Age is just a number. Mungkin ada yang beranggapan apabila usia semakin meningkat, soal penampilan tidak diberi perhatian khusus. Tanggapan itu ternyata meleset kerana soal penampilan diri sememangnya menjadi elemen utama yang diberi perhatian oleh kebanyakan wanita. Tidak kira berapakah usia, soal penampilan menjadi penanda aras untuk menaikkan keyakinan diri di samping menjadi wanita lebih berketerampilan dan yakin berhadapan dengan pelbagai situasi.
Nama: Sue Lastri Maun
Umur: 44 Tahun
Pekerjaan: Suri Rumahtangga
Sejauh mana keprihatinan anda terhadap kecantikan?
SUE LASTRI: Saya amat mengambil berat soal kecantikan tubuh badan dan wajah. Saya beri perhatian pada setiap inci tubuh badan. kalau terlebih lemak, terkering, terkusam saya akan cepat mengambil langkah membaikpulih keadaan itu. Begitu juga dengan kecantikan wajah.
Rahsia anda kekal cantik di usia 40an?
SUE LASTRI: Saya bukanlah cantik sangat. Namun tidak saya sangkal masih terlalu ramai juga yang belum masuk 40an sudah tidak menjaga kecantikan diri. Saya melakukan aktiviti kecergasan dengan berjogging sejauh 6km setiap hari atau sekurang-kurangnya 3 kali dalam seminggu. Saya akan memastikan diet yang seimbang, tidur yang cukup, amalkan rutin penjagaan wajah dan sentiasa berfikiran positif.
Bagaimana rutin kecergasan dan gaya hidup mempengaruhi kecantikan anda?
SUE LASTRI: Bagi saya kesihatan itu adalah kecantikan. Apabila kita selalu melakukan aktiviti kecergasan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat ia akan meningkatkan kualiti kehidupan kita.
Nama: Azlina Abdul Aziz
Umur: 42
Pekerjaan: Surirumah
Sejauh mana keprihatinan anda terhadap kecantikan?
AZLINA: Bekerja di dalam bidang perhotelan bahagian jualan dan korporat selama 15 tahun sekaligus menyebabkan saya amat menitik beratkan penampilan kerana ia memerlukan saya keluar berjumpa dengan pelanggan korporat setiap hari. Tidak biasa keluar rumah jika tidak bersolek dan berkasut tumit tinggi, mungkin kerana sudah biasa.
Rahsia anda kekal cantik di usia 40an
AZLINA: Saya percaya bangun tidur di awal pagi adalah kunci untuk kita kekal segar dan cantik.
Bagaimana rutin kecergasan dan gaya hidup mempengaruhi kecantikan anda
AZLINA: Kerjaya di bidang perhotelan bahagian Corporate Sales selama 15 tahun semestinya banyak mempengaruhi penampilan harian. Oleh itu, sekarang saya akan pastikan pengambilan makanan harus mengikut waktu.
Nama : Nik Faizah Nik Mahmood
Umur : 44
Pekerjaan : Pengurus Transformasi
Sejauh mana keprihatinan anda terhadap kecantikan?
NIK FAIZAH: Saya lebih kepada keprihatinan terhadap kesihatan kerana yakin bahawa kecantikan bermula dari tubuh badan yang sihat. Gaya hidup sihat dan pemakanan yang sederhana adalah di antara faktor utama bagi memastikan berat badan yang tidak berlebihan.
Rahsia anda kekal cantik di usia 40an?
NIK FAIZAH: Utamakan kesihatan dan sentiasa aktif dalam aktiviti bersukan. Pemakanan yang sederhana di antara faktor utama, walaubagaimana pun saya juga gemar fast food dan makanan mamak yang agak sukar dielakkan. Buah-buahan juga penting di dalam diet seharian dan saya juga akan makan ulam-ulaman yang dipercayai mempunyai khasiat yang boleh mengekalkan kecantikan walaupun di usia 40an.
Bagaimana rutin kecergasan dan gaya hidup mempengaruhi kecantikan anda?
NIK FAIZAH: Saya akan cuba meluangkan masa untuk berlatih berlari dengan rakan sepejabat setiap minggu di sekeliling blok pejabat atau di taman yang berdekat. Saya juga mula mengamalkan penggunaan tangga dan kurangkan penggunaan lif. Di hari minggu, saya akan cuba slow jog sekurang-kurangnya 4 – 5km jika tiada acara larian pada minggu tersebut.
Nama: Aliya Zulaikha Alias
Umur: 44 tahun
Pekerjaan: Executive Vice President, Enterprise Risk Management
Sejauh mana keperihatinan anda terhadap kecantikan?
ALIYA: Sebagai seorang wanita, sudah tentu saya menitik beratkan soal penampilan diri. Saya sentiasa cuba untuk memastikan supaya tatarias wajah dan pakaian sentiasa kemas serta sesuai dengan tempat, keadaan dan majlis.
Rahsia anda kekal cantik di usia 40an?
ALIYA: Sentiasa aktifkan diri dengan pelbagai aktiviti sukan dan gembirakan diri bersama keluarga dan teman rapat.
Bagaimana rutin kecergasan dan gaya hidup mempengaruhi kecantikan anda?
ALIYA: Saya amat menitikberatkan rutin kecergasan untuk memastikan saya sentiasa bertenaga. Saya ke gym setiap minggu untuk train bersama personal trainer yang melibatkan weight-training untuk memastikan kecergasan tulang. Selain dari itu, saya juga melakukan senaman yoga di rumah ataupun di studio.
This website uses cookies.