Bukan senang nak hidup senang. Pengalaman dan ujian yang dilalui Pengasas Nufiya Empire Sdn Bhd ini boleh membuatkan ramai orang tersedar betapa pentingnya mengubah kehidupan daif agar satu hari nanti, bukan hanya anak-anak tetapi lebih ramai orang dapat mengubah ekonomi keluarga.
Nufiya Empire Sdn Bhd bukan hanya fokus dalam penjualan produk untuk wanita tetapi kini turut menghasilkan minuman untuk lelaki. Bermula dengan penghasilan produk untuk ibu mengandung dan ibu menyusu, Nufiya kemudian mengeluarkan jamu moden untuk ibu bersalin.
“Pada asalnya, saya selepas melahirkan anak, saya mengalami masalah kurang susu badan. petua yang dikongsikan oleh seorang teman berbangsa Cina yang menggunakan buah-buahan dari herba Cina bagi memperbanyakkan susu dan Alhamdulillah ia menjadi untuk saya.
Kegembiraan itu saya kongsikan di sosial media dan tak sangka dari situ ramai yang memberi respon positif. Ramai rupa-rupanya orang Melayu yang tidak tahu kebaikan herba yang saya gunakan ini. Dari situ saya mula menjual herba ini dalam bentuk kering (direbus) dan dalam bentuk siap bancuh. Organic Milk Booster kini menjadi ‘killer product’ di Nufiya.
Penghasilan jamu pun ada kaitannya dengan saya yang tidak sukakan jamu pahit serta dalam bentuk kapsul. Ladies Coffee adalah pilihan terbaik bukan sahaja untuk saya tetapi ibu-ibu yang baru lepas bersalin. Kopi untuk wanita ini menjalani tempoh R&D yang agak lama juga sehinggalah saya berpuas hati dengan hasilnya,”ujar penerima Nona Excellence Entrepreneur Award 2020 ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Nufiya Empire Sdn Bhd yang baharu berusia 26 tahun ini sudah melalui pelbagai ujian demi meletakkan fasa kehidupan pada tahap selesa. Pengalaman kehilangan kedua ibu bapa dalam satu kemalangan maut membuatkan dia tersentak dan terus cari peluang berniaga.
“Saya baru berusia 19 tahun ketika Allah ‘mengambil nyawa’ mak dan abah. Kami langsung tidak mempunyai simpanan apatah lagi rumah yang ada hanyalah rumah sewa. Tiga bulan selepas kemalangan itu, saya mengambil keputusan untuk berkahwin. Suami, Muhd Fikri Ahmad Roshdi pula masih belajar. Ketika itu, hanya ibu dan ayah mentua tempat kami bergantung hidup.
Saya hanya boleh berniaga tepi jalan sahaja kerana mengalami kecacatan pada tangan kanan di mana ia tidak boleh bergerak. Lebih mencabar apabila anak pertama kami lahir. Suami ketika itu sangat tertekan kerana duit rumah sewa, perbelanjaan untuk anak dan jarak perjalanan dari rumah dan tempat kerja suami yang jauh.
Kami meminjam sana sini demi menjelaskan sewa rumah. Kepenatan berulang-alik dari rumah ke tempat kerja membuatkan suami tekad pindah rumah di KL. Kami ikat perut kerana dia baru sahaja mula bekerja. Bila suami mula membuat dua kerja dalam satu masa, saya rasa tersentap kerana terlihat kepenatan membuat locum sebagai staff nurse di tempat lain.
Dari situ saya terus mengambil keputusan untuk menjadi dropship tanpa mengetahui apa maksud dropship. Sesudah itu saya menjadi ejen untuk barangan lain pula. Di sinilah kesilapan terbesar saya kerana tanpa ilmu bisnes, kita umpama berjalan dalam kegelapan. Saya gunakan duit yang diberikan kepada anak untuk tujuan modal.
Akhirnya saya bermula dari dropship semula untuk menjual kanta lekap. Saya pakai kanta lekap dan upload di media sosial, akhirnya permintaan pun banyak. Saya minta suami membelikan komputer riba bagi kegunaan perniagaan. Saya mula mencari pengedar kanta lekap dan saya menjadi ejen pula. Tanpa menyimpan stok, saya mencari dropship dengan pulangan yang lebih baik. Kehidupan kami pun menjadi lebih baik. Simpanan saya ketika itu adalah emas.
Tetapi tidak habis di situ, Yaya tetap mencari barang lain untuk dijual. Saya kemudian menjadi dropship untuk barangan bayi sehingga menjadi master stokis. Saya berhenti kerana suami merasakan saya mampu memasarkan barangan sendiri. dengan modal RM5,000 hasil pajakan emas, saya buat pula losyen. ” katanya lagi.
Dari seorang surirumah, Yaya kini sudahpun mengemudi syarikatnya sendiri. Rezeki yang diperoleh kini bukan hanya datang dari usaha tetapi doa yang tidak pernah putus dari kedua ibu bapa mentuanya serta suami.
“Bila sampai saat ini, saya merasakan kedua ibu bapa mentua saya adalah orang yang paling layak menikmati kesenangan ini kerana tanpa mereka tak mungkin saya berjaya. Terbinanya Nufiya Empire Sdn Bhd adalah untuk membantu surirumah yang ingin menambah pendapatan dan mengukuhkan ekonomi keluarga.
Saya sentiasa terbayang saat kehilangan kedua ibu bapa. Saya terfikir, sekiranya kini saya tak mengubah nasib keluarga, andai satu hari nanti Allah ambil nyawa saya atau suami, macam mana dengan anak-anak kami? Apa harta dan simpanan yang boleh mereka gunakan apabila kami tiada nanti.
Di Nufiya, saya sendiri yang akan coaching mereka. Saya pernah mengabaikan team sehingga seorang demi seorang meninggalkan kami tapi saya anggap itu semua sebagai cabaran. Kali ini, saya mempunya kemudahan untuk memberi coaching secara live atau melalui online. Di Facebook memang meriah dengan ilmu kerana pada saya, tanpa ilmu seseorang pengasas sukar untuk sustain dalam perniagaan dan kita bukan siapa-siapa.”akhiri Yaya.