
Pelakon jelita Julia Farhana dilihat sudah memadamkan gambar-gambar lama di akaun Instagramnya, memberikan petunjuk yang dirinya sudah tampil bertudung.
Menurut laporan Kosmo, isteri kepada Dr Che Hafiz ini juga turut menulis “Disclaimer : Rakaman ini dibuat sebelum Ju (Julia) bertudung” seperti mengesahkan penampilannya kini yang sudah berhijab apabila memuat naik hantaran terkininya dalam Instagram.
Aktres berusia 29 itu juga dilhat sudah memadam gambar-gambar lama sebelum dia tampil bertudung, selain hanya meninggalkan gambar yang tidak menampakkan rambut. Selepas sebulan mendirikan rumahtangga, sebelum ini Julia pernah memaklumkan belum sedia bertudung, namun meminta orang ramai untuk terus mendoakannya.
Untuk rekap, pelakon Coast Guard Malaysia mengumumkan pernikahan mereka pada 14 Disember tahun lalu selepas dua minggu mereka disatukan.
Malah di ruangan Instagramnya pula, ramai peminat serta rakan-rakan artis yang meninggalkan komen, memuji kecantikkan Julia berhijab malah ada yang mendoakan agar Julia Farhana kekal istiqamah. NONA mendoakan semoga yang baik-baik saja buat Julia.
Untungnya Miliki Wajah Pan Asia, Namun Ia Bukan Tiket Untuk Berjaya Dalam Dunia Seni Jika Tidak Ada Bakat

Zahirah Macwilson antara pelapis anak seni yang mewarnai dunia lakonan tanah air. Zahirah dilahirkan di Kuala Lumpur dan membesar di Sydney, Australia dan berketurunan British (bapa) dan Melayu (ibu) merupakan anak sulung dari empat adik-beradik.
Memulakan kerjaya awalnya sebagai model pada usia 12 tahun ketika di bangku sekolah, Zahirah MacWilson memulakan kerjaya lakonan profesional pada 2015 menerusi drama orientasi remaja Dunia Generasi Baru dengan memegang watak Zahra, diikuti oleh watak Dr. Katrina dalam Hidayahmu Ramadan.
Namanya mula menjadi perhatian ramai selepas membintangi drama Mencintaimu bersama Sharnaaz Ahmad dengan memegang watak Annisa. Memiliki wajah pan-Asia menjadikan wajah Zahirah tidak jemu dipandang.
Artis-artis wanita berwajah pan-Asia dilihat sebagai antara selebriti yang paling mudah mencipta nama. Senario ini sebenarnya bukan baru bagi dunia hiburan tanah air kerana tradisi sedemikian sudah lama diwarisi.
Ada kalanya ia hanya bermula dengan penampilan dalam iklan komersial, mereka lantas dengan mudah ditawarkan berlakon filem mahupun bergelar penyanyi. Semuanya semata-mata kerana wajah pan-Asia yang dimiliki mereka. Apa istimewanya golongan ini sehingga dengan begitu mudah mereka mencipta populariti dalam dunia seni tanah air?
Tatkala ditanya tentang kelebihan memiliki wajah pan-Asia bagi Zahirah semuanya bergantung pada bakat. Bagi Zahirah, wajahnya tidaklah terlalu pan-Asia jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain yang lebih ‘kuat’ aura pan-Asianya.
“Bakat adalah perkara utama apabila melibatkan diri dalam dunia lakonan. Memiliki wajah pan-Asia juga tidak membataskan diri saya untuk melakonkan watak wanita kampung. Saya tidak menganggap wajah pan-Asia sebagai platform untuk berjaya dalam dunia seni kerana bagi saya, wajah cantik sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan bakat,” ujar Zahirah.
Apabila melihat wajah Zahirah dan juga Amelia Henderson, pasti akan mengingatkan kita tentang pelakon berwajah pan-Asia yang cukup terkenal suatu ketika dahulu. Nama-nama seperti Julia Rais, Sofea Jane, Ramona Rahman, Deanna Yusof dan lain-lain menjadi siulan di bibir peminat. Meskipun berlainan era namun akui Zahirah dia mengenali nama-nama pelakon terkenal tersebut.
Dalam perkembangan lain, Zahirah bakal muncul dengan drama 28 episod, Jangan Benci Cintaku untuk slot Akasia.
Seperti Zahirah, si cantik manis berwajah ‘Mat Salih’, pelakon dan model berdarah campuran India dan Scotland, Amelia Henderson juga dianggap bertuah kerana memilik wajah pan-Asia. Sama seperti Zahirah, Amelia tidak pernah menganggap wajah pan-Asia memberi satu kelebihan buat diri seorang anak seni sepertinya.
“I don’t think so. Wajah pan Asia itu bukan satu kelebihan, at the end of the day kalau kita tak ada bakat, walaupun memiliki wajah pan-Asia, kita tidak akan ke mana-mana. Nama-nama besar seperti Julia Rais dan Sofea Jane sudah berjaya membuktikan bahawa mereka bukan sahaja memiliki rupa paras yang menawan tetapi juga berbakat besar dalam dunia lakonan,”ujar Amelia.
Memulakan kerjaya seawal usia 10 bulan, bakat Amelia mula digilap ketika terlibat dengan iklan komersial. Kini Amelia bukan sahaja terlibat dalam dunia lakonan tetapi juga dalam dunia pengacaraan.
Ditanya antara dunia lakonan dan juga pengacaraan, Amelia mengakui bahawa agak susah untuk dia memberikan jawapan. Hal ini kerana dunia lakonan dan juga pengacaraan adalah bidang yang sangat berbeza. Bagi Amelia, kedua-dua bidang tersebut punya kelebihan yang tersendiri.
Menyentuh tentang perkembangan terkini dirinya, Amelia bakal muncul dalam drama Pengantin 100 Hari dan drama Jangan Benci Cintaku.
Lebih Utamakan Masa Dengan Keluarga, SAHARUL RIDZWAN Fokus Bisnes Dan Lebih Selasa Kerja Waktu Pejabat

