Norish Kareem, Anak Malaysia Berjaya Buka Butik Kafe Di Kota London

Hasil karya pereka fesyen antarabangsa, Zang Toi, dan Datuk Jimmy Choo, sudah tidak asing lagi buat mereka yang meminati perkembangan fesyen. Nama kedua-dua Anak Malaysia ini sudah gah seantero dunia dan tidak perlu diperkenalkan lagi. Kini seorang lagi anak tempatan, Norish Kareem telah memulakan langkah berani dengan membuka butik kafe di tengah kota London. Butik yang baru sahaja dilancarkan pada 1 Disember lalu telah mula mendapat perhatian penggiat fesyen di sana.

“Merancang semua ini sejak lima bulan lalu bukan proses mudah. Dari memilih lokasi strategik, memenuhi piawaian perniagaan di UK, proses pengubahsuaian, menentukan konsep dan rekaan butik hinggalah ke persiapan hari pembukaan dan pelancaran memberi kemanisan tersendiri,” kata Norish Kareem bangga pada majlis pelancaran butik kafenya itu di Central London W1, di tengah kawasan Marylebone.

“Ia bukan soal saya dan fesyen semata-mata, tapi dalam hati terbit rasa bangga kerana jenama tempatan dari Malaysia juga mampu mencuri perhatian orang luar negara,” kata Norish Kareem penuh yakin. Jenama fesyen Norish Kareem Couture (NKC) ini telah mengambil masa hampir empat tahun untuk  mengukuhkan jenamanya.

NKC semakin mendapat tempat apabila menampilkan model istimewa dari Australia yang menghidap Sindrom Down, Madeline Stuart  sebagai wajah ilham atau muse koleksinya. “Impak Stuart sangat besar untuk portfolio fesyen saya. Pertemuan dan perkenalan kami bermula di pertunjukan fesyen di Dubai.

Rentetan dari situ NKC menerima mesej daripada ibu bapa yang mempunyai anak dengan sindrom down dari pelosok negara termasuk di New York mahu membeli koleksi seperti dipakai Madeline. Malah ada yang sanggup terbang ke butik di Dubai untuk membelinya,” terang Norish yang menimba pengalaman di London sejak 2012 ketika menetap di sana kerana menyambung pengajian dalam bidang sarjana pengurusan perniagaan (MBA) di Universiti Cardiff,UK dan sarjana penyelidikan perniagaan (MRes) di Universiti Kingston, London.

Selepas tamat pengajian beliau menyambung pula dalam bidang doktor falsafah di universiti sama. Dalam tempoh pengajian, Norish banyak membuat kajian mengenai perniagaan dan sasaran pelanggan. Jenama NKC juga sudah mula mendapat liputan meluas daripada penerbitan terkenal dan agensi berita antarabangsa seperti Marie Claire, Reuters dan Daily Mail UK.

Sebelum ini jenama fesyen NKC  pernah menyertai pelbagai pertunjukan fesyen antarabangsa seperti  di Muslim Lifestyle di  Olympia, London, Indonesia Muslim Fashion Week, DC Fashion Week di Washington, Runway Dubai di  Emiriah Arab Bersatu, Minggu Fesyen New York 2017, Minggu Fesyen Paris, London Modest Fashion dan terkini Minggu Fesyen London 2018.

Norish Kareem seorang anak Melayu yang begitu optimis dan realistik terhadap pembukaan butik kafenya. Butik kafe Norish Kareem London ini juga menyediakan ruang untuk pereka fesyen seluruh dunia untuk meletak dan menjual koleksi mereka. Ia termasuk koleksi  beg jenama Elevate Shine diusahakan Kiran Tuljaram Prakash yang juga rakyat Malaysia selain koleksi pereka fesyen dari negara lain. Norish Kareem juga bakal mengeluarkan jenama kopinya sendiri yang sepenuhnya diperbuat daripada England.

 

 

 

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan