Oh, Patutlah Azwan Kombos Selalu ‘Cair’ Dengan Ezzaty Abdullah. Ada Resipi PENGIKAT SUAMI Rupa-Rupanya!

Sekali imbas, wanita bertubuh genit ini iras selebriti Indonesia, Acha Septriasa. Realitinya, Ezzaty Abdullah yang juga artis yang kian dikenali ramai ini bukan sekadar hebat di layar perak. Malah cukup ligat apabila memasak di dapur.

Selain pernah membintangi drama Delina, Hello Mr. Perfect serta filem Anak Mami Nasi Kandaq, anak jati kelahiran Bentong, Pahang ini juga merupakan pengasas produk kecantikan Vermillon. Pada 16 Julai tahun lalu, Ezzaty sah bergelar isteri kepada pelakon Azwan Kombos.

Khabarnya, selain tertawan dengan kecantikan dan bakat dimiliki Ezzaty, suaminya juga terpikat dengan air tangan wanita berusia 27 tahun tersebut. Bertuah sungguh Azwan. Lebih menggembirakan, kedua-duanya kini sedang menanti kehadiran cahaya mata sulung mereka. Tahniah!

Berikut dua menu Pahang yang mahir disediakan Ezzaty dan boleh anda cuba untuk menambat hati suami anda juga.

ASAM REBUS IKAN BAUNG

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan baung
  • ½ biji bawang besar
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 tangkai cili merah
  • 1 inci halia
  • 2 @ 3 inci kunyit hidup
  • 2 keping asam keping
  • Air
  • Garam

Cara membuat:

Bersihkan ikan dan potong kepada bahagian 3 ke 4 bahagian. Seterusnya, tumbuk kasar bawang besar, bawang putih, halia, kulit dan cili merah. Ambil bahan yang telah ditumbuk tadi dan masukkan ke dalam periuk bersama ikan dan asam keping.

Tuangkan air secukupnya dan kacau perlahan. Apabila sudah mendidih, perasakan dengan garam. Biarkan seketika sehingga ikan benar-benar masak. Tutup api dan hidangkan bersama nasi putih.

PUCUK UBI MASAK LEMAK TEMPOYAK PETAI

Bahan-bahan:

  • 1 ikat pucuk ubi
  • 10 helai daun pucuk kaduk
  • 10 helai pucuk labu
  • 3 helai daun kunyit
  • 4 batang serai
  • 20 tangkai cili padi
  • 1 ½ inci kunyit hidup
  • 1 genggam ikan bilis
  • 6 sudu besar tempoyak
  • 1 ½ cawan santan pekat
  • 3 papan petai
  • 1 keping asam keping
  • Garam
  • Air

Cara membuat:

Rebus pucuk ubi yang telah dihiris kasar. Tos dan asingkan. Tumbuk cili padi dan kunyit hidup hingga lumat. Kemudian, masukkan pula ikan bilis dan serai yang dihiris halus. Tumbuk kasar kedua-dua bahan tersebut dan kaup untuk dimasukkan ke dalam periuk.

Seterusnya, tuangkan santan diikuti tempoyak, asam keping, petai, pucuk ubi, pucuk kaduk dan pucuk labu. Pastikan pucuk kaduk dan pucuk labu telah dihiris kasar. Gaul sekata. Apabila sudah mendidih, bubuh garam. Kacau sekali lagi. Siap untuk dihidang. Suziana Abu Daud

Share
Published by
Norzalina