#NonaMerdeka Pengiktirafan Demi Pengiktirafan Diperoleh Dato’ Seri Siti Nurhaliza Lambang Ikon Wanita Malaysia

Sebutir bintang memancar sinar penuh pesona melimpahi alam semesta. Nama yang terus gah dalam industri hiburan tanahair dan semakin melakar nama melebarkan sayap perniagaannya. Saban tahun memberi impak luar biasa buat pelantun suara emas yang popular dengan lagu Kau Kekasihku ini.

Pengiktirafan dan penganuerahan yang diperoleh selayaknya menjadikan Dato’ Siti Nurhaliza Taruddin, 40 tahun, sebagai wanita inspirasi yang wajar diteladani buat wanita lain.

Hampir dua dekad memperjuangkan nasib sebagai anak seni nyata percaturan Dato’ Siti tidak pernah tersasar. Apa sahaja yang dirancang pasti berjalan dengan lancar.

Dedikasi dan kredibiliti Dato’ Siti dalam memartabatkan industri seni suara terus mendapat perhatian termasuk media luar negara sehingga mendapat pengiktirafan menerima anugerah Outstanding Singer of The Year McMillan Woods Global Awards 2016.

“Ini merupakan anugerah terbesar dan amat bermakna buat saya yang bergelar anak seni. Saya dimaklumkan belum ada artis Malaysia yang menerima anugerah untuk kategori ini.

Anugerah ini diberikan kepada saya atas pencapaian dalam bidang seni suara, selain berjaya menjadi penyanyi ikon yang diterima oleh semua lapisan masyarakat,” ungkap Dato’ Seri Siti.

Kewibawaan anak kelahiran Kuala Lipis ini dalam industri seni memang tidak perlu disangkal lagi. Namun, kini langkah yang diatur semakin deras melebarkan empayar perniagaan turut mendapat pengiktirafan.

Rangkaian kosmetik dan penjagaan diri SimplySiti miliknya telah diiktiraf sebagai Malaysia’s Strongest Brands Award 2016 untuk kategori produk kecantikan. “Bagi saya anugerah ini menjadi pemangkin dan pembakar semangat untuk terus membawa nama SimplySiti ke peringkat yang lebih jauh lagi,” katanya.

Perjuangan dalam dunia perniagaan tidak berhenti di situ sahaja malah terus melebarkan sayap perniagaan dalam dunia fesyen bersama Butik Creation By Siti Nurhaliza. Perkembangan globalisasi fesyen hijab turut menarik perhatian Dato’ Seri Siti untuk merancakkan lagi industri hijab ini.

“Memang sejak dari dahulu lagi saya bercita-cita mahu mempunyai koleksi label baju sendiri. Syukur kerana doa saya dimakbulkan apabila ditawar oleh pihak Jakel untuk memiliki jenama pakaian yang dikenali sebagai Creacion by Siti Nurhaliza. Creacion by Siti Nurhaliza ini mempertaruhkan baju berkonsep ready-to-wear yang trendy namun patuh syariah,” kongsinya.

Dato’ Seri Siti memang sentiasa bersederhana dalam pemilihan fesyen lebih-lebih lagi ketika bersantai. Koleksi ini turut menterjemah pesona dan perwatakannya pemilihan warna dan design.

Menampilkan koleksi polos dan bercorak dengan suntikan flora dan etnik. Kesemuanya direka ringkas namun masih tetap kelihatan menawan dan cantik digayakan tidak kira ke pejabat, majlis formal mahupun santai.

Apabila diajukan pertanyaan tentang bagaimana dia mengerti selok-belok mengatur perniagaan yang semakin berkembang itu, lantas jawabnya, “Memang sejak dari zaman sekolah saya sudah berniaga.

Membantu ibu menjual kuih suatu masa dahulu telah memberi pendidikan awal kepada saya tentang dunia perniagaan. Di syarikat, saya mempunyai tenaga kerja yang pakar dalam bidang masing-masing dan mereka banyak membantu saya meningkatkan produktiviti syarikat.

Saya juga mempunyai seorang guru dalam perniagaan ini iaitu suami sendiri. Selain itu, rakan-rakan seperti Datin Farah daripada Ariani turut sama membantu dan berbincang tentang selok-belok menguruskan perniagaan. Memang saya ada menyimpan hasrat untuk meningkatkan lagi ilmu dalam perniagaan tetapi menghadapi keterbatasan masa untuk melakukannya,” tutur Dato’ Seri Siti.

Peranan wanita sangat perlu untuk turut sama meningkatkan kemajuan negara. Dato’ Seri Siti juga tidak mahu ketinggalan untuk membantu wanita yang kurang berkemampuan. “Menerusi SimplySiti dan Creacion by Siti Nurhaliza boleh dijadikan platform dan membuka peluang pekerjaan kepada wanita. Mungkin dengan menyertai saya boleh mengubah taraf hidup kepada yang lebih baik.

Selain itu, saya turut melakukan CSR melalui Yayasan Nurjiwa dengan memberi bantuan kepada mereka yang terpilih terutamanya dalam bidang pendidikan. Pihak kami akan cuba membantu seadanya.

Saya lebih banyak menyertai kempen seperti Cegah Kanser Payu Dara dan AIDS. Pihak pengurusan SimplySiti juga pernah membantu 10 orang kanak-kanak yang mempunyai masalah jantung,” ungkap Dato’ Seri Siti penuh prihatin.

Menjadi seorang selebriti terkenal Dato’ Siti sejak dari awal lagi sudah bersedia apabila hak peribadinya menjadi bualan. “Apa yang dilalui saya tidak mahu letakkan diri atas apa andaian orang lain. Kehidupan saya sama seperti orang lain dan lebih memilih kesederhanaan. Apabila berada di atas pentas perlu mempersiapkan diri sebagai seorang penghibur. Apabila berada di rumah saya adalah seorang isteri dan ibu.

Selama hampir 20 tahun berdiri teguh di persada hiburan nyata kejayaan tidak akan datang bergolek. Menurut Dato’ Siti, apa yang dinikmati sekarang semua dilakukan melalui perancangan. Melalui Siti Nurhaliza Production (SNP) segala kerja seni dirangka oleh Kak Rozie. Dia merupakan tulang belakang selama ini. Biasanya jadual saya telah dirancang dua tahun lebih awal,” ujarnya.

Walaupun kehidupan Dato’ Siti boleh dikatakan sempurna namun sebagai insan biasa pasti terselit impian yang masih belum tercapai. Bersyukur dengan segala rencana yang telah ditentukan merupakan kunci bahagia. “Saya sentiasa positif dalam meneruskan kehidupan dan berusaha seterusnya memberi yang terbaik bukan sahaja untuk diri saya bahkan juga buat orang lain juga,” ungkapnya.

Share
Published by
Hamizatul Maizan