#NONAPinkRibbon Rupanya Banyak Bantuan Kewangan Tersedia Bagi Pesakit Kanser Payudara Metastatik

Perjalanan hidup seseorang itu diuji dengan dugaan yang berbeza. Segala-galanya telah diatur oleh Sang Pencipta mengikut kemampuan masing-masing. Tidak ada seorang wanita pun mahu dijangkiti kanser payudara tetapi siapa kita nak menolak takdir.

Pesakit kanser payudara perlu terus positif meneruskan kehidupan dengan menerima rawatan yang sewajarnya. Di samping itu, sebagai ahli keluarga terdekat, perlu memberi sokongan padu agar pesakit kanser terus berusaha melawan penyakit pembunuh nombor 1 wanita itu.

Ramai telah maklum rawatan untuk menyingkirkan sel-sel kanser memerlukan kos rawatan yang agak tinggi. Rupa-rupanya ada banyak bantuan kewangan yang boleh dipohon oleh pesakit kanser ini.

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Yip Cheng-Har

Menurut ECXO Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA) & Emeritus Professor Surgeri Universiti Malaya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Yip Cheng-Har, “Saya memahami bahawa tahap kemampuan masih menjadi penghalang utama yang dihadapi pesakit apabila melibatkan rawatan mBC.

Terdapat pelbagai pilihan sokongan kewangan di Malaysia yang dapat membantu pesakit Kanser Payudara Metastatik (mBC) seperti hospital kerajaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO/SOCSO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans dan program sokongan pesakit seperti EMBRACE. Berbincanglah dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut,” kata Prof. Emeritus Dato’ Dr Yip.

EMBRACE merupakan program sokongan pesakit oleh Pfizer bagi membantu keterusan rawatan pesakit HR+/HER2- mBC untuk kesihatan dan kualiti kehidupan yang lebih baik. Menerusi program ini, pesakit mBC dapat merancang kewangan mereka dengan lebih baik serta mengakses rawatan perubatan inovatif.

“Sebagai pengamal perubatan, saya menggesa kenalan dan rakan sekerja untuk menggalakkan para pesakit mereka untuk berbincang lebih proaktif dengan doktor masing-masing berkenaan tahap kesihatan dan pilihan rawatan.

Antara cara paling efektif bagi membuat pilihan rawatan terbaik untuk anda adalah dengan melibatkan diri secara langsung berpandukan kesesuaian keperluan peribadi, keinginan dan kelebihan yang ditawarkan,” terang Prof. Emeritus Dato’ Dr Yip.

Share
Published by
Hamizatul Maizan