Kalau dulu setiap kali menonton berita mahupun rancangan televisyen kendaliannya, kita sering ‘terpukau’ dengan pesona yang dimiliki personaliti penyiaran tersohor ini. Puan Sri Normala Samsudin dan gelaran ‘Wanita Melayu Terakhir’ sememangnya tak dapat dipisahkan.
Kini Puan Sri Normala bebas daripada pentas glamor mahupun spotlight umum. Tenang menjalani kehidupan peribadi, isteri kepada bekas ahli politik Tan Sri Azmi Khalid ini menetap di Perlis. Hanya sekali sekala sahaja akan turun ke Kuala Lumpur jika ada urusan penting.
Ads
PERNAH HIDUP SUSAH SEMASA KECIL
Benarlah, pengalaman hidup menjadikan siapa kita pada hari ini. Banyak yang kita belajar maka banyaklah juga pengalaman yang akan kita dapat. Berikut perkongsian paling berharga daripada Puan Sri Normala Samsudin buat para pembaca.
“Ketika kecil saya sudah merasa hidup susah. Hidup membantu keluarga, melihat bagaimana ibu yang bergelar ibu tunggal mencari wang demi keluarga. Saya melihat ibu seorang yang sangat kuat. Macam-macam usaha yang dilakukan oleh ibu demi mencari sesuap nasi antaranya dengan menoreh getah, berkebun dan sebagainya.
Kalau bulan Ramadan ibu akan kerja lebih kuat. Wang hasil torehan getah, ibu akan kumpul untuk membeli kain pasang dan menjahitnya pada sebelah malam untuk dijadikan baju raya. Alhamdulillah berkat rajin belajar saya juga pandai menjahit antaranya langsir dan baju kurung Johor. Semua kerja-kerja orang perempuan saya dah belajar sejak kecil. Dalam erti kata lain persediaan saya untuk menjadi seorang isteri seperti memasak dan melakukan kerja-kerja rumah sudah dididik oleh ibu sejak awal lagi.
Saya kagum dengan ibu kerana semangatnya yang luar biasa telah menjadikan siapa saya sekarang ini. Antara kata-kata ibu yang paling terkesan dalam hidup saya ialah tentang hikmah perceraian. Ketika saya pernah gagal dalam perkahwinan, demi menjaga hati saya, ibu berkata soal jodoh Allah yang tentukan. Semua yang terjadi ada hikmah dan kita kena sabar. Ringkas saja kata-katanya tetapi penuh makna tersirat.
PANDAI MEMASAK
Bagi saya orang perempuan perlu ada usaha untuk belajar memasak. Sedap atau tidak itu bukan perkara utama. Apa yang penting adalah usaha dan sentiasa praktis walaupun tak pernah pegang senduk. Saya sendiri sejak usia 9 tahun sudah pandai memasak. Sebagai anak sulung pagi-pagi lagi saya sudah ke dapur untuk masak cekodok dan lempeng pisang.
Saya dan adik perempuan memang diajar untuk tahu memasak sejak kecil. Bukan hanya belajar tanak nasi atas dapur kayu dan membuat kuih-kuih kampung bahkan kami juga belajar bagaimana cara nak kukur kelapa. Selain menoreh getah, ibu juga adalah penjual kuih-kuih kampung.
Siang ibu menorah getah, malam pula ibu sediakan bahan-bahan untuk buat kuih. Sebelum Subuh kuih dah siap untuk dihantar kepada penjual. Walaupun untung tak besar namun dapatlah juga beli baju sekolah dan pensil. Lagi pun niat saya bantu ibu buat kuih nak cari duit belanja sekolah. Lama-lama jadi seronok pula bila dapat upah bantu buat kuih. Hasilnya, kita menjadi anak-anak yang sentiasa ingat kesusahan orang tua yang membesarkan kita.
Ads
RAMADAN
“Ramadan tahun ini tak banyak beza seperti tahun-tahun sudah. Selalunya sebelum Ramadan saya akan buat perancangan awal dari segi lokasi sama ada akan berpuasa di Perlis atau Shah Alam. Kalau di Perlis sambutannya lebih meriah bermula pada waktu Subuh sampailah ke sahur.
Dari segi juadah saya sendiri yang akan memasak untuk keluarga walaupun ada pembantu rumah. Saya yang akan tentukan apa yang hendak dimasak termasuklah bahan-bahan yang diperlukan. Selalunya suami dan anak-anak sukakan hidangan yang ringkas-ringkas sahaja dan tidak pedas. Kalau Ruhila selalunya akan meminta saya untuk masakkan laksa, kengsom atau masak rebus asam singgang.
Antara kenangan malam raya paling manis ialah ketika saya dan adik beradik perempuan sama-sama membuat kuih raya, lemang dan ketupat. Selalunya selepas dengar pengumuman raya barulah kami akan pergi menangkap ayam peliharaan keluarga kemudian disembelih untuk dijadikan rendang. Momen ini paling seronok kerana kami sangat teruja untuk menyambut raya.
Ads
NASIHAT
“Doa ibu sangat penting kepada anak-anak. Saya sering mengingatkan anak-anak perempuan tentang persediaan dan tanggungjawab sebagai isteri. Dalam rumahtangga perlu banyak bersabar dan berkompromi. Walaupun adakalanya kita rasa kita betul tetapi cuba bercakap secara baik dengan suami. Kalau di tempat kerja kita seorang ketua, di rumah kita tetap seorang isteri dan ibu. Sentiasa berdoa agar suami mudah lembut hati.
Wanita zaman dulu lebih banyak bertenang dan sabar. Selalunya orang-orang yang lebih tua akan sentiasa ada untuk memberikan nasihat. Contoh ibu saya, walau macam mana pun kehidupannnya dalam rumahtangga ibu tidak pernah bising atau tunjuk depan anak-anak. Tidak bercerita sana sini.
Sebaliknya pula yang berlaku pada zaman ini. Ada masalah sikit terus kongsi di media sosial. Ini sebenarnya satu ‘penyakit’ merbahaya. Bagaimana buruknya keadaan rumahtangga atau terguris hati dengan suami jangan sesekali memuat naik status di media sosial. Saya sendiri tak menyokong perbuatan ini.
Bagi saya tanpa ilmu seseorang itu tak akan mampu pergi lebih jauh. Sebagai wanita juga kita perlu bekerja. Jangan terlalu bergantung kepada duit suami terutama pada zaman sekarang. Harus ada prinsip ‘saya perlu bekerja’. Maka, setiap anak perlu dididik dengan pelajaran. Sekurang-kurangnya dengan adanya ilmu mereka tahu untuk handle kehidupan yang kian mencabar.
Sekarang ini saya banyak menguruskan kerja-kerja di rumah termasuk berkebun seperti menanam ulam ulaman, pokok pisang, pokok rambutan dan sebagainya. Memandangkan anak-anak pun dah besar maka masa saya lebih banyak di Perlis. Selain itu, saya juga aktif dengan aktiviti hiking.”
Kredit Foto: Instagram @normalasamsudinofficial
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
MashaAllah, hanya mereka yang mengamalkan dan memahami setiap isi kandungan Al-Quran berpeluang merasai kurniaan ini. Kedengaran agak cliché namun itulah hakikat yang dialami Hajah Jaliah Haji Simin… ibu kepada Juara Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut.
Biarpun beliau sudah berusia 63 tahun dan khatam Al-Quran untuk kesekian kali, Hajah Jaliah setia membaca kitab suci Islam ini dan mengajar keindahan yang terkandung di dalamnya kepada para wanita tanpa mengira peringkat umur setiap hari. Seperti anak gadisnya, Hajah Jaliah juga merupakan bekas qariah dan pernah mengikuti pertandingan tilawah Al-Quran bersama arwah suami, Haji Panut Haji Markum.
Menceritakan rutin hariannya, ibu kepada lima anak ini tenang berkongsi cerita. “Aktiviti hari-hari memang mengajar mengaji. Biasanya kaum ibu-ibu datang ke rumah saya untuk mengaji bersama. Tambahan pula, di rumah ada bangunan khas. Arwah suami yang wakafkan tanah dan bina bangunan ini khusus untuk kegunaan penduduk setempat.
Misalnya dijadikan tempat belajar mengaji atau adakan majlis ilmu. Beberapa bulan lepas pun ada persatuan yang buat majlis kebajikan warga emas di sini. Tak ada bayaran pun. Memang kami alu-alukan majlis macam ni. Sekurang-kurangnya ada benda yang boleh saya buat dan tambah kenalan baru.
Bangunan yang diwakafkan arwah suami tidaklah besar mana, dalam lingkungan setengah ekar dan bersambung dengan rumah. Senang kami anak-beranak nak jaga dan bersihkan kawasan ini,” ujarnya sambil memberitahu bangunan tersebut sudah dibina sejak 2003 lagi dan arwah Haji Panut meninggal dunia lebih setahun lalu akibat kencing manis.
Walau sudah berumur 63 tahun namun ketangkasan Hajah Jaliah masih tajam seperti orang muda. Bahkan, beliau jugalah yang sanggup berulang-alik dan menghantar anaknya Farhatul ke sekolah atau menghadiri jemputan majlis. Sampaikan ada yang hingga ke lewat malam. Kuatnya tenaga ibu ini.
“Setiap hari saya akan mengajar mengaji di rumah mulai hari Isnin hingga Khamis. Cuma hari Jumaat dan Sabtu, saya akan pergi mengajar di luar pula. Memang penuh rumah sebab ramai yang sudi datang mengaji. Kami namakan bangunan yang ada tersebut dengan nama Raudhah Tilawah.
Dulu saya pernah belajar di Kelantan dan tok guru di sana namakan bangunan tu Raudhah Tilawah juga. Jadi itu ialah Raudhah Tilawah 1… yang kami punya ini, Raudhah Tilawah 2, Selangor.
Bila ada cuti terluang, saya akan pergi jumpa tok guru di Kelantan dengan kawan-kawan untuk mengaji. Di sana pukul 3 pagi lagi dah bangun dan ada yang dah tua umur 60-70 tahun lebih pun masih rajin mengaji. Mereka ni bukan hendak masuk tilawah tapi saja nak belajar. Tengok mereka yang dah berusia rajin macam tu… saya rasa belum terlambat lagi bagi yang muda untuk sama-sama belajar.
Subhanallah… Memang keluarga berbakat! Turun daripada ibu bapa ke anak-anak semuanya qari dan qariah berjaya ❤️?? #majalahnona #inspirasinona #nonasuperwoman #realitiimpianwanita #farhatul #tilawahantarabangsa #tilawahalquran #farhatulFairuzah #alquran #qari #qariah
Masa anak-anak masih kecil, saya dan arwah suami aktif ikut tilawah. Adalah menang dalam 4-5 kali. Bayangkan, waktu tu anak-anak masih kecil dan kami terpaksa bawa mereka bersama sebab nak masuk tilawah. Farha pun masa tu belum ada lagi,” ujar ibu penyayang ini sambil ketawa.
Ketika ditanya pendapatnya bila ada yang mengatakan mengaji Al-Quran mampu menguatkan ingatan, ini jawapan Hajah Jaliah. “Ada betulnya. Bukan ingatan je kuat, mata pun jadi terang. Dulu saya pakai cermin mata… tapi sekarang tak. Alhamdulillah.
Tahun ini umur saya dah 63 tahun. Memang biasanya saya yang hantar anak-anak pergi mengaji dan sekolah. Dah terbiasa. Ada juga makan supplemen tapi kadang-kadang je bila ingat.
Soal jaga suara tu jujur saya katakan tak ada apa-apa petua. Cuma jangan minum air batu. Anak-anak yang masuk tilawah, saya akan bagi mereka telur ayam kampung sebelum pertandingan. Makanlah sebiji dua sebab tarannum ni perlukan banyak tenaga,” kongsi Hajah Jaliah mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sememangnya Bella Astillah lambang kekuatan wanita yang bergelar isteri. Malam tadi telah mencipta momen indah dalam diri Bella Astillah apabila melihat suami tercinta menjadi Juara Gegar Vaganza Musim ke-8. Tahniah! Aliff Aziz yang meraih gelaran juara bagi musim ini dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 serta trofi.
Gegar Vaganza musim ini turut menyaksikan Nikki Palikat merangkul gelaran naib juara dan membawa pulang RM50,000 sementara Suki Low pula menduduki tempat ketiga dengan memenangi hadiah wang tunai RM30,000.
Sudah pasti kelibat Aliff Aziz sebagai juara pada malam itu telah mencuri perhatian ramai. Melihat kejayaan yang diraih oleh penyanyi lagu Sayang Sayang ini sudah pasti membayangkan sokongan padu tak berbelah bagi yang telah diberikan oleh isterinya, Bella Astillah.
Walaupun ramai yang tahu pasangan ini pernah diuji dengan kisah rumah tangga mereka namun kesabaran dan sifat pemaaf ibu kepada Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna ini dikagumi oleh wanita lain.
Memetik kata-kata Bella ketika ditanya dalam program Live bersama Prof Muhaya baru-baru ini, “Sebenarnya kita sebagai manusia memang susah nak lupa apa yang kita telah maafkan.
Tapi kalau kita memaafkan dengan ikhlas dan kita melalui hari kita dengan ikhlas, insyaallah kita akan rasa lebih tenang dan benda-benda tu dah tak ada dalam hati serta fikiran saya.
Sebab itu mudah untuk saya menjalani hari-hari saya bersama anak-anak dan suami, alhamdulillah,” ucap Bella Astillah lambang kekuatan seorang isteri zaman ini.
Teringat ketika Nona mengatur pertemuan bersama Bella Astillah saat wanita ini sedang menempuh dugaan rumah tangganya dahulu. Ketika itu kekuatan hati seorang wanita yang bergelar isteri ini memang benar-benar terserlah.
Langsung tiada riak sedih mahupun kecewa yang tergambar di wajahnya. Ekspresi wajah yang terpamer ketika itu hanyalah kasih sayang yang tidak berbelah bagi terhadap anak sulungnya.
“Apa juga yang terjadi dalam hidup ini saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Saya mahu move forward, maju ke depan demi anak dan juga keluarga tercinta.
Sebagai kakak sulung kepada lima orang adik-beradik saya juga mempunyai tanggung jawab terhadap mereka. Jadi saya tiada masa untuk selfish, bermuram-durja kerana masalah sendiri. Itu menunjukkan bad example kepada adik-adik saya and I need to show very good example to them.
Bagi saya sebagai seorang wanita atau pun isteri, sokongan keluarga sangat penting. Jika sudah berkahwin jangan sekali-kali membuang keluarga kerana mereka sentiasa akan berada di samping kita saat susah dan senang,” tutur Bella ketika temu bual kami sekitar tahun 2019.
Semoga rumah tangga Bella dan Aliff tidak lagi diuji selepas ini serta terus utuh dan kekal bahagia hingga ke syurga firdaus.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahun 2020 menyaksikan pandemik COVID-19 telah menjadi isu kesihatan global sehingga mencetuskan norma baharu dalam kehidupan kita saat ini.
Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan selain rasa syukur serta syabas buat semua petugas barisan hadapan kita khususnya petugas kesihatan yang banyak berkorban tenaga dan masa demi mengawal penularan wabak COVID-19.
Dr Amanda Elli antara petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa kenal erti penat dan putus asa. Mesra disapa sebagai Dr Amanda, beliau yang berusia 28 tahun kini bertugas di Unit COVID salah sebuah pejabat kesihatan daerah.
Beliau juga pernah ditugaskan di jabatan Kecemasan dan Trauma salah sebuah hospital kerajaan. Dr Amanda merupakan graduan National University of Ireland, Galway dibawah tajaan MARA menerusi skim pelajar cemerlang di Ireland selama 5 tahun. Dr Amanda sangat komited dengan tugasya sebagai seorang doktor, kerjaya yang dicita-citakan sejak kecil.
DETIK MERUNTUN JIWA
“Antara momen paling menyentuh jiwa saya sejak bergelar frontliner ialah peristiwa di mana ada seorang wanita berusia lebih kurang ibu saya yang tiba-tiba rebah di parking kereta. CPR dilaksanakan di situ juga kemudian dibawa ke bahagian kecemasan. Waktu itu saya bertugas di zon merah.
Wanita ini ibu kepada 6 orang anak. Ketika itu hanya dua anaknya yang paling kecil berusia dalam belasan tahun ada bersamanya. Kedua-duanya menangis dan panik. Wanita itu sudah tidak sedarkan diri. Kami bergilir-gilir buat CPR kepada wanita itu.
Kemudian saya diarahkan oleh Pegawai Perubatan yang bertugas untuk berhenti seketika untuk menjawab panggilan telefon daripada anak-anak wanita itu yang berada di beberapa negeri. Sambil menangis mereka merayu-rayu dan meminta saya memberi surat pelepasan untuk rentas negeri memandangkan ketika itu kita dalam PKP.
Saya jadi kelu tidak tahu hendak jawab apa. Hanya mampu katakan maaf. Tiada apa yang boleh kami lakukan selain buat yang terbaik demi menyelamatkan ibu mereka. Terlintas di fikiran kalau saya berada di tempat mereka pasti sangat sedih kerana tidak dapat bertemu dengan ibu yang dalam keadaan kritikal begitu.
Mereka sebenarnya sudah dimaklumkan oleh dua adik mereka yang ibu mereka sakit tetapi semuanya berlaku secara tiba-tiba dan tidak sempat memohon untuk rentas negeri. Paling meruntun jiwa apabila hanya dua orang anak yang masih kecil berada di sisi wanita itu sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Pengalaman ini telah mengajar saya betapa besarnya kasih sayang keluarga serta pengorbanan ibu bapa. Ia juga mengajar saya erti rasa kemanusiaan yang sebenar.
AMAL JARIAH Saya seorang yang sangat positif dan menganggap antara yang bertuah kerana diberi nikmat rezeki menjadi seorang doktor bersama amanah untuk berbakti kepada masyarakat dan negara. Saya berjanji untuk mekaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin dan ikhlas. Ia juga menjadi amal jariah kami sebagai petugas barisan hadapan. Kami akan terus buat yang terbaik selagi termampu dan diperlukan,” akhiri Dr Amanda.
Pesan Dr Amanda, teruskan mematuhi SOP. Amalkan rutin wajib norma baharu iaitu memakai pelitup muka, penjarakan sosial, mencuci tangan dengan sabun dan memakai hand sanitizer bagi mengekang penularan virus berbahaya ini daripada terus merebak.
Kredit Foto: Instagram Dr Amanda Elli
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...