#NONAPinkRibbon Ramai Tak Tahu Tentang KANSER PAYUDARA METASTATIK, Punca Kematian Ke-2 Tertinggi

Ramai wanita tahu dan sedar tentang bahaya kanser payudara. Namun, tidak ramai wanita yang tahu tentang kewujudan Kanser Payudara Metastatik. Kanser Payudara Metastatik (mBC) merupakan kanser payudara tahap tertinggi diakibatkan oleh sel kanser yang merebak dari payudara ke organ dalam tubuh lain.

Kanser jenis ini masih tergolong sebagai penyakit yang tidak boleh sembuh dan merupakan punca kematian akibat kanser kedua tertinggi dalam kalangan wanita hari ini.

Pfizer Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), menyasarkan untuk meningkatkan kefahaman orang awam terhadap Kanser Payudara Metastatik, mengubah persepsi, mengatasi stigma dan meluaskan topik perbincangan meliputi perihal Kanser Payudara Metastatik.

Presiden, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Ranjit Kaur

Presiden BCWA, Ranjit Kaur berkata, “Kami menjalankan bancian dengan responden dengan latar belakang yang berbeza bagi memahami dan mengurangkan jurang kefahaman Kanser Payudara Metastatik. Hasil bancian tersebut bukan sahaja membantu kami mengenalpasti punca kurang faham, malah menjadi panduan untuk tindakan seterusnya,” ujar Ranjit Kaur.

Berdasarkan keputusan bancian, 70 peratus responden kurang kesedaran terhadap pilihan rawatan antara punca utama mengekang pesakit Kanser Payudara Metastatik mendapatkan rawatan perubatan yang efektif. Tahap kemampuan pula mencatatkan peratusan tertinggi dalam bancian tersebut.

Sungguhpun Kanser Payudara Metastatik tidak boleh sembuh tapi tujuan utama rawatan Kanser Payudara Metastatik adalah bagi memperlahankan atau menghentikan tahap pertumbuhan kanser sekali gus mengekalkan kualiti hidup pesakit. Kebanyakan pesakit mampu meneruskan kehidupan untuk tempoh yang panjang dan produktif walaupun disahkan menghidap metastatik.

“Beban penyakit ini tidak seharusnya ditanggung pesakit sendirian. Berdasarkan pengalaman peribadi, saya memahami perasaan apabila disahkan menghidap kanser payudara. Ia situasi yang amat menakutkan terutama jika kita tidak pasti dengan apa yang akan berlaku selepas ini dan kepada siapa patut kita mengadu,” kongsi Ranjit lagi.

Share
Published by
Hamizatul Maizan