Penampilan Doaa Elghobashy sebagai atlet bola tampar pantai kategori wanita di pentas sukan Olimpik Paris 2024 nyata menarik perhatian peminat sukan dunia.
Jika kebiasaannya pemain sukan ini mengenakan pakaian renang seperti bikini untuk bertanding, atlet kelahiran Mesir ini tampil ‘berbeza’ dengan berhijab, menyarung baju lengan panjang dan berseluar panjang untuk beraksi!
Berpendirian tegas dengan imej tersebut, Doaa Elghobashy yang berusia 28 tahun menyifatkan hijab sudah sebati dengan dirinya dan tidak tunduk dengan desakan pihak lain yang menafikan hak atlet wanita beragama Islam sepertinya untuk tidak menyertai sukan.
Memetik kenyataan Doaa kepada akhbar The Independent pada tahun 2016, “Saya sudah berhijab selama 10 tahun. Ia bukan halangan untuk saya melakukan aktiviti yang saya suka termasuklah bola tampar pantai.”
Gandingan Doaa Elghobashy dan Marwa Abdelhady yang mewakili Mesir dalam sukan bola tampar pantai semakin mendapat perhatian. Ini kerana pasangan atlet berkenaan dikenali dengan prestasi cemerlang dan membanggakan apatah lagi selepas mereka memenangi pingat emas di African Games 2023 di Accra, Ghana.
Doaa membuat penampilan sulung di pentas Olimpik Rio 2016 ketika berusia 19 tahun di samping Nada Meawad dan menjadi atlet wanita pertama Mesir bertanding dalam bola tampar pantai kategori wanita.
Meskipun dia dan pasangan layak menyertai Olimpik Tokyo 2020 namun melupakan hasrat untuk bermain kerana menjalani kuarantin susulan salah seorang pasukan bola tampar Pantai lelaki pihak lawan dijangkiti Covid-19.
Doaa bagaimana pun kembali lagi di Olimpik Paris 2024 bersama rakan sepasukan, Marwa untuk mencipta sejarah.
Khabarnya Doaa dan Marwa merupakan sahabat baik dan disebabkan persahabatan yang terjalin di antara mereka membolehkan kedua-duanya cukup serasi berada di gelanggang.
This website uses cookies.