NURUL SYASYA Bidik Emas Pada Penampilan Sulung, Warisi Bakat Ibu Bapa Dalam Sukan Menembak

Genetik adalah salah satu faktor dalam melahirkan atlet handalan. Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin atau Syasya antara permata sukan ‘semulajadi’ hasil penglibatan aktif ibu bapanya dalam arena sukan menembak.

Kredit Foto: Rise Up Johor

Atlet berusia 20 tahun ini bukan sahaja memenangi dua pingat emas pada SUKMA 2018 Perak, malah mencipta rekod baharu dalam kategori 10M Air Pistol dan 25M Sport Pistol. Syasya turut memenangi pingat emas di 1st Indonesian Shooting Championship Open Tournament 2019.

Syasya menyertai sukan menembak pada usia 15 tahun dan mula mewakili negeri Johor pada tahun 2017.

Beberapa hari lalu, Syasya sekali lagi melakar kejayaan apabila mencipta kejutan memenangi pingat emas 10M air pistol wanita pada penampilan sulungnya di Sukan SEA Hanoi. Ia merupakan emas ke-35 kontinjen negara.

Kredit Foto: Astro Arena

Pada aksi final di Pusat Latihan Sukan Hanoi, anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini berjaya menampilkan konsistensi dalam setiap bidikan untuk mengumpul 239.3 mata sekali gus mengatasi pencabar lain.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih saya sebab bantu saya sejak awal sampailah saya dapat pegang emas itu dengan tangan sendiri.

“Nak kata saya harap sangat pingat emas itu tidak, ia agak sukar sebab ramai atlet lain, jadi saya menangis (selepas menang) kerana saya dah buktikan kepada jurulatih saya dapat melakukannya,” katanya kepada pemberita.

Kredit Foto: Astro Arena

Sebagai rekod, Syasya merangkul pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2018 ketika berusia 16 tahun selepas hanya setahun menceburkan diri secara aktif dalam sukan menembak.

Seperti atlet lain, kemajuan Syasya turut terjejas akibat pandemik COVID-19 yang hanya sempat merasai pengalaman pertama kali beraksi di pentas antarabangsa pada Grand Prix (GP) Indonesia di Jakarta Februari lepas sebelum bertanding di Sukan SEA.

Sumber: Bernama & www.riseup.my

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad