Memalukan! Hanya itu yang terkesan di hati Nona saat melihat video rakaman kekecohan program Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam, semalam.
Di mana bonda kesayangan, Tun Dr. Siti Hasmah ketika itu? Melihatkan kerusi, selipar dan suar ‘berterbangan’, hanya soal keselamatan bonda dan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengasak fikiran.
Tidak tercapai akal ini, memikirkan bagaimana sikap berpuak-puak begitu kuat meracuni hati masyarakat. Tergamaknya mereka, Allahuakbar!
Situasi sabotaj atau apa pun istilahnya, bukanlah jalan perdamaian yang kita cari di tengah kemelut negara sekarang.
Bukanlah mahu berpihak pada sesiapa. Cuma sebagai rakyat Malaysia, sedih melihat orang Melayu di situ berpecah belah. Tiada hormat pada orang yang pernah berjasa besar. Orang tua. Bekas Perdana Menteri kita.
Mereka itukan sebahagian SEJARAH MALAYSIA yang masih hidup! Tolonglah jangan lupakan, walau apa pun kekhilafannya. Selama ini seluruh dunia mengenali Malaysia kerana nama mereka, bukan nama kita.
Daripada Abu Musa Al-Asy’ari R.A berkata, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya;
“Orang mukmin itu bagi mukmin lainnya seperti bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. Kemudian Baginda menggabungkan jari-jemari tangannya.” HR Imam Bukhari, Muslim dan An-Nasa’i.
Ukhwah dan pertalian kita sesama Muslim seharusnya kuat seperti jari-jari yang bertaut erat.
Tarikh Keramat
Tetapi seperti yang berlaku 13 Ogos 2017, realitinya tidak begitu. Orang Islam berpecah belah dan bergaduh sesama sendiri.
13 Ogos, nombornya mirip 31 Ogos… hari kemerdekaan negara. Malangnya apa yang berlaku tidak menggambarkan sebuah KEMERDEKAAN pun.
Kekuatan sebuah rumah terletak pada tiangnya. Kekuatan seorang mukmin terletak pada solatnya. Dalam apa jua keadaan sekali pun, sedih atau gembira dirikanlah solat. Itu sebaik-baik asas perpaduan, SOLAT, SOLAT dan SOLAT!
Di atas nama kemerdekaan, sama-samalah kita bertekad agar peristiwa semalam tak akan berulang lagi. Untuk selama-lamanya. Norzalina Mohd Alias
This website uses cookies.