Model, usahawan serta pelakon muda berjiwa besar, Sharifah Rose telah memuat naik satu video pendek bersempena ulang tahun kelahiran ibunya yang tersayang.
Video tersebut memaparkan dirinya bersama ibu, Noraini Dahlan yang sedang berbual mesra sambil berjalan santai berpegangan tangan.
Ramai yang terpegun dengan kecantikan ibu Sharifah Rose yang berketurunan Melayu-Jawa. Manakala bapanya Syed Mohd Mazfira Syed Mohd Bakar pula berketurunan Melayu-Arab.
Maka, tak hairanlah Sharifah Rose yang berusia 25 tahun ini memiliki kecantikannya yang tersendiri.
Pemilik nama penuh, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira merupakan anak sulung daripada dua beradik.
Memetik perkongsian Sharifah Rose di ruangan kapsyen bersempena ulangtahun kelahiran ibunya baru-baru ini: –
“Happiest Birthday to my Superwoman. Dialah ibu, dialah manager kita, dialah kawan. Mana-mana pergi mesti bawa umi.
“Terima kasih umi atas segala bimbingan, kasih sayang, masa dan pengorbanan umi.
“Pagi ni bangun bangun walaupun birthday umi tetap dia bangun awal uruskan rumah.”
Walaupun belum berkesempatan untuk meraikan ulang tahun kelahiran ibunya, Sharifah Rose telah berjanji untuk membawa ibunya ke birthday trip.
“Sorry harini tak dapat nak celebrate sekali terpaksa pergi shooting. Nanti kita pergi birthday trip okie! Love you Umi.”
Untuk info, Sharifah Rose memulakan kerjaya awalnya sebagai model dan personaliti media sosial.
Graduan Ijazah Perniagaan dan Asasi Undang-Undang ini juga pernah tampil dalam muzik video pertamanya untuk lagu ‘Vroom Vroom’ nyanyian Nabila Razali.
Namanya terus dikenali ramai menerusi lakonannya dalam drama bersiri ‘Kekasih Hati Mr Bodyguard’.
Sharifah Rose pernah menjadi peserta rancangan realiti ‘Master in The House Malaysia’ pada tahun 2022.
Menjejak Empayar Wardah Indonesia, Terpegun Tengok Kilang Berteknologi Tinggi Siap Makmal R&D!
Hebat dan mengagumkan, begitu persepsi penulis saat memenuhi jemputan trip #GetToKnowWardah secara eksklusif di tanah kelahirannya, Indonesia. Selama 3 hari dan 2 malam, wakil-wakil media Malaysia termasuk Majalah Nona dipelawa menjejaki seluruh pejabat operasi dan kilang induk Paragon Technology & Innovation di sana.
Sebagai salah satu daripada negara paling ramah di dunia, kunjungan kami ke Jakarta, Indonesia disambut dengan layanan mesra.
Usai mendarat di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, rombongan media dibawa terus menjamu selera di restoran terkemuka Talaga Sampireun Menteng bagi merasai keenakan menu Sunda.
Kami seterusnya bertolak ke ibu pejabat Paragon, syarikat pengeluar produk penjagaan diri dan kecantikan yang telah bertapak sejak 38 tahun di republik berkenaan.
Di sini menempatkan karyawan jualan dan pemasaran, serta pengurusan 13 jenama hebat di bawah satu bumbung.
Cekap dan tersusun, suka sangat tengok suasana syarikat mereka yang menitik beratkan ruang kondusif buat para pekerja. Boleh dijadikan inspirasi buat pengusaha kosmetik Malaysia…
Memasuki hari kedua, rombongan media dibawa ke kawasan industri Jatake, Jakarta Selatan yang menempatkan pusat R&D dan kilang pembuatan produk di bawah PT Paragon Technology and Innovation.
Terdapat 13 jenama terkenal yang dihasilkan di sini antaranya Wardah, Make Over, Emina, Kahf, Labore, Putri, Biodef, Instaperfect, Crystallure, Beyondly, Wonderly dan Tavi.
Kami sempat bertukar pendapat dan mendengar penerangan saintis di sana tentang produk-produk yang dihasilkan. Baru tahu rupanya setiap produk mesti dikaji selama sekurang-kurangnya dua tahun bagi memastikan tahap keberkesanan serta keselamatannya.
Kami turut melawat kilang-kilang pembuatan dan pembungkusan serta gudang yang menempatkan semua stok sebelum diedarkan ke seluruh Indonesia dan Malaysia.
Jom tengok betapa efisien dan bersihnya proses pembuatan produk di sini…
Perusahaan ini didirikan sejak tahun 1985 oleh Nurhayati Subakat dengan nama PT Pusaka Tradisi Ibu. Saat ini Paragon telah memiliki lebih dari 12.000 karyawan dan memiliki lebih dari 41 distribution center yang tersebar di seluruh Indonesia dan Malaysia.
Sebelum balik, kami sempat singgah ke Senayan City untuk mempelajari cara asas mengenal warna kosmetik yang sepadan dengan kulit bersama team Wardah Beauty. Memang seronok melihat gaya kerja team Wardah sambil membeli-belah.
Sepanjang menikmati pengalaman di Jakarta, penulis mula percaya tentang kualiti produk yang dihasilkan oleh pasukan Paragon. Ia amat menekankan prinsip halal dan suci, disamping inovasi sains yang berterusan bagi memastikan kualiti produk yang diyakini.
Cantik Semula Jadi Usia 50, Wajah Awet Muda Datuk Syafinaz Selamat Raih Perhatian!
Datuk Syafinaz Selamat ternyata memiliki pesona tersendiri. Sinonim sebagai juri pelbagai program realiti nyanyian popular, tak dinafikan jelitawan ini mempunyai aura memikat yang mampu membuatkan sesiapa sahaja terpesona dengan peribadinya.
Sering tampil anggun dan elegan, pasti ramai tidak menyangka pensyarah vokal ini sudah pun mencecah usia 50 tahun. Genap menginjak usia separuh abad pada Januari lepas, Datuk Syafinaz menerima pujian ramai apabila wajahnya kelihatan awet muda dan cantik!
Apatah lagi, dia bijak menjaga penampilan diri dan memiliki susuk tubuh ramping persis model! Sekaligus membuatkan wanita ini kelihatan menawan dalam apa jua persalinan.
Penyanyi kelahiran Johor ini juga dianugerahkan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk. Pingat berkenaan dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara sempena Hari Wilayah Persekutuan pada tahun 2018.
Sekitar April 2021, Datuk Syafinaz melancarkan single berjudul Persis Salju. Kerinduan peminat kepada penyanyi bersuara antarabangsa ini terubat menerusi lagu berkenaan memandangkan hampir 20 tahun menunggu ‘buah tangan’ dari Datuk Syafinaz.
Difahamkan wanita berbakat besar ini mula menceburi industri seni seawal umur 7 tahun dan pelbagai pengiktirafan berjaya diraih.
Malah, pengetahuan dan pengalaman Datuk Syafinaz dalam dunia hiburan, seni suara dan persembahan juga menjadikannya antara juri popular yang sering diundang dalam pertandingan nyanyian dan program realiti.
Wanita tinggi lampai yang terkenal dengan suara soprano ini juga merupakan konduktor dan vocal master untuk Koir Permata Seni.
Selain itu, Datuk Syafinaz pernah dipilih sebagai juri program nyanyian Malaysian Idol, AF Megastar dan Gegar Vaganza.
Bukan itu sahaja, pelantun lagu Ingin Bersamamu ini juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), pensyarah vokal di Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, dan vocal master untuk Koir Kebangsaan Malaysia.
Ingatkan KOPI Sedap Untuk Minum Jer, Rupanya Terbaik Untuk Kecantikan Dalaman Wanita
Kalau dilanda stres aje, pasti terbayang menghirup kopi yang panas dengan aroma yang menyengat hidung. Mesti ramai yang macam ni dan anda boleh dikategorikan sebagai coffee lover. Kalau nak tahu kopi bukan sahaja boleh mengurangkan stres tapi terbaik untuk kecantikan.
Biji kopi bukan sahaja boleh dijadikan minuman tetapi sangat berguna untuk menjaga kecantikan kulit. Kaya dengan sumber antioksida, kopi boleh membantu untuk proses eksfoliasi kulit secara semula jadi. Jika diamalkan dengan konsisten kopi juga dapat membantu menyingkirkan sel kulit mati sehingga menjadikan kulit lebih berseri dan bermaya.
Topeng Wajah
Setiap pagi sebelum pergi kerja memakai topeng wajah pasti boleh mengembalikan keserian kulit dan kekal segar sepanjang hari. Kala mencampurkan kopi yang kaya dengan sumber antioksida ke dalam topeng wajah boleh membantu menyingkirkan segala toksin di bawah kulit wajah.
Resipi yang boleh dicuba untuk membuat topeng wajah berasaskan kopi adalah seperti; 2 sudu besar kopi yang dikisar, 2 sudu besar serbuk koko, 3 sudu besar susu segar dan 1 sudu besar madu. Campur semua bahan dan sapu ke seluruh wajah. Biarkan selama 15 minit dan bilas dengan air yang bersih.
Skrub Wajah
Setiap wanita perlu melakukan eksfoliasi kulit dan proses eksfoliasi kulit yang terbaik adalah dengan menggunakan bahan-bahan yang natural. Skrub kopi boleh membantu menyingkirkan segala sel kulit mati untuk membenarkan pertumbuhan semula jadi sel kulit baharu. Pertumbuhan sel kulit baharu ini memberi efek kulit segar dan bermaya.
