Berkat pengorbanan pempengaruh atau influencer Siti Jamumall menjaga abangnya yang juga orang kelainan upaya (OKU), Mohd Khairul Nizam Wahiddin, 33, terbayar apabila dia kini menjadi antara usahawan muda berjaya.
Ads
Siti Jamumall, 23, atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin bukan saja mampu membina jenama perniagaan sendiri tapi berjaya membeli rumah pertama jenis kondominium mencecah RM1 juta yang terletak di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.
“Pada 2016, saya dah mula ikut abang untuk pergi ke program belajar mengenai bisnes. Jadi, waktu itu saya melihat sendiri bagaimana abang seorang OKU tapi tetap bekerja keras untuk menyara dan membantu keluarga. Melihatkan perjalanan bisnes itu, saya mula memasang niat nak tolong abang untuk meringankan bebannya.
“Nak dijadikan cerita, dua hari sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya terpaksa terbang ke Tokyo, Jepun untuk mengikut abang. Waktu itu dia tak pernah paksa saya untuk pergi cuma saya sendiri yang nekad sebab saya tahu kalau bukan saya yang bantu abang di sana, siapa lagi.
“Abang saya tak boleh menulis dan nak angkat tangan pun tak boleh. Jadi kena ada orang yang bantu tengokkan dia dalam kelas. Saya berkorban untuk jaga abang bila dia pergi ke Jepun. Pada hari itu juga tarikh di mana lahirnya perniagaan yang saya bina hingga hari ini.
“Alhamdulillah, tahun ini adalah tahun kegemilangan saya juga di mana selepas mendapat Lamborghini daripada Mommyhana dan sekarang ini dapat juga saya memiliki rumah pertama dengan harga mencecah RM1 juta. Saya boleh cakap, pelajaran itu bukanlah tak penting tapi kena tahu sebab saya tak ambil SPM dan putuskan untuk sambung belajar dalam bidang bisnes dengan saya punya mentor,” katanya.
Ads
Berkongsi lanjut mengenai perjalanan bersama abangnya, Siti Jamumall berkata syarikat abangnya pernah berhutang hampir RM1 juta.
“Orang nampak abang macam hebat tapi mereka tak tahu di sebalik membuat bisnes tanpa ilmu sangat susah. Hampir RM1 juta hutang syarikat yang perlu ditanggung dengan abang yang tidak bergaji hampir enam bulan. Saya kasihan dan dalam hati niat cuma satu saja, saya nak tolong abang dan kalau boleh untuk bantu keluarga juga.
Ads
“Niat saya ikhlas sebab saya berpegang kepada prinsip diri. Bila balik kami tak mampu nak buat iklan berbayar, kami buatlah ‘live’ sebab percuma. Saya buat setiap hari secara konsisten dan alhamdulillah masuk tiga bulan dapat bina nama dan dah ada jualan. Jadi, dari situ dapat selesaikan segala hutang. Lebih membanggakan Siti Jamumall apabila berjaya membantu ramai peniaga bumiputera.
“Sejak melancarkan produk terbaharu di bawah jenama Whitekish O2 Bubble, alhamdulillah saya berjaya membantu ‘affiliate’ yang tidak perlu mengeluarkan sebarang modal pun dan mereka berjaya mendapat RM30,000 dalam masa dua hari. Saya bersyukur sangat dapat bantu orang di luar sana mungkin orang nak cari pendapatan tambahan melalui TikTok. Saya sangat seronok bila tengok mereka boleh tambah pendapatan. Sesiapa yang nak belajar buat bisnes kami juga ada buat kelas. Tak susah dekat hujung jari saja,” katanya.
Sejak mempertaruhkan bakat yang dimiliki dengan mengorak langkah menyertai America’s Got Talent, baru-baru ini, nama penyanyi yang sedang meningkat naik, anak kelahiran Indonesia Putri Ariani semakin menjadi sorotan dan bualan ramai.
Namanya kini bukan hanya meniti di bibir peminat di Indonesia sahaja, malah menjadi sebutan dan semakin dikenali di Malaysia dan juga pelosok dunia apabila bakat nyanyiannya dipuji juri hingga memperoleh Gold Buzzer pada rancangan realiti tersebut.
Sedar nama baiknya kini sering meniti bibir ke bibir orang ramai, gadis kelahiran negara seberang, Indonesia itu memberitahu, dirinya juga harus mempelajari berkenaan kepentingan merawat kulit wajah.
Dek kerana dia kini sering tampil dalam layar skrin dan bertemu khalayak, Putri Ariani berkongsi cara penjagaan wajah, dengan hanya melakukan rawatan kulit di rumah bersama ibunya.
“Kulit wajah yang bersih kini menjadi sebahagian tuntutan kerja saya. Sebagai remaja saya juga alami masalah hormon dan banyak jerawat.
“Saya jarang ke klinik tapi selalu buat buat rawatan wajah di rumah sahaja dengan mama,” ujarnya.
Memperoleh rezeki yang semakin melimpah ruah, terbaharu gadis berusia 17 tahun itu ‘dilamar’ sebuah jenama kecantikan Indonesia sebagai duta bagi produk kecantikan mereka.
Sekadar info, Putri Ariani, penyanyi muda cacat penglihatan dari Indonesia yang mencipta fenomena tersendiri dalam pertandingan realiti America’s Got Talent (AGT), tidak pernah menyangka impiannya untuk menjadi penyanyi di Amerika Syarikat menjadi kenyataan.
Berkongsi tentang rezekinya selepas menjadi fenomena, Putri mengakui sentiasa bersyukur dan menikmati saat manis yang sedang dilaluinya dan tidak henti berusaha menjadi lebih baik.
Kecekalan wanita tabah ini dalam meniti kehidupan seharian nyata mencetus inspirasi. Dalam kesibukan menguruskan dua anak istimewanya namun Zarina Zainuddin tetap ligat merancang masa depan dengan segala kudrat yang ada. Betul-betul supermom!
Enggan bergantung pendapatan dengan kerjaya lakonan semata-mata, aktres ini bijak menggunakan bakat yang ada untuk menceburi bidang perniagaan makanan. Apatah lagi, dengan keadaan ekonomi tidak menentu disebabkan wabak Covid-19… masyarakat perlu kreatif menjana pendapatan demi kelangsungan hidup.
Perniagaan pulut kuning yang diusahakan Zarina Zainuddin bukan lagi rahsia. Saban tahun, dia ligat mencari pelbagai idea baharu untuk melariskan jualan. Yang pasti, bisnes pada mulanya sekadar ‘suka-suka’ kini berkembang maju dan meraih pulangan menguntungkan.
Sejujurnya ramai yang meluahkan rasa kagum dengan kegigihan personaliti berusia 50 tahun ini dalam mengusahakan perniagaan. Mana tidaknya, dalam masa sama Zarina turut sibuk dengan jadual seni lakonan. Meskipun aktiviti seni terpaksa ditunda kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia enggan sekadar duduk diam di rumah. Sebaliknya menggunakan masa yang ada untuk menjual sajian pulut kuning dengan amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Sibuk ‘berperang’ dengan tempahan pulut kuning, Zarina dilihat cekal melayan gelagat dua anak autism iaitu Azil dan Azal. Memang tabah orangnya! Mengikuti perkembangan Zarina, ibu kepada empat cahaya mata ini sering berkongsi video bersama anak istimewa tersebut dengan para peminat. Bagi selebriti jelita ini, tujuan dia memuat naik video berkenaan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai anak-anak autism.
Salah satu perkongsian Zarina di media sosial miliknya, “Hari ni Azil mengamuk lama sangat. Tadi saya suruh dia makan dia marah dia nak pergi 7 eleven dulu. Saya tahu jika saya bawak dia ke 7 eleven dia akan beli jajan keropok kentang dan air ais lemon tea tu. Dah minum tu susah dia nak makan. Waktu PKP macam ni Azil lagi banyak kali ajak keluar. Tak bawa dia mengamuk pukul-pukul muka dia.
Saya rasa jiran kiri, kanan, depan, belakang semua dengar kalau dia mengamuk. Setiap kali dia balik dari 7 eleven dia akan terus mandi, tukar baju baru, towel baru, dia lap badan dia terus pijak towel tu. Lepas tu dia lari bawa masuk baju-baju dalam washing machine. Tang bab ni sabar lah memang baju-baju dia yang banyak dibasuh setiap hari.
Dia pandai sebenarnya cuma dia tak tahu bercakap. Bila keluar terus ambil mask baru, masuk kereta kadang dalam kereta dia pakai mask, saya suruh buka baru dia buka. Bila abah dia merungut tentang Azil, saya cakap ‘Abah bukan senang kita nak masuk syurga. Mungkin anak ini yang selamatkan kita nanti’. Sabarlah, kalau diikutkan hati yang marah kasihan kat dia. Dia tak tahu apa-apa. Cakap pun tak boleh, apa lagi dia boleh buat. Dia mengamuk minta kita beri perhatian.”
Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak autism. Salah satu kunci utama yang perlu ada dalam diri ibu bapa ialah sifat kesabaran yang tinggi dan itulah yang diamalkan Zarina selama ini.
Biarpun negara sedang melalui fasa PKP 2.0 namun ia tidak mematahkan semangat Zarina untuk aktif menjual pulut kuning. Difahamkan sehingga hari ini, Pulut Kuning Zarina Zainuddin sudah pun mempunyai pelbagai pilihan iaitu Pulut Kuning Rendang Daging, Pulut Kuning Rendang Kerang, Pulut Kuning Rendang Ayam, Pulut Kuning Sambal Bilis Petai dan Pulut Pandan Sambal Bilis Petai. Malah tempahan Pulut Kuning Berhias turut disediakan. Kecur tengok semua menu pulut kuning ini!
Selain turun padang menjual pulut kuning di Padang Jawa, Selangor… penggemar hidangan ini boleh menikmati juadah popular Zarina Zainuddin di beberapa stesen minyak terpilih di Kuala Lumpur, Damansara, Bangsar, Shah Alam, Subang dan Klang.
Semoga Zarina Zainuddin terus kuat menempuh liku hidup dan terus menyuntik inspirasi kepada seluