Alhamdulillah, makin melimpah ruah rezeki Nor Farhatul Fairuzah Panut sejak dinobatkan selaku Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) pada April lalu. Selain sibuk menghadiri jemputan majlis ilmu… gadis berusia 19 tahun ini juga bijak merencana masa depan dan memanfaatkan kemenangan yang diraih ke jalan kebaikan. Memang patut dijadikan sumber inspirasi!
Hampir tiga bulan menyandang gelaran Johan Qariah termuda dalam sejarah MTHQA, Farha terus melangkah setapak ke hadapan dengan menceburi bidang perniagaan muslimah. Hujung Julai lalu, anak bongsu daripada lima beradik ini telah melancarkan koleksi hijab miliknya di bawah label Farha Looks. Selaku pengasas, dia bertanggungjawab memastikan produk keluarannya berkualiti dan paling utama ialah menepati syariah.
Bangga dengan pencapaian anak jati kelahiran Selangor ini. Muda-muda lagi sudah ada wawasan dan menambah ‘bekalan’ dunia serta akhirat. Dengar khabar, tudung bawal shawl Farha Looks dah banyak yang sold out! Di samping mengajak para muslimah menutup aurat dan berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan, Farha turut mengambil pendekatan berdakwah melalui muzik.
10 Ogos lepas, single dakwah pertama Farha bertajuk ‘Bukti’ diperdengarkan kepada umum. Tumpang bahagia tengok kejayaan demi kejayaan yang dilakar gadis muda ini. Sudahlah pandai mengaji, punya ilmu agama, berpekerti baik, dan sekarang… bijak berniaga pula.
Masih segar lagi kenangan bertemu Farha ketika sesi fotografi bersama Nona, Mac lalu. Ditemani ibu tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin… Farha mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Kongsi anak bekas Qariah, Allahyarham Haji Panut Haji Markum ini, ada saja masa terluang dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya.
“Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.
Mengimbas semula detik kemenangan Farhatul yang telah berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang hafaz Al-Quran, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah tertinggi iaitu 86.67 peratus. Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70, 000, piala iringan dan wang tunai RM40, 000.
Turut mencipta rekod cemerlang ialah Qari Malaysia iaitu Abdul Khair Jalil yang menjadi Johan Qari dalam pertandingan sama. Moga kejayaan mereka berdua dapat menggalakkan lebih ramai generasi muda mendalami Al-Quran.
Kredit foto: Instagram Farhatul Fairuzah
This website uses cookies.