Umum sedia maklum, pelakon cantik Nia Ramadhani sempat terjerat dalam kes penyalahgunaan dadah sekitar awal tahun ini. Malah dia dan suaminya, Ardi Bakrie terpaksa turun naik mahkamah untuk menyelesaikan masalah tersebut sehingga ia memberi kesan terhadap kehidupannya sebagai isteri dan ibu.
Disebabkan permasalahan tersebut, Nia Ramadhani turut menjalani rehabilitasi selama 10 bulan. Ketika berhadapan dalam suasana yang tidak diduga itu, sebenarnya ia banyak memberi kesedaran untuk ibu kepada tiga cahaya mata ini untuk lebih menjaga diri sendiri.
Pada saat dan ketika itu, isteri kepada Ardi Bakrie ini turut meletakkan kesalahan tersebut di atas dirinya yang alpa dalam memilih perkara yang baik dan buruk dalam kehidupan.
Memetik temubual bersama Liputan 6, isteri Ardi Bakrie ini banyak belajar apabila berhadapan situasi getir dan bangkit untuk menghadapi kehidupan mendatang.
Selebriti ini berkongsi kisah suka dan duka pengalamannya melalui sebuah novel berjudul Cerita Ade yang dilancarkan baru-baru ini. Novel tersebut berisi cerita tentang perjalanan hidup Nia Ramadhani sejak kecil sehingga mengalami jatuh bangun kehidupannya.
Untuk pengetahuan, “Ade” merupakan sapaan akrab Nia Ramadhani di lingkungan keluarganya.
“Ini merupakan perjalanan hidup Ade (Nia Ramadhani) dari kecil sehingga dewasa. Banyak pelajaran yang boleh diambil bukan hanya dari kebaikan tapi juga dari kesalahan yang dilakukan, mungkin bisa kita pelajari,” kata Nia Ramadhani.
Nia Ramadhani berkata banyak pelajaran dan pengalaman yang boleh dijadikan panduan dan iktibar untuk dirinya menjadi lebih baik di masa hadapan dan Nia berkongsi kisahnya dengan masyarakat agar ia dapat dijadikan pengajaran buat masyarakat umumnya.
“Ketika berada di pusat rehabilitasi, banyak perkara yang saya pelajari dan kongsikan di dalam buku ini. Hikmahnya sudah saya dapatkan untuk diri sendiri, kenapa tidak kalau misalkan ada kesempatan buat saya membahagikan cerita itu kepada orang lain,” kata Nia Ramadhani lagi.
Di novel ini, Nia Ramadhani mendapat kerjasama dari penulis Pidi Baiq sebagai penyunting novel. Dalam kesempatan yang sama, Pidi Baiq mengaku terkesan dengan cerita Nia Ramadhani. Bahkan, dia menyebut bahawa cerita Nia Ramadhani ini layak diangkat menjadi sebuah filem.
Mungkin tidak lama lagi kisah Nia Ramadhani ini bakal difilemkan di layar perak pula, siapa tahu!