“Saya menangis dalam peti sejuk beku dan tanpa sedar pintu tertutup. Bila terasa kenapa badan makin sejuk melampau, saya lihat pintu tertutup. Nasib baik, staf cari saya dan salah seorang buka peti tersebut dan lihat saya dah membiru. Saya berterima kasih pada hinaan seorang hamba Allah kerana pengalaman itu membuatkan saya SAYA BERAZAM untuk jadi usahawan berjaya dan kaya!” bicara Nur Hati.
Berusia 40 tahun, Nur Hati Amran merupakan pengasas pelbagai jenis kudapan cookies serta sambal yang diinovasikan mengikut kreativiti sendiri. Beliau adalah pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dan pernah menjadi wakil tunggal IKS Mersing ke peringkat Negeri Johor pada tahun 2010.
“Tanpa kenal erti putus asa, saya berusaha keras untuk melihat produk Eijaz Food Industry berada di dalam supermarket. Usaha itu akhirnya tercapai walaupun tidaklah sebesar mana apabila produk kami berjaya menembusi beberapa mall.
Menitik air mata kerana saya adalah IKS kecil jika nak dibandingkan syarikat gergasi yang lain. Momen paling sedih dan membuatkan saya menangis ketika hantar barang ke mall, semua syarikat pakai lori besar-besar untuk turunkan barang berbanding kami hanya menggunakan kenderaan biasa.
Bila anak sulung saya berkata, “InsyaAllah, suatu hari nanti syarikat mama pasti ada lori, sikit aje lagi mama…” Berjurai air mata saya menangis, sebak saya dibuatnya. Saya benar-benar berjuang sendiri tanpa mana-mana dana bantuan pinjaman untuk sampai ke tahap ini.
Saya juga amat bersyukur kerana boleh berada sebaris jenama makanan yang hebat di mall. Bagi saya, ini kejayaan terbaik buat syarikat Eijaz Food Industry walaupun masih banyak yang perlu kami perbaiki dan pelajari.
Berjaya memasuki pasaran mini market dan kedai-kedai runcit, niat saya agar semua orang boleh rasa serta mampu membeli pelbagai jenis sambal mama dengan harga ekonomi RM1, insyaAllah,” ujar Nur Hati.
Ads
Terus berbicara, “Saya pernah bekerja sebagai kerani data banci di Muar, Johor. Waktu itu saya duduk rumah sewa di Sungai Abong bersama empat adik-adik penyewa lain. Saya paling dewasa dan disebabkan suka niaga, saya ajak adik-adik rumah sewa buat bisnes jual karipap. Mereka setuju, itu pun setelah dapat izin dari pegawai atasan untuk jual waktu rehat sahaja.
Bermulalah operasi kami berniaga karipap yang habis laris dijual. Tak cukup itu, balik kerja jam 5 petang, saya dan rakan serumah bekerja sambilan di restoran makanan segera untuk cari duit lebih, kami nak sambung belajar dan ambil lesen kereta.
Dipendekkan cerita ada satu peristiwa yang buat saya menangis. Sewaktu saya sedang ambil order, tiba-tiba saya ditengking kerana pelanggan itu mahu cepat. Dia marah dengan kata-kata kesat dan menghina. Saya lari ke belakang dan kebetulan peti sejuk beku itu terbuka. Cepat-cepat saya berlari masuk, menangis dalam peti sejuk beku tanpa sedar pintu tertutup.
Tiba-tiba saya sedar bila rasa kenapa badan makin sejuk melampau. Saya nampak pintu tertutup dan mula cemas. Nasib baik rakan-rakan cari saya dan salah seorang buka peti tersebut. Waktu tu saya dah membiru.
Ads
Saya berterima kasih pada hinaan seorang hamba Allah kerana di saat itu saya mula berazam untuk jadi usahawan berjaya dan kaya. Macam-macam dalam fikiran bermain dalam otak kepala saya ketika itu sebab terlalu geram.
Hasil niaga karipap di pejabat pula saya beli cincin emas, saya beli 4 bentuk buat setiap adik-adik yang sama berniaga sebagai tanda kenangan kami bersama.
Pengalaman bekerja sambilan sampai kejang kaki dan bangun sebelum Subuh untuk buat karipap. Namun semua kenangan masa muda ini, menjadi saya lebih matang untuk meneruskan kehidupan,” cerita Nur Hati sambil tersenyun sendiri.
Setahun kemudian Nur Hati menerima tawaran sebagai guru ganti di sebuah sekolah rendah. “Seronok teringatkan kenangan lalu, bila anak murid datang ke kereta untuk bantu kita angkat buku. Mereka suka lihat cikgu sebab berkasut tinggi, dari jauh dah dengar saya catwalk.
