Orang Terangganu, Rakyat Malaysia Pertama Menjadi Penterjemah Khutbah Jumaat Di Masjidil Haram

Keistimewaan hari Jumaat sudah semestinya apabila umat Islam difardhukan untuk menunaikan solat jumaat. Keterujaan menunaikan solat jumaat lebih teruja apabila berpeluang menunaikannya di Tanah Suci Mekah.

Sebelum menunaikan solat jumaat, khutbah jumaat dibacakan terlebih dahulu kepada para jemaah solat. Namun, apabila bersolat di Masjidil Haram sudah tentu Khatib akan membacanya dalam bahasa Arab. Bagi mereka yang memahami bahasa Arab mungkin tidak mempunyai masalah. Bagaimana pula mereka yang tidak faham bahasa Arab?

Rupanya sejak bulan Mac 2014, pentadbiran Masjidil Haram telah memulakan program menterjemah khutbah Jumaat ke dalam empat bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Peranchis dan Urdu termasuk Bahasa Melayu.

Mendengar khutbah jumaat sudah tidak menjadi masalah lagi selepas itu apabila jemaah boleh mendengar bacaan khutbah jumaat menggunakan peranti audio dan fon kepala yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi.

Khutbah jumaat ini boleh diikuti di frekuensi radio FM90.5 di pintu 72 hingga pintu 95. Siapakah yang menjadi penterjemah khutbah jumaat dan siapakah gerangan suara yang berkumandang dalam peranti audio dalam bahasa Arab ke bahasa Melayu ini.

Insan yang bertuah dan terpilih untuk menterjemahkan khutbah jumaat di Masjidil Haram ialah Mohamad Aswadi Ali, dan Mohamad Nurul Hafiz Ab. Latif , 32, masing-masing dari Marang dan Besut, Terengganu.

Bekas pelajar sarjana Dakwah di Universiti Umm Al Qura ini, tinggal di sana sebagai penuntut universiti berkenaan. Mereka mengikuti pengajian bahasa Arab di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dalam bidang Al-Quran dan Hadis.

Selain daripada jemaah Malaysia, khutbah yang diterjemahkan olehnya boleh turut diikuti jemaah dari Indonesia, Brunei Darrusalam, Singapura, Thailand dan Filipina.

Ditanya mengenai perasaan Mohamad Nurul ketika diberikan tanggungjawab menterjemah khutbah Jumaat pertamanya, beliau berkata: “Saya merasa terharu dan takut juga kerana ia tanggungjawab yang amat besar,” katanya.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh akhbar Mstar, antara cabaran yang ditempuhnya adalah semasa menterjemah khutbah Aidilfitri suatu ketika dahulu kerana teksnya panjang iaitu 25 muka surat selain Khatib dan Imam Masjidil Haram membaca khutbah itu dengan cepat.

Melalui laporan Harian Metro, Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Abdul Aziz As-Sudais berkata, khutbah Jumaat dalam bahasa Melayu juga akan diadakan di Padang Arafah ketika musim haji. Tambah Sheikh Abdul Rahman, langkah itu menunjukkan betapa pentingnya ikatan bersama Malaysia bagi kerajaan Arab Saudi.

Share
Published by
Hamizatul Maizan