertahan. Mudah-mudahan 10 tahun akan datang, Nieza Salon mampu berkembang ke seluruh negara. Itulah Impian saya,” katanya penuh semangat.

Akhiri Shasha, sejak kecil dia sudah terdedah dengan Majalah Nona kerana ia majalah pilihan ibunya. “Wanita itu sendiri memiliki kekuatan luar biasa. Dari sosok penuh kelembutan namun megah teguh memacu ekonomi keluarga. Bagi saya, Nona itu sendiri signifikan dengan semua wanita kerana ia sudah dikenali sejak dulu.

Samalah seperti Nieza Salon. Impian saya mahu melihat salon ini terus kekal selamanya. Menjadi pilihan orang ramai kerana perkhidmatan yang kita sediakan. Doakan bisnes ini terus sukses,” katanya penuh semangat.

BACA KISAH MENARIK DI SINI :– Berkilauan Bak Berlian, Tokoh Wanita Berjaya Diraikan Di Nona Superwoman Award 2024!

 

 

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI