Nama isteri PM, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sentiasa segar di jiwa rakyat. Bicaranya lembut seperti air tapi sifat air yang tenang itu mampu memadamkan api. Beliau memimpin dengan meletakkan akhlak di depan, sekaligus membuatkan ahli politik wanita berusia 70 tahun itu amat disegani. Kelembutan takkan pernah tewas dengan kekerasan, itulah ciri seorang ikon wanita hebat yang diangkat dalam Nona Superwoman Award 2022.
Bercerita secara eksklusif kepada Majalah Nona tentang momen perjuangan beliau, wanita yang merupakan ibu kepada enam permata hati – Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman, Nurul Ilham dan Nurul Hana itu terbuka mengimbau kenangan lama.
Menyentuh pengalaman paling pahit Dr Wan Azizah selaku ketua keluarga sepanjang tempoh suaminya dipenjarakan, siapa sangka dalam keterpaksaan itu melahirkan seorang wanita hebat yang menjadi pemimpin politik, ketua parti dan gagasan pembangkang, malah beliau turut menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia.
Rentetan peristiwa pemecatan dan penahanan Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah mula bangkit melalui gerakan reformasi. Beliau bertanggungjawab membantu menubuhkan Parti Keadilan Nasional digabungkan dengan Parti Rakyat Malaysia pada April 1999 yang kemudian menjadi Parti Keadilan Rakyat dan bertindak selaku Presiden PKR.
Kekuatan luar biasa Dr Wan Azizah menyuntik inspirasi kepada masyarakat dunia. Saksikan sesi temu bual eksklusif Majalah Nona ini…
KELETIHAN
Isteri kepada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini juga mengakui ada kalanya pernah terfikir untuk berhenti dek terlalu penat dicemuh namun semangatnya membina kekuatan diri untuk terus bangkit.
“Sejujurnya saya penat dan letih sebab nampak macam tiada penghujungnya. Kadangkala bila saya dah nampak akan berjaya, tapi akhirnya berlaku ujian pengkhianatan membuatkan saya kembali kepada asal.
Saya banyak kali dipandang rendah atas sebab isteri banduan ataupun dicemuh setiap kali saya pergi kempen, berpaling muka dan sebagainya.
Tapi saya fikir mereka tak kenal saya mungkin. Tak kenal maka tak cinta kan saya terima saja. Cuma yang membuatkan saya kuat sehingga kini adalah kerana saya mahu reda Allah SWT.
Sejujurnya saya terfikir banyak kali untuk berhenti. Saya masih ingat kali kedua Anwar (dipenjarakan), kami hanya diberi setengah jam saja dan terus jatuh hukum. Memang saya sedih sebab ingat dia akan sambung perjuangan politik kami.
Tapi apabila difikirkan balik insyaaAllah, saya boleh. Kalau tidak Allah takkan uji saya jika saya tak mampu. Tukarkan mindset bagaimana kita melihat masalah yang kita hadapi. Minta pertolongan pada Allah, jangan pada makhluk.” Dr Wan Azizah
Pintar dan solehah, ikuti sambungan kisah penuh wanita yang diangkat sebagai Nona Superwoman 2022 ini dalam edisi khas Nona Superwoman Award tidak lama lagi.
This website uses cookies.