Ads
Jika dulu mengajar tidak sama dengan sekarang, kami tidak dibenarkan pakai kebaya tapi saya pakai juga. Peristiwa menarik di sini saya disukai oleh seorang murid tahun 6 dalam diam, kantoi bila diari pelajar tersebut telah diserahkan oleh rakannya kepada guru lain, kecoh! Mulai saat itu, saya takut dan pakai baju kurung, tetapi tetap setiap hari saya dapat bunga, banyak cawan dan coklat walaupun baju kurung.
Pengajaran di sini bukan sebab baju tapi bersikap baiklah pada pelajar. Anggap mereka seperti kawan kerana akhirnya mereka akan sayang cikgu tanpa paksaan,” Nur Hati ketawa sendiri mengimbas kenangan mencuit hati.
“Seterusnya saya ambil PJJ dan pada masa yang sama dapat jawatan tetap sebagai pembantu guru. Namun tak lama selepas itu, saya letak jawatan kerana saya lebih suka berniaga. Waktu itu saya bersalin anak sulung dan mula fokus bisnes andaman dan spa pada awal pembabitan saya dalam dunia perniagaan.
Saya ada dua butik andaman dan sebuah spa. Setelah dua perniagaan kecantikan ini kukuh, saya buka kilang kecil di kawasan kampung di Johor dengan hanya lima pekerja kerana hobi saya suka memasak. Di sini bermulalah proses membuat popia mini udang bersira, di atas nama Ai Food. Alhamdulillah berjaya.
Ketiga-tiga perniagaan berjaya sehingga keuntungan seminggu mencecah RM12,000, saya memiliki rumah banglo pada usia 26 tahun dan punya van syarikat yang dibayar tunai. Saya rasa ketika itu adalah kemuncak kejayaan saya dalam berniaga. Dalam keindahan menikmati detik mewah ketika itu, bermulalah ujian besar dalam hidup saya…”
Ikuti sambungan kisah Nur Hati di bahagian 2…
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bagi Nursyuhada, “Biasanya wanita takut untuk pakai baju kebaya, mungkin kerana ketat ikut bentuk badan dan hanya sesuai untuk mereka yang mempunyai bentuk fizikal kurus. Jadi kita cari potongan yang agak longgar dan kami jatuh hati dengan rekaan kebaya Riau. Biasanya setiap rekaan itu akan saya pakai dan cuba dahulu sebelum dikeluarkan untuk pelanggan. Nyata, potongan kebaya Riau boleh membuatkan penampilan nampak kurus walaupun longgar tidak terlalu ketat.
Untuk menghasilkan setiap busana Kebaya itu kami akan lakukan R&D terlebih dahulu untuk menghasilkan pelbagai rekaan kebaya. Antaranya Kebaya Riau Pahang adalah produk utama, Kebaya Mini, Kebaya Kota Baharu, Kebaya Solo, Kebaya Belah yang asalnya dari Negeri Johor dan sekarang kami terus olah rekaan kebaya menjadi lebih kontemporari moden.
Pelbagai pilihan kebaya moden telah diperkenalkan seperti jaket kebaya, Kebaya Dress, Street kebaya dengan gaya lebih kasual untuk dipakai harian. Harapan kami agar setiap lapisan umur tanpa mengira usia dan status akan mencintai koleksi Rumah Kebaya Bangsar. Must have item dalam gerobok seluruh wanita Malaysia,” jelas Nursyuhada yang kini masih lagi bertugas sebagai seorang jurutera.
“Ya saya melaksanakan dua kerjaya dalam satu masa, berkhidmat sebagai seorang jurutera kerana sayang untuk meninggalkan pekerjaan tersebut. Pada masa yang sama, saya merupakan Founder of Syus Couture di Rumah Kebaya, Bangsar. Dunia rekaan fesyen menjadi cinta dan minat saya dari dahulu lagi, jika ada perasaan ini saya percaya kita tidak mempunyai masalah dalam mengatur perjalanan kerjaya kita dengan baik dan sempurna.
Lakukan apa yang kita suka dan minat, insyaAllah pasti dipermudahkan semuanya. Saya
akan pastikan lepas bekerja, saya akan terus ke butik dan kemudian pulang bersama anak anak. Hujung minggu pastinya masa saya untuk keluarga. Alhamdulillah, suami banyak memberi sokongan dalam menerajui perniagaan ini. Bagi saya, sekali kita sudah melangkah kita tidak akan menoleh lagi. Perlu punya kesabaran dan pengorbanan tinggi.”
Bagi Ir. Zul Izwan, “Untuk memantapkan lagi label Rumah Kebaya Bangsar, kami perlu jadi lebih agresif dari segi pemasaran. Selain dari Fasha Sandha sebagai muse utama, kami juga mendapat kerjasama baik bersama selebriti lain seperti Sharifah Sakinah, Dato’ Alha Alfa dan Zara Zya. Sekarang fokus kami juga untuk pelanggan VIP.
Paling penting dalam perniagaan ini perlu ada sistem teknikal yang terancang. Bukan sekadar hanya berbicara tentang fesyen tetapi kami memastikan inti pati perniagaan itu mempunyai
perancangan perniagaan di masa hadapan, perlu lebih berdisiplin di belakang takbir dengan target betul, sistem pembelian dan jualan yang betul. Kita perlu lebih realistik dalam perniagaan, faham market kita dengan kapasiti yang kita ada untuk kita menjana pendapatan dan memperoleh keuntungan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Saya ingin menjadi wanita yang sentiasa menyebarkan kebaikan, berjaya, kaya, kuat dan tabah dalam menghadapi apa jua cabaran. Paling penting saya ingin membantu insan yang tidak bernasib baik dan menjadi inspirasi buat wanita lain,” ujar Hayatul Nufus Abu Bakar, 28 tahun yang berkhidmat sebagai Marketing Executive dan freelance stylist.
“Selepas menamatkan pengajian, saya menjalankan perniagaan kafe Sharina Art Gallery & cafe bersama ibu tercinta. Dulu saya pernah bekerja sebagai pegawai pemasaran di Habib Jewels. Tetapi saya terpaksa melepaskan jawatan tersebut untuk menumpukan perhatian menjaga anak ketika itu.
Kemudian saya ditawarkan untuk berkhidmat sebagai Marketing Executive di syarikat AMD Indah Service yang menjalankan perkhidmatan pembersihan sisa kumbahan dan saya juga secara sambilan bertugas sebagai stylist di ASTRO,” bicara Hayatul tentang kerjayanya.
Berkongsi kisah pengalaman hidup, beliau terus bercerita… “Saya dibesarkan dalam keluarga yang berlatar belakangkan bisnes dan amat bersyukur mempunyai seorang ibu yang jiwanya sangat kental dan kuat. Ibu juga sentiasa berfikiran positif dalam kerjaya dan membesarkan anak, walaupun dirinya OKU fizikal. Kedua kaki ibu adalah kaki palsu.
Ibu saya bernama Sharinah Md Nor berusia 59 tahun dan dilahirkan di Pulau Pinang. Beliau dilahirkan dengan kecacatan kedua anggota kakinya. Walaupun mengalami kecacatan anggota, namun itu bukanlah halangan untuk ibu terus berusaha dalam membina kerjayanya sendiri. Ibu selalu menganggap dirinya normal seperti orang lain dan kekurangan itu dijadikan pembakar semangat untuk berjaya.
Buktinya, walaupun seorang OKU tapi ibu berjaya menamatkan pelajaran sehingga peringkat master di UiTM, membesarkan 4 orang anak dan memberikan pendidikan yang secukupnya kepada kami semua. Alhamdulillah, hasilnya semua anak-anak menjadi graduan UiTM seperti beliau.
Saya kagum dengan kejayaan ibu, seorang usahawan yang berjaya dan pernah memenangi anugerah wanita inspirasi Tun Dr Siti Hasmah pada tahun 2011. Sekarang, ibu aktif dalam seni kaligrafi dan telah menyertai beberapa pameran lukisan seni Islam antaranya di MATIC dan Balai Seni Lukis Negara. Selain daripada melukis, ibu banyak menghabiskan masa menanam pokok dan bermain bersama cucu-cucunya.
Kalau ingin bercerita tentang pengorbanan ibu, sangat panjang dan terlalu bermakna dalam hidup saya. Yang pastinya ibu sentiasa menasihati kami adik-beradik supaya usah jadikan kekurangan yang ada pada diri sebagai penghalang, tetapi jadikan sebagai pembakar semangat dan buktikan kepada diri dan orang lain bahawa kita boleh berjaya dengan apa jua keadaan diri kita seadanya.”
Bercerita tentang kerjaya Hayatul sendiri, “Mungkin kejayaan saya tidaklah sehebat para usahawan lain. Tapi saya berbangga dengan diri saya yang mampu bangkit semula untuk berjaya dalam kehidupan dan membesarkan anak-anak seorang diri. Saya amat bersyukur keluarga banyak memberi semangat dan membantu saya menempuhi pelbagai cabaran kehidupan.
Dalam perniagaan, saya dari zaman sekolah lagi dah menolong perniagaan keluarga. Saya ingat lagi ketika itu, ibu sakit jadi kami adik-beradik yang akan ‘buka kedai’ untuk jalankan perniagaan seperti biasa.
Bayangkan, waktu itu kami ada ambil booth bazar Ramadhan di pusat membeli-belah. Jadi lepas sahaja waktu persekolahan, saya akan bergegas pulang dan bersiap, naik motor skuter dari Port Klang ke Subang Jaya untuk buka booth bazar.