Resipi yang boleh dicuba untuk membuat skrub wajah berasaskan kopi adalah seperti; 3 sudu besar kopi yang dikisar, 1 sudu besar minyak zaitun dan 1 sudu besar gula perang. Campur semua bahan kering kemudian masukkan minyak zaitun mengikut kepekatan yang diingini. Masukkan gula perang dan urut lembut bahan yang telah dicampurkan tadi ke atas kulit wajah dengan pergerakan membulat. Akhir sekali bersihkan dengan air suam dan lap dengan tuala bersih.
Singkir Selulit
Apabila tubuh mengalami perubahan berat badan yang mendadak terutama selepas bersalin, secara tidak langsung kulit akan menjadi selulit. Selulit ini sukar untuk disingkirkan hanya dengan memakai losen atau krim pelembap. Namun, kopi boleh membantu untuk menghapuskan selulit yang memalukan itu. Khasiat yang terdapat dalam kopi dapat membantu menyingkirkan selulit dengan bantuan manfaat minyak kelapa dalam ramuan skrub tersebut.
Sumber bahan ini dapat menjadikan kulit lebih lembut, licin dan bebas selulit. Hanya dengan menggunakan 1 cawan biji kopi yang telah dikisar, ½ cawan gula kasar atau gula perang dan 1 cawan minyak kelapa. Campurkan ke semua bahan tersebut sehingga sebati. Selepas mandi atau membersihkan tubuh, sapu bahan skrub tadi dan urut lembut ke bahagian tubuh yang diingini. Pastikan bahagian tubuh tersebut basah dan bukan kering. Urut selama 60 saat setiap bahagian yang diingini. Kemudian bersihkan dengan air suam dan lap dengan tuala yang bersih. Ketika mempraktikkan skrub sebegini adalah disarankan untuk menutup lubang laluan air di dalam bilik air lebih-lebih lagi jika anda menggunakan tub mandi. Sebaik-baiknya sediakan plastik dan letakkan di atas lantai ketika anda mulakan proses menyapu skrub di bahagian tubuh. Langkah ini dapat membantu anda membersihkan lantai bilik mandi dengan mudah dan boleh mengelakkan daripada laluan air tersumbat.
Skrub Tubuh
Hanya dengan menggabungkan empat bahan semula jadi ini anda dapat melakukan transformasi pada kulit tubuh yang lebih sihat dan bermaya walaupun baharu pertama kali menggunakannya. Kandungan kafein yang terdapat dalam kopi dapat membantu menyingkirkan lebihan minyak yang tidak diingini pada kulit tubuh dan meninggalkan kulit yang lebih sempurna. Tekstur kasar yang terdapat pada kopi pula berupaya menyingkirkan sel-sel kulit mati yang berada di atas kulit lantas membenarkan pertumbuhan sel kulit baharu yang lebih segar.
Tidak perlu bersusah payah untuk menghasilkannya, cukup dengan mencampurkan ½ cawan kopi yang telah dikisar, ½ cawan gula melaka, ½ cawan minyak kelapa dan 1 sudu teh kulit kayu manis. Campurkan kesemua bahan di dalam bekas yang bersih dan gaul dengan sempurna. Sapu adunan eksfoliasi ini ke seluruh bahagian tubuh dan urut lembut dengan pergerakan yang membulat. Anda akan dapat membezakan kelembutan kulit wajah sebaik sahaja selepas dibersihkan dengan air yang suam dan dilapkan dengan tuala bersih. Simpan adunan ini ke dalam bekas kedap udara jika membuat dalam kuantiti yang banyak.
Tangan & Kaki
Kopi yang dikisar seperti yang diketahui mempunyai permukaan yang kasar dan boleh melelaskan kulit jika digunakan keterlaluan. Oleh itu, adunan yang dilakukan sendiri ini hanya boleh diaplikasikan ke atas bahagian tangan dan kaki sahaja. Ramuan ini boleh membantu menyingkirkan semua sel kulit mati di atas kulit dan menjadikan bahagian tangan dan kaki lebih lembut dan terpelihara.
Campurkan ½ cawan gula pasir, ½ cawan kopi yang dikisar, 1 sudu teh ekstrak kopi, 1 sudu teh ekstrak kacang hazel, ½ cawan minyak kacang badam dan 1 sudu teh ekstrak coklat. Di dalam bekas yang sederhana besar, masukkan gula dan kopi yang telah dikisar. Gaul dengan sempurna. Masukkan ekstrak kopi, kacang hazel ke dalam bekas dan gaul sebati. Perlahan-lahan masukkan minyak kacang badam ke dalam bekas dan kacau dengan konsisten. Campurkan minyak kacang badan mengikut kepekatan yang diingini. Sendukkan 1 sudu teh adunan skrub tadi dan sapukan ke bahagian tangan dan kaki. Urut lembut dengan pergerakan membulat sehingga anda tahu bila untuk berhenti. Kemudian bilas dengan air suam dan lap dengan tuala bersih agar minyak semula jadi tubuh akan terus kekal untuk menghasilkan kulit anjal secara semula jadi.