Nik Aswat Menangis, Wira Reda Kritikan Juri… ARDA DHIA Juara #FabulousMUA Musim Pertama!

Program realiti digital pertama pencarian makeup artist Fabulous MUA akhirnya sampai ke penghujung. Bermula dengan majlis pelancaran Fabulous MUA Nona X FCC pada 9 Ogos, diikuti sesi uji bakat pada 14 dan 15 September di MSU Shah Alam seterusnya pemilihan Top 30 pada 18 September, diikuti pengumuman finalis pada penghujung September sehinggalah episod pertama ditayangkan sejak 1 November lalu… Fabulous MUA pastinya meninggalkan 1001 kenangan suka duka kepada semua yang terlibat dalam program realiti sulung ini.

Kritikan, tawa, tangisan dan lawak jenaka kesemua peserta di pentas Fabulous MUA sudah pasti terpahat kemas di sanubari masing-masing. Untuk tugasan terakhir… Nik Aswat, Wira Kastyra dan Arda Dhia diuji dengan tema solekan ‘Glam Look & Hair Styling’. Mereka diberi tempoh selama sejam untuk menyempurnakan misi terakhir ini yang seterusnya bakal menentukan kedudukan mereka sama ada layak bergelar juara, naib juara atau pemenang tempat ketiga.

Istimewanya episod ini, peserta dibawa mengunjungi butik Ezuwan Ismail untuk melihat rekaan busana perkahwinan pereka terkenal berkenaan selain diberi perkongsian terakhir mengenai tip mekap perkahwinan daripada sifu dunia solekan, Nurul Shukor atau lebih dikenali sebagai Babah. Untung Nik, Arda dan Wira!

Bagi menghangatkan lagi bahang final… peserta diminta mengundi model mereka sendiri dan kemudian diberi persalinan Ezuwan Ismail serta berpeluang menggayakan model dengan perhiasan kemas daripada Habib Jewels. Tiga puluh minit pertama bertarung menyiapkan solekan masing-masing, nasib bagaimana pun tidak menyebelahi Nik Aswat apabila dia berdepan masalah berus mekap.

‘Sakit mata’ melihat hasil solekan sendiri yang tidak sempurna, peserta dari Kedah ini mengambil keputusan untuk memadam mekap dan kembali menyolek semuanya semula. “30 minit terawal Nik buang masa lap mekap. Berus Nik tak lekat eye shadow sebab Nik cuci berus sebelum tu. Mungkin ada masalah teknikal sikit. Nik dah mekap tiga kali dan Nik padam macam tu je,” ujar Nik yang akhirnya tewas membendung perasaan sedih dan menangis sebaik sahaja tugasan selesai.

Dek kerana ketiga-tiga finalis tidak mampu menyiapkan model dengan sempurna dalam tempoh yang ditetapkan… mereka telah diberi masa tambahan 20 minit oleh panel juri. Sebagai peserta pertama berdepan sesi penjurian, Nik Aswat bagai sudah menjangkakan komen yang akan diterimanya. Dikritik hebat kerana solekan yang dianggap flat, gaya rambut yang dilakukan Nik juga kurang disenangi. Begitu juga Wira, peserta kedua yang diadili dan turut menerima kritikan kerana kesilapan memilih aksesori serta kegagalannya menyerlahkan solekan seperti biasa.

“Saya pada masa tu sedih jugalah. Rasa macam benda yang paling saya takutkan telah berlaku. Saya rasa macam saya dah bagi yang sehabis baik tapi nak buat macam mana… pandangan orang berbeza dan mungkin sebab high expectation mereka,” akui Wira dalam nada sedih.

Situasi berbeza pula dihadapi Arda Dhia apabila solekannya mendapat pujian kebanyakan juri meskipun ada beberapa kekurangan yang tidak sepatutnya dilakukan peserta berusia 29 tahun ini. Penyanyi Fauziah Latiff selaku juri jemputan menyifatkan hasil solekan Arda sangat manis dan cantik. Berkongsi nada sama dengan Fauziah Latiff… ialah Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani. Jelas Ili, dia terpikat dengan mekap wanita kecil molek ini kerana keharmonian yang ada dalam solekannya.

“Mestilah rasa confident sebab selama ni memang orang tak pandang. Siapa Arda Dhia? Tapi sebenarnya baru saya terfikir, sebelum ni saya nampak ‘Aku ada kreativiti cuma aku ni diletakkan di salah tempat dan salah masa’,” jawab Arda saat ditanya perasaannya selepas sesi penjurian.

Lebih tiga bulan mencungkil dan mengasah bakat solekan makeup artist amatur, pada episod final ini panel juri sebulat suara memilih peserta dari Johor Bahru iaitu Arda Dhia atau nama sebenarnya Razdhiatul Adawiyah Sukor sebagai juara Fabulous MUA Nona x FCC.

Hasil solekan Arda Dhia berjaya tambat hati juri

Kemenangan itu sekaligus menjadikan Arda, juara sulung Fabulous MUA yang layak membawa pulang trofi, wang tunai RM6,000, barangan kemas Habib Jewels bernilai RM10,000, penginapan 2 hari 1 malam di Hotel Sunway Group, produk kosmetik tajaan FCC, produk penjagaan wajah tajaan Nafura, beg tangan dari Bag O bag dan jambangan bunga Haejabudiman.Co.

Solekan Glam Look & Hair Styling dari Nik Aswat

Sementara itu, Nik Aswat terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan membawa pulang trofi, wang tunai RM3,000, barangan kemas Habib Jewels bernilai RM5,000, penginapan 2 hari 1 malam di Hotel Sunway Group, produk kosmetik FCC, produk penjagaan wajah Nafura, beg tajaan Bag O Bag dan jambangan bunga Haejabudiman.Co.

Wira pula berada di tempat ketiga dan menerima trofi, wang tunai RM2,000, penginapan 2 hari 1 malam di Hotel Sunway Group, produk kosmetik FCC, produk penjagaan wajah Nafura, Bag O Bag dan jambangan bunga Haejabudiman.Co. Manakala pemenang hadiah saguhati membawa pulang sijil Penyertaan, produk kosmetik FCC, produk penjagaan wajah Nafura dan barangan Bag O Bag.

Sentuhan terakhir Wira Kastrya dalam Fabulous MUA

Penaja rasmi Program Realiti Pencarian Makeup Artist Fabulous MUA ini adalah Farmasi Colour Cosmetics (FCC) Malaysia dan bersiaran menerusi platform digital Majalah Nona di Youtube, Facebook dan laman web rasmi Majalah Nona.

Menurut Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak program ini adalah platform mencari makeup artist amatur untuk dilonjakkan namanya di bidang solekan dan keusahawan.

Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy dan diadili oleh juri profesional iaitu Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak selaku juri tetap. Manakala mereka yang dipilih sebagai juri jemputan termasuk Nurul Shukor, Sheila Mohamed, Deqsha, MUA Bellaz, Zulin Aziz, Nabila Razali, Datin Seri Maria Farida, Fauziah Latiff, Ezuwan Ismail, Ayang Kamell dan Yus Zulkifli.

Share
Published by
Suzi