“Saya menangis dalam peti sejuk beku dan tanpa sedar pintu tertutup. Bila terasa kenapa badan makin sejuk melampau, saya lihat pintu tertutup. Nasib baik, staf cari saya dan salah seorang buka peti tersebut dan lihat saya dah membiru. Saya berterima kasih pada hinaan seorang hamba Allah kerana pengalaman itu membuatkan saya SAYA BERAZAM untuk jadi usahawan berjaya dan kaya!” bicara Nur Hati.
Berusia 40 tahun, Nur Hati Amran merupakan pengasas pelbagai jenis kudapan cookies serta sambal yang diinovasikan mengikut kreativiti sendiri. Beliau adalah pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dan pernah menjadi wakil tunggal IKS Mersing ke peringkat Negeri Johor pada tahun 2010.
“Tanpa kenal erti putus asa, saya berusaha keras untuk melihat produk Eijaz Food Industry berada di dalam supermarket. Usaha itu akhirnya tercapai walaupun tidaklah sebesar mana apabila produk kami berjaya menembusi beberapa mall.
Menitik air mata kerana saya adalah IKS kecil jika nak dibandingkan syarikat gergasi yang lain. Momen paling sedih dan membuatkan saya menangis ketika hantar barang ke mall, semua syarikat pakai lori besar-besar untuk turunkan barang berbanding kami hanya menggunakan kenderaan biasa.
Bila anak sulung saya berkata, “InsyaAllah, suatu hari nanti syarikat mama pasti ada lori, sikit aje lagi mama…” Berjurai air mata saya menangis, sebak saya dibuatnya. Saya benar-benar berjuang sendiri tanpa mana-mana dana bantuan pinjaman untuk sampai ke tahap ini.
Saya juga amat bersyukur kerana boleh berada sebaris jenama makanan yang hebat di mall. Bagi saya, ini kejayaan terbaik buat syarikat Eijaz Food Industry walaupun masih banyak yang perlu kami perbaiki dan pelajari.
Berjaya memasuki pasaran mini market dan kedai-kedai runcit, niat saya agar semua orang boleh rasa serta mampu membeli pelbagai jenis sambal mama dengan harga ekonomi RM1, insyaAllah,” ujar Nur Hati.
Terus berbicara, “Saya pernah bekerja sebagai kerani data banci di Muar, Johor. Waktu itu saya duduk rumah sewa di Sungai Abong bersama empat adik-adik penyewa lain. Saya paling dewasa dan disebabkan suka niaga, saya ajak adik-adik rumah sewa buat bisnes jual karipap. Mereka setuju, itu pun setelah dapat izin dari pegawai atasan untuk jual waktu rehat sahaja.
Bermulalah operasi kami berniaga karipap yang habis laris dijual. Tak cukup itu, balik kerja jam 5 petang, saya dan rakan serumah bekerja sambilan di restoran makanan segera untuk cari duit lebih, kami nak sambung belajar dan ambil lesen kereta.
Dipendekkan cerita ada satu peristiwa yang buat saya menangis. Sewaktu saya sedang ambil order, tiba-tiba saya ditengking kerana pelanggan itu mahu cepat. Dia marah dengan kata-kata kesat dan menghina. Saya lari ke belakang dan kebetulan peti sejuk beku itu terbuka. Cepat-cepat saya berlari masuk, menangis dalam peti sejuk beku tanpa sedar pintu tertutup.
Tiba-tiba saya sedar bila rasa kenapa badan makin sejuk melampau. Saya nampak pintu tertutup dan mula cemas. Nasib baik rakan-rakan cari saya dan salah seorang buka peti tersebut. Waktu tu saya dah membiru.
Saya berterima kasih pada hinaan seorang hamba Allah kerana di saat itu saya mula berazam untuk jadi usahawan berjaya dan kaya. Macam-macam dalam fikiran bermain dalam otak kepala saya ketika itu sebab terlalu geram.
Hasil niaga karipap di pejabat pula saya beli cincin emas, saya beli 4 bentuk buat setiap adik-adik yang sama berniaga sebagai tanda kenangan kami bersama.
Pengalaman bekerja sambilan sampai kejang kaki dan bangun sebelum Subuh untuk buat karipap. Namun semua kenangan masa muda ini, menjadi saya lebih matang untuk meneruskan kehidupan,” cerita Nur Hati sambil tersenyun sendiri.
Setahun kemudian Nur Hati menerima tawaran sebagai guru ganti di sebuah sekolah rendah. “Seronok teringatkan kenangan lalu, bila anak murid datang ke kereta untuk bantu kita angkat buku. Mereka suka lihat cikgu sebab berkasut tinggi, dari jauh dah dengar saya catwalk.
Jika dulu mengajar tidak sama dengan sekarang, kami tidak dibenarkan pakai kebaya tapi saya pakai juga. Peristiwa menarik di sini saya disukai oleh seorang murid tahun 6 dalam diam, kantoi bila diari pelajar tersebut telah diserahkan oleh rakannya kepada guru lain, kecoh! Mulai saat itu, saya takut dan pakai baju kurung, tetapi tetap setiap hari saya dapat bunga, banyak cawan dan coklat walaupun baju kurung.
Pengajaran di sini bukan sebab baju tapi bersikap baiklah pada pelajar. Anggap mereka seperti kawan kerana akhirnya mereka akan sayang cikgu tanpa paksaan,” Nur Hati ketawa sendiri mengimbas kenangan mencuit hati.
“Seterusnya saya ambil PJJ dan pada masa yang sama dapat jawatan tetap sebagai pembantu guru. Namun tak lama selepas itu, saya letak jawatan kerana saya lebih suka berniaga. Waktu itu saya bersalin anak sulung dan mula fokus bisnes andaman dan spa pada awal pembabitan saya dalam dunia perniagaan.
Saya ada dua butik andaman dan sebuah spa. Setelah dua perniagaan kecantikan ini kukuh, saya buka kilang kecil di kawasan kampung di Johor dengan hanya lima pekerja kerana hobi saya suka memasak. Di sini bermulalah proses membuat popia mini udang bersira, di atas nama Ai Food. Alhamdulillah berjaya.
Ketiga-tiga perniagaan berjaya sehingga keuntungan seminggu mencecah RM12,000, saya memiliki rumah banglo pada usia 26 tahun dan punya van syarikat yang dibayar tunai. Saya rasa ketika itu adalah kemuncak kejayaan saya dalam berniaga. Dalam keindahan menikmati detik mewah ketika itu, bermulalah ujian besar dalam hidup saya…”
Ikuti sambungan kisah Nur Hati di bahagian 2…
This website uses cookies.