Bukan mudah mahu memimpin sebuah negara. Amanah yang digalas bukan boleh sekadar melepas batuk di tangga kerana setiap keputusan itu bakal mempengaruhi 32.75 juta kehidupan rakyat Malaysia.
Barangkali inilah yang menjadi dilema para pemimpin negara. Seboleh upaya menyelamatkan keadaan namun peningkatan kes baharu COVID-19 terus memecut naik.
Pentadbiran kanan kerajaan hari ini memutuskan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.
Perkara itu dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan sebentar tadi.
“Pelantikan (Ismail Sabri) ini akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini,” memetik kenyataan itu.
Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memegang portfolio Menteri Luar kini berstatus Menteri Kanan.
Di samping itu, Perdana Menteri bersetuju supaya Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.
Kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta-merta.
Justeru, PMO berharap pelantikan itu akan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan partiparti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan Kerajaaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti. (Sumber Astro Awani)
SIFAT KEBAPAAN
Sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat, pendekatan kekeluargaan yang diterapkan oleh beliau sentiasa segar di hati.
Penguatkuasaan undang-undang bukanlah sesuatu yang mudah, tapi bayangkan ketegasan lelaki ini berjaya mendapat kerjasama rakyat dengan cara tersendiri.
Antaranya melalui penampilan kemeja dan perhiasan dekorasi yang menjadi penyeri sidang media! Sangat kreatif.
Yang pasti, pelantikan pemimpin kanan berusia 61 tahun ini diharapkan mampu menyatukan hati kita yang sedikit ‘tercalar’ dengan situasi semasa.
“Kita mendengar, dan kita mahu yang terbaik buat rakyat. Kesihatan dan keselamatan rakyat adalah perkara penting yang akan terus diutamakan di negara ini.
Stay safe semua… Saya sayang kalian semua…” Ismail Sabri
Semoga dengan jawatan baru Datuk Seri Ismail Sabri ini dapat membantu negara meratakan lengkung jangkitan COVID-19 di Malaysia sekaligus menyatukan semula hati-hati rakyat yang jelas ‘terpukul hebat’ dengan cabaran pandemik sekarang.
Sama-sama kita jaga kita dan ketepikan jurang ketidaksefahaman demi menyelamatkan masa depan negara. InsyaAllah, percaya bahawa kita semua mampu lakukan.
Tahniah Datuk Seri!
This website uses cookies.