Olahan 4 Menu Sihat & Lazat Berasaskan Minyak Zaitun

Walaupun banyak masa di rumah namun golongan wanita terutama ibu-ibu yang terpaksa bekerja dari rumah (Working From Home) perlu bijak menguruskan masa antara urusan kerja dan keluarga. Kalau tidak, kelam kabut jadinya.

Memasak sendiri di rumah lebih terjamin dari segi kebersihan serta tahap kalorinya berbanding makanan luar yang tinggi kandungan minyak dan garam. Kita bukan saja berisiko untuk mendapat penyakit obesiti dan darah tinggi bahkan terdedah dengan risiko penularan wabak Coronavirus Disease 2019 (COVID-19). Sebab itulah pentingnya faktor kebersihan!

Inilah masanya untuk anda mengubah semula tabiat pemakanan sekeluarga kepada lebih sihat. Berikut contoh 4 menu sihat yang sangat mudah disediakan. Apa yang penting menggunakan minyak zaitun yang tinggi kandungan zatnya berbanding minyak masak biasa.

CAESAR SALAD

Bahan-bahan A (caeser dressing):

140 gm keju parmesan (dicincang)

10 gm bawang putih

3 biji kuning telur

Dijon mustard

200 gm mayonis

100 gm ikan bilis

50 gm caper

150 ml minyak zaitun

Bahan-bahan B:

Romaine lettuce

Turkey bacon

Telur rebus

Keju parmesan

Bawang putih

Cara Membuat:

Campurkan bahan-bahan A kemudian asingkan ke dalam bekas. Potong romaine lettuce mengikut cita rasa. Gaul rata bersama Caesar dressing tadi. Seterusnya campurkan turkey bacon diikuti keju parmesan dan telur rebus. Boleh juga letakkan hirisan ayam panggang/bakar jika suka. Sedia untuk dihidangkan.

Caesar Salad

SUP BROKOLI

Bahan-bahan:

250 gm brokoli

1 sudu minyak zaitun

100 gm seleri

100 gm leek

20 gm bawang putih

100 ml krim masakan

Garam secukup rasa

Air secukupnya

Cara Membuat:

Tumis bawang putih, seleri dan leek bersama minyak zaitun. Kemudian masukkan pula brokoli, gaul rata. Seterusnya masukkan air dan renehkan sehingga sayur-sayuran tersebut menjadi lembut. Setelah itu, toskan lalu kisar sehingga hancur. Masukkan krim masakan sedikit demi sedikit serta garam secukup rasa. Gaul sehingga sebati. Boleh dihidangkan bersama roti bawang putih.

Sup Brokoli

SMOKED SALMON SANDWICH

Bahan-bahan:

4 kepingan salmon salai

Roti focaccia (segi empat)

100 gm salad campuran

2 keping hirisan timun

2 keping hirisan tomato

1 sudu Dijon mustard

1 sudu sos tomato

Cara Membuat:

Panaskan roti focaccia sehingga lembut. Kemudian sapukan Dijon mustard dan sos tomato ke atas roti. Letakkan hirisan tomato bersama salad campuran. Seterusnya letakkan salmon salai ke atasnya. Tutup dengan roti dan boleh dipotong dua. Boleh dihidangkan bersama kentang goreng.

Smoked Salmon Sandwich

LINGUINI CHICKEN BOLOGNESE

Bahan-bahan:

50 gm bawang putih (dicincang halus)

100 gm bawang holland (dicincang halus)

Isi ayam dikisar

200 ml sos tomato

100 gm pes tomato

10 ml minyak zaitun

150 gm pasta linguini (direbus)

Untuk Hiasan:

Tomato ceri

Keju parmesan

Cara Membuat:

Untuk sos Bolognese, tumis bahan-bahan yang dicincang sehingga naik bau. Masukkan isi ayam dikisar ke dalamnya dan gaul rata sehingga masak. Kemudian masukkan pula pes tomato serta sos tomato. Masak sehingga ianya mendidih. Ketepikan. Sediakan pasta linguini yang telah direbus. Curahkan sos Bolognese tadi ke atas pasta diikuti dengan tomato ceri. Taburkan keju parmesan secukup rasa. Sedia untuk dihidangkan.

Linguini Chicken Bolognese

Resipi: Chef Khairul Syafiq dari Eatropica Cafe Kuala Lumpur

 

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad