Bergelar isteri kepada pegawai tentera memang sangat mencabar. Usahawan makanan laut kering, Nurul Syamimi Mohd Fauzi, 32, berkongsi pengalaman cabaran dalam perniagaan dan pada masa yang sama terikat dengan tugas suami yang sering bertukar unit sehingga terpaksa berpindah. Anak jati Kelantan ini merupakan ibu kepada 4 orang anak yang berusia 12, 10, 7 dan 4 tahun.
Minat berniaga memang sudah dipupuk sejak kecil kerana arwah Mama merupakan peniaga kecil-kecilan dan mempunyai kedai pakaian Muslimah. Ayah pula seorang pesara polis. Saya juga berniaga kerana merupakan isteri kepada seorang pegawai tentera yang kerap berpindah. Jadi, jika bekerja saya agak terikat untuk mengikut suami bertukar unit. Ini juga cabaran yang sangat besar buat saya sebagai usahawan yang baru mula bertatih dalam dunia perniagaan.
CABARAN PANDEMIK
Pada awalnya saya agak tertekan juga. Tambahan, bekalan makanan laut kering mengalami masalah dari segi pengurusan. Saya memanfaatkan sepenuhnya bantuan diberikan oleh kerajaan (GKP) kerana meringankan beban kami para usahawan mikro. Selain itu, saya mengurangkan perbelanjaan modal dengan menguruskan sendiri perniagaan di rumah dari segi pembungkusan walau dalam keadaan yang agak struggle kerana pada masa sama perlu memantau pelajaran (PdPR) anak-anak.
Mujurlah suami dan keluarga sentiasa memberi sokongan dan menjadi pendorong utama saya. Mereka jugalah penyokong kuat dalam apa jua yang saya lakukan termasuk dari segi bantuan modal.
Saya perlu kuat dan berani menempuh apa jua cabaran mendatang demi menstabilkan ekonomi keluarga. Tiada jalan mudah untuk berjaya. Jika tidak pecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Saya juga percaya, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia,” kongsi Nurul Syamimi yang juga merupakan ahli BAKAT (Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera).
DETIK STRUGGLE
“Pengalaman paling memberi kesan ketika saya dan anak-anak berjauhan dari suami selama 6 bulan kerana bertugas di Sarawak. Saya terpaksa menguruskan perniagaan seorang diri, dengan nak menguruskan anak-anak lagi yang masih kecil. Hanya Allah saja yang tahu betapa peritnya saya ketika itu melalui kesukaran menguruskan perniagaan dan anak-anak. Waktu tidur yang tidak terurus, makan tak menentu, saya pula terkejar-kejar menguruskan anak termasuklah membeli barang-barang keperluan harian. Akhirnya, saya terpaksa menghentikan perniagaan seketika untuk selesaikan urusan berpindah dan menetap di Sibu, Sarawak.
Dari situlah tercetusnya idea untuk berniaga kerepek peria katak dan sambutan sangat baik. Cabarannya permintaan lebih tinggi daripada pengeluaran. Agak kelam kabut dari segi pengurusan dan bekalan bahan sebab bisnes tersebut masih baru.
Kemudian saya beranikan diri menjadi founder produk pemakanan tambahan. Dari situ baru saya sedar bukan mudah menjadi seorang founder dalam bisnes ini. Apabila perniagaan saya makin dikenali saya terpaksa sekali lagi berhenti berniaga kerana mengikut suami yang bertukar ke Tawau, Sabah. Sekali lagi saya berhadapan dengan masalah pengurusan. Kemudian diuji pula dengan pandemik COVID-19.
Pada tahun 2020 suami saya sekali lagi ditukarkan ke Kuala Lumpur. Sejak berada di Tawau, Sabah lagi dah tercetus idea untuk menjalankan bisnes ikan bilis. Memang terkesan dengan PKP dan bekalan ikan bilis dari sana kerana ia ada musim tertentu. Saya hold dulu sehingga keadaan kembali stabil.
Kemudian saya memberanikan diri menyertai Pencarian Nona Superwoman. Mungkin ini satu peluang buat saya untuk belajar pelbagai tip dan ilmu perniagaan seterusnya kuat menghadapi cabaran sebagai seorang usahawan wanita.
NASIHAT & IMPIAN
Sebagai usahawan terutama wanita, jangan pernah merasa putus asa dalam apa jua yang dilakukan. Jika penat rehat seketika, bukan berhenti. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian. Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.
Seterusnya, impian saya untuk membantu wanita-wanita di luar sana. Saya mahu membuka peluang dan menarik minat mereka terutamanya yang berada di luar bandar dengan pendedahan maklumat tentang perniagaan saya yang berasaskan pertanian dan perikanan. Selain itu, saya juga ingin memiliki sebuah premis perniagaan dan bergelar usahawan wanita berjaya yang mampu mencipta nama di dalam mahupun luar negara. Secara tidak langsung dapat membantu mereka menjana ekonomi rumahtangga,” akhiri graduan Diploma Komunikasi dan Media ini.
Rancangan Pencarian Nona Superwoman 2021 di ASTRO PRIMA bermula 22 September setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh Usanita.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Nurul Syamimi
This website uses cookies.