Sudah lama tidak mendengar perkhabaran pelakon tampan dan juga bekas peserta program Hero Remaja, Saharul Ridzwan. Walaupun jarang muncul di kaca televisyen ketika ini, kali terakhir dia dilihat beraksi adalah menerusi filem Cost Guard Malaysia: Ops Helang sekitar awal tahun ini.
Mengakui sudah 2 tahun tidak berlakon dalam mana-mana drama TV, Saharul Ridzwan menjelaskan bukannya tiada tawaran berlakon drama mahupun telefilem sebaliknya dia mahu memberi fokus pada perniagaan Qaabila Skincare diusahakannya.
“Saya masih meneruskan karier lakonan dan jika ada tawaran berlakon drama atau naskhah menarik, saya akan mempertimbangkannya terlebih dahulu. Buat masa ini, saya sibuk untuk mengembangkan bisnes yang juga jaminan untuk masa depan saya dan keluarga.
“Saya juga sudah berasa selesa dengan rutin kerja sekarang yang bermula jam 9 pagi dan selesai jam 5 petang terus pulang ke rumah untuk bersama keluarga,” katanya kepada media.
Untuk rekap, suami kepada Qaabila Deena Emir atau lebih dikenali sebagai Deena Emir ini Deena yang juga punya peniagaan sendiri Wrap Boutique House menimang cahaya mata ketiga yang diberi nama Khadijah Alkubraa sekitar 31 Januari lepas.
Pasangan sama cantik sama padan ini juga ligat mengusahan produk kecantikan mereka. Mac lepas, satu lagi produk keluaran Qaabila Skincare dilancarkan iaitu Habbapro Series – Habbapro Cleanser.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Puas ‘Melantak’ Tapi Tak Tahan Bau, Ini Tip Hilangkan Bau DURIAN!

Sekarang ni musim durian. Daripada minggu lepas lagi dah ramai orang bercakap tentang durian. Open house raya pun ada yang dijamu durian. Ceria seisi rumah kalau dapat makan durian bersama-sama sampai kekenyangan.
Ada pelbagai jenis durian seperti durian kampung atau asli, Musang King dan Little Red. Kalau bukan musim, harga durian boleh mencecah sehingga RM300 sekilo tau!
Raja segala buah-buahan ni memang terbaik dan menjadi kesukaan rakyat malaysia. Namun tahu sajalah, baunya cukup kuat. Boleh jadi pening seharian dek kerana penangan baunya.
Ini ada beberapa tip yang boleh hilangkan bau durian.
1. GUNAKAN TANGKAI DURIAN
Menjadi masalah kalau nak bawa balik durian daripada kampung atau yang dibeli tepi jalan ke dalam kereta anda. Pasti ‘melekat’ baunya. Petua orang-orang lama, patahkan tangkai durian dan belah sedikit di bahagian tengah. Kemudian letakkan pada jejaring air cond di dalam kereta.
Petua ini juga boleh digunakan di rumah dengan cara yang sama dan letakkan tangkai durian tersebut di pendingin hawa ruang tamu rumah anda. Hasilnya, bau durian pasti tiada lagi.
2. KOPI
Kopi mampu menyerap segala jenis bau yang kurang menyenangkan dan kembali kepada bauan neutral. Bancuh segelas air kopi panas dan biarkan di atas meja dapur rumah anda. Bau durian akan hilang serta merta selepas itu.
3. ROTI
Jika kenderaan anda masih berbau durian, letakkan beberapa keping roti putih di dalam kereta dan biarkan beberapa hari. Roti akan menyerap bauan yang kurang enak di dalam ruang tersebut.
4. KULIT DURIAN
Untuk menghilangkan bau durian pada tangan anda, ambil kulit durian dan letakkan air di bahagian dalamnya dan basuh tangan menggunakan kulit itu. Selain itu, cuba basuh tangan dengan pencuci yang jenis beraroma seperti lemon.
Bagi menghilangkan bau mulut, lakukan perkara yang sama dengan kumur-kumur. Senang saja, bukan?
5. DAUN PANDAN
Ikat daun pandan dan letakkan dalam kereta, peti ais, atau dapur rumab anda. Bukan hanya bau akan hilang tapi bau rumah juga akan menjadi semakin harum.
Anda juga digalakkan untuk minum air kosong yang banyak bagi neutralkan kembali usus anda. Selain itu, buah manggis juga dikatakan boleh hilangkan bau durian pada pernafasan.