Waktu tu dalam fikiran, kalau tak meniaga, tak raya la kami semua. Jadi kami perlu berusaha mencari rezeki dan membantu ibu. Aduh! Kenangan ini sentiasa tersemat dalam ingatan dan saya amat berterima kasih kepada ibu saya kerana telah mendidik kami adik-beradik menjadi orang yang kuat dan tak mudah putus asa dalam apa jua cabaran,” ujar Hayatul sambil berlinangan air mata.
Pesan Hayatul buat semua wanita, “Jangan mudah putus asa. Sekali gagal tidak bererti gagal selamanya. Jangan hanya fokus pada satu perkara sahaja. Barangkali kegagalan sekarang menjadi pembuka pintu buat kejayaan di masa hadapan.
Sentiasa buat kebaikan kepada orang lain. Dan yang penting bahagiakan kedua orang tua dan keluarga dahulu, mereka adalah tulang belakang kita selamanya walau apa terjadi sekali pun,” bicara Hayatul.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini adalah pilihan. Kita sebagai manusia yang membuat pilihan hala tuju masing-masing. Pengasas Hijab by Hanami ini nekad memilih perniagaan tudung berlandaskan patuh syariah sebagai saham akhiratnya.
“Perjalanan kita ke syurga ini bukan senang jadi kita kena lalui dengan berlapang dada. Jadi kita kena pilih, keputusan yang kita buat tu kena betul, tak boleh ambil jalan pintas, kita kena pastikan betul-betul rezeki yang kita cari ini betul-betul halal dan supaya kesannya bukan untuk diri sendiri tapi jemaah, keluarga dan hari akhir kita nanti,” tutur Siti Zaleha Hamzah yang telah membina bisnes hijab ini selama tujuh tahun.
Meninggalkan kerjaya profesional demi membina sebuah empayar perniagaan berlandaskan patuh syariah merupakan jihad yang tiada tandingan. Sempat berkhidmat sebagai pendidik selama tiga tahun di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) wanita yang petah berkata-kata ini terus berani merencana perjalanan bisnesnya.
Bercerita tentang detik awal pembabitannya dalam bisnes hijab, “Mulanya saya buat secara suka-suka kerana waktu itu sukar untuk mencari tudung labuh tapi nampak eksklusif. Bila saya pakai, ramai pula yang bertanya malah menggesa saya untuk menjualnya. Kawan-kawan sepejabat ketika itu adalah golongan pertama membeli tudung rekaan saya.
Mereka sentiasa membakar semangat saya untuk terus maju malah ada yang sanggup menghulurkan wang sebagai modal untuk saya meneruskan perniagaan ini. Bukan itu sahaja, ketika cuti semester ada di kalangan rakan pensyarah saya sudi membantu menggunting kain untuk dijadikan tudung,” tutur wanita yang berbekalkan modal RM600, 13 tudung yang habis terjual pada hari pertama jualannya.
Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Usuluddin dari Universiti Malaya (UM) ini memegang misi, ‘Kaya dan Berjaya Bersama’ dan bersemangat membantu wanita lain untuk menukar taraf hidup. “Misi saya adalah untuk memberi team di bawah saya Kaya dan Berjaya Bersama. Bukan saya sahaja yang mampu memperoleh pendapatan RM1 juta sebulan tapi team saya juga boleh raih pendapatan RM1 juta sebulan.
Itu adalah harapan saya paling besar untuk tengok orang di keliling saya bahagia, berjaya dan cemerlang. Saya juga menyasarkan agar tahun ini saya boleh dapat 5000 agen Hijabs by Hanami untuk perkenalkan jenama ini kepada lebih ramai orang. Sebab kita ada produk yang berkualiti dan patuh syariah jadi saya rasa berdosa sekiranya saya tak berkongsi produk yang bagus ini dekat orang luar yang masih tak tahu lagi jenama ini.
Saya selalu beritahu staf, kita bukan saja nak buat duit kita ada misi. Jika di Malaysia ini ada 30 juta penduduk tapi sekarang belum sampai sejuta pun yang tahu tentang Hijabs by Hanami, jadi perjuangan kita masih jauh lagi,” kata wanita yang berasal dari Selangor ini.
Bersandarkan tagline Peneraju Tudung Bawal Sarung No. 1, Hijabs by Hanami begitu istimewa kerana fabriknya yang berkualiti tinggi, mempunyai rekaan edisi terhad serta keluaran koleksi baru setiap minggu dan boleh disarung oleh segenap lapisan usia. Malah, Hijabs by Hanami mendahului jenama lain dengan mendapat empat trademark tersendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemaruk beratur berjam-jam demi merasa makanan viral, golongan remaja dan orang muda yang berbadan besar di Malaysia lebih cepat alami kerosakan buah pinggang.