Seronok berbual dengan pemilik perusahaan minuman kesihatan sarang burung FG Walet ini menyelami jiwanya dapat menghabiskan bacaan Al-Quran di dalam bulan Ramadan yang lalu. Bukan sekali namun dua kali Datin Hajah Fouziah Gous berjaya khatam Al-Quran di bulan mulia yang dijanjikan pahala berganda itu.
“Ya, alhamdulillah, this is my first time khatam Al-Quran di bulan Ramadan. Syukur kerana diberikan peluang khatam pada hari Nuzul Quran, sesuatu yang cukup indah buat diri saya. Secara jujurnya saya betul-betul komited membaca Al-Quran sejak mula PKP 1.0.
Sejak daripada itu sampai ke hari ini alhamdulillah memang luar biasa impaknya dan semangat untuk terus membaca betul-betul ubah perasaan saya. Timbul rasa seronok untuk terus membaca dan saya rasa lebih sempurna dan tenang,” tutur Datin Fouziah yang turut menyediakan guru mengaji untuk stafnya.
Memasang niat untuk khatam Al-Quran di bulan Ramadan membuatkan isteri kepada Dato’ Md Zhafran Md Yusof ini begitu komited untuk menyempurnakan niatnya itu. “Sebenarnya memang sebelum tiba bulan Ramadan lagi, sepanjang PKP dan macam-macam yang berlaku ketika pandemik ini, memang saya ambil kesempatan untuk mengaji bersama ustazah.
BELAJAR DARI MULA
Saya belajar balik daripada awal. Memang belajar daripada muqaddam sampai khatam Al-Quran. Setiap minggu hari Sabtu dan Ahad memang saya luangkan masa hanya untuk mengaji. Andai kata saya ada kerja contohnya seperti live di Go Shop, selepas habis live pukul 2.00 petang macam tu saya akan balik dan akan ‘deal’ dengan ustazah, I will continue untuk mengaji. That is how I do. Memang kena korbankan masa dan penat kerja sepanjang hari.
Saya memang betul-betul komited dan jika ada peluang akan selit masa untuk mengaji bersama ustazah yang mengajar staf-staf saya dekat pejabat. Staf akan mengaji setiap minggu dua kali iaitu hari Isnin dan Selasa. Bila ada peluang ketika staf mengaji saya akan selit juga dalam sejam untuk saya baca beberapa muka surat,” tutur pemilik gimnasium Fighters Den Muay ini tentang semangatnya membaca kitab suci yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW.
STRATEGI
Bagi mengejar cita-citanya untuk khatam, Datin Fouziah mengatur stateginya, “Lepas sahur dan lepas subuh saya telefon ustazah, saya akan mengaji dan ustazah akan dengar. Kalau dalam talian saya mengaji sejam lebih tapi kalau di rumah dalam 20 muka surat, maknanya satu juzuk, macam tu lah.
Saya betul-betul istiqamah dalam membaca quran ini rasa macam tak boleh berhenti. Bila mula baca tu kan, bila you put your life on it memang saya jadi komited. Contohnya, lepas subuh saya baca lebih daripada sejam kadang-kadang 2 jam dan juga selepas terawih sekurang-kurangnya 2 jam juga. saya akan dapat baca lebih daripada satu juzuk, itu cara saya istiqamah.
Kalau ada masa saya akan tambah lagi dengan bacaan sebanyak empat muka atau lebih. Niat saya untuk membaca Al-Quran adalah untuk menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelum ini.
Sebab bagi saya satu saja benda yang paling penting dalam hidup kita kena jadi lebih baik daripada sebelum maksudnya biarlah kita upgrade diri kita untuk jadi lebih baik,” ucap ibu kepada dua orang anak ini.Tambahnya lagi, “Setiap hari di rumah saya akan mengaji tapi dengan ustazah guna Al-Quran lain, untuk diri sendiri tanpa ustazah juga saya mengaji. Itu sebab saya boleh khatam dua kali. Tak pernah lagi berlaku seumur hidup saya mampu khatam dua kali di bulan Ramadan.
Khatam kali pertama dengan ustazah adalah niat yang saya pasang supaya setiap bacaan saya disemak oleh ustazah. Saya nak pastikan tak salah baca. Sebelum dengan ustazah saya sempat khatam sekali tahun ini juga, tapi bila saya mengaji di bawah pemerhatian ustazah baharu saya sedar beberapa bacaan saya perlu dibetulkan.
Saya sangat bersyukur saya dapat pertolongan ustazah yang betul-betul cukup prihatin, ikut masa saya dan ustazah betul-betul ikhlas membantu saya itu adalah rezeki yang Allah kurniakan bertemu dengan ustazah yang betul-betul korban masa dengan saya walaupun dia sibuk tapi tetap luangkan masa,” terang Datin Fouziah yang terharu dengan pengorbanan guru mengajinya.
This website uses cookies.