Beruntungnya orang Terengganu! Hari Raya nanti bukan saja dapat bersolat raya di Masjid Kristal bahkan tahun ini juga rakyat negeri tersebut bakal menerima satu lagi mercu tanda ikonik terbaharu iaitu Jambatan Angkat yang dikhabarkan siap sepenuhnya akhir bulan ini.
Jambatan Angkat atau dikenali sebagai ‘draw-bridge’ menjadi laluan yang menghubungkan Muara Selatan di pusat bandaraya Kuala Terengganu dan Muara Utara di Seberang Takir bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas yang kerap dialami penduduk sekitar setiap kali tibanya musim perayaan. Difahamkan, jambatan ini juga mula beroperasi sebelum Aidilfitri iaitu pada awal Jun depan.
Menurut Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar… jambatan berkenaan diserahkan kepada kerajaan negeri setelah ia siap sepenuhnya kelak. “Jambatan angkat ini dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini dan tempoh sebulan diambil untuk melalui beberapa siri ujian keselamatan bangunan sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri dan dibuka kepada umum.
Sekiranya segala proses termasuk urusan jalan raya seperti lampu isyarat dan baik pulih jalan dapat disiapkan, kita optimis ia boleh mula digunakan sebelum Aidilfitri iaitu pada awal Jun.”
Tambahnya lagi, “Jika sebelum ini pengguna hanya boleh menggunakan Jambatan Sultan Mahmud atau jalan alternatif di Durian Burung, Manir, jambatan ini satu lagi pilihan yang akan mengurangkan kesesakan terutama pada musim perayaan dan cuti panjang.”
Jambatan Angkat mula dibina pada Ogos 2014 sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut. Ia juga menjadi jambatan angkat terpanjang di dunia dengan disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan serta boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal.
Bukan sekadar menyediakan kemudahan kepada penduduk setempat, mercu tanda ini juga menjadi tarikan pelancong di dalam dan luar negara. Kos pembinaan jambatan ini dianggarkan bernilai RM248 juta.
Sumber: Berita Harian
This website uses cookies.