Obses Nak Cantik & Sihat Jadi Pencetus SYARIFAH KHYRA MUHSIN Miliki Produk Sendiri

Pemilik empayar perniagaan Fellera Beauty Malaysia Sdn Bhd, Syarifah Khyra Muhsin atau nama sebenarnya Syarifah Nur Fakhirah Syed Muhsin memulakan perniagaan dengan mengeluarkan produk penjagaan kulit sejak 10 tahun lalu.

 

Obses untuk sentiasa cantik dan sihat menjadi pencetus utama kepada penerima Nona Best Supplement Product Award ini untuk mengeluarkan produk sendiri.

“Asalnya saya mengeluarkan produk sendiri adalah untuk kepuasan diri. Sebab saya memang obses nak cantik dan jaga badan. Saya tak mahu tua sebelum usianya. Tambahan pula, susah nak jumpa produk yang sesuai dengan saya. Dalam pada obses tu, saya banyak mencuba produk-produk orang lain tetapi tak rasa kesan seperti yang diinginkan,” kongsi ibu kepada tiga orang anak yang berasal dari Terengganu ini.

Syarifah Khyra kemudiannya beralih kepada produk suplemen atau makanan tambahan iaitu jeli Bellrossa Advancces yang kini tular sebagai ‘jeli ajaib’ khusus biat wanita. Jeli yang terkenal dengan tagline “Sekali sedut tak cari lain, suami makin sayang” ini turut menjadi pilihan kebanyakan selebriti wanita Malaysia. Jeli kecantikan dan kesihatan ini bukan 100 peratus jamu kerana turut mengandungi 16 bahan makanan tambahan termasuk campuran vitamin dan ekstrak buah.

“Produk ini dikeluarkan sejak tahun 2019. Setahun sebelum itu, proses R&D telah dilakukan. Tahun ini barulah Ia meledak serta menjadi pilihan selebriti terkenal antaranya Neelofa, Rozita Che Wan, Elfira Loy dan Syatilla Melvin.”

Syarifah Khyra menjadi antara yang pertama mengeluarkan suplemen dalam bentuk jeli yang tidak pahit. Dia mensasarkan 100 ribu kotak jeli sebulan, seterusnya 1 juta kotak dalam tempoh enam bulan.

PERMULAAN
“Nak diikutkan saya mula berniaga sejak belajar di universiti lagi iaitu ketika berumur 20 tahun. Ketika itu saya banyak dibantu oleh seorang pensyarah yang berpengalaman luas tentang produk. Beliau banyak memberi nasihat, tunjuk ajar, pandangan dan informasi.

Bermula saat itulah saya berminat dengan perniagaan walaupun sebenarnya saya tidak pernah merancang pun. Saya buat produk untuk kegunaan sendiri sambil-sambil mencari duit poket untuk perbelanjaan di kampus. Saya bermula dengan zero modal. Hanya bergantung kepada duit PTPTN dan duit suami. Dalam masa 1-2 minggu saya dapat bayar semula, siap beri hadiah sekali tanda terima kasih kepada suami. Hanya sekali itu sahaja saya pinjam duitnya.

Semua keuntungan saya rolling semula. Dalam dunia perniagaan kita jangan mudah gelap mata bila nampak duit banyak dan jangan membazir. Saya sendiri tidak bermewah-mewah atau nak menunjuk-nunjuk, membanding-banding dan berlawan-lawan dengan orang lain. Itu bukan saya. Biarlah kalah membeli menang memakai, ukur baju di badan sendiri. Alhamdulillah perniagaan semakin berkembang, masih lagi cukup makan pakai, tidak meminjam dengan orang atau mana-mana bank.

Kena pandai uruskan duit dan kalau nak reward diri beli yang biasa-biasa dulu pun tak mengapa sebagai meraikan kejayaan kecil kita. Alhamdulillah saya gembira dengan apa yang saya buat. Saya bermula dan belajar dari bawah. Saya lakukan senuanya sendiri tanpa bantuan orang tengah termasuk pergi ke kilang, jumpa pengeluar dan sebagainya. Pengalaman itulah yang ‘mahal’ mengajar saya erti sabar dan menjadi seorang yang lebih matang.

Syukur tahun ini sudah 10 tahun Fellera berada di pasaran. Cuma pada tahun 2018 saya pernah diuji dengan kejatuhan dalam perniagaan dan ianya ditutup seketika. Kira-kira enam bulan juga saya terpaksa melalui detik pahit getir hidup disebabkan bisnes jatuh. Namun selepas rebrand semula pada Julai 2019, saya mendapat idea-idea yang lebih segar. Banyak perubahan yang dilakukan, kualiti produk pun semakin bagus. Alhamdulillah setakat ini belum ada lagi respon yang negatif daripada para pengguna.”

MOMEN KEJATUHAN
“Selama 10 tahun bergelar usahawan saya melihat diri ini semakin matang dan faham tentang konsep rezeki dalam perniagaan. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Bagi saya, kalau nak berjaya kita kena lalui semua itu. Nak capai impian perlu lalui fasa kegagalan. Berniaga tidak semudah apa yang kita fikirkan. Lain orang, berbeza cara dan pengalamannya.

Ujian yang saya lalui itu memang perit sampai buat keputusan untuk tutup perniagaan selepas pergi umrah. Saya berdoa mohon petunjuk dari Allah SWT, bila balik Malaysia terus terdetik hati untuk tutup perniagaan. Dari mana datangnya kekuatan itu saya ikut kata hati. Berserah sahaja kepadaNya. Team saya yang pada mulanya ramai tinggal beberapa orang sahaja. Namun saya teruskan usaha sampailah dapat ilham untuk rebrand. Bisnes semakin berkembang, team semakin ramai.

Sebenarnya kejatuhan ini satu pengalaman. Tapi saya taknak jatuh banyak kali. Cukuplah sekali, selepas ini nak ianya terus meningkat kerana saya sendiri dah faham kalau nak berjaya kena lalui semua itu. Bergelar usahawan ni kalau jatuh sikit-sikit tu jangan mudah putus asa. Kena lawanlah sebab pasti akan ada sesuatu yang Allah SWT nak beri yang lebih baik. Tanpa kejatuhan mungkin sampai bila-bila kita tak akan belajar benda baru untuk ubah diri kita.

Muhasabah diri apa silap kita untuk diperbaiki. Dari situ barulah Allah SWT beri rezeki yang luar biasa kalau kita sabar dan redha dengan ujianNya.

Seterusnya, impian terbesar saya ingin menunaikan umrah sekerap yang mungkin, sebulan sekali atau dua bulan sekali. Bagi saya, dengan asbab rezeki ini saya dapat menunaikan umrah kerap kali. Saya diberikan rezeki menghantar ahli keluarga dan team menunaikan ibadah umrah. Saya mahu berkongsi kebahagiaan bersama mereka.

Saya mahu menghantar orang lain untuk merasai nikmat yang sama. Itulah juga reward paling besar bagi saya, penat kerja capai target kemudian pergi umrah. Bila dijemput ke baitullah banyak kali ni adalah satu nikmat terbesar dan terindah bagi saya.”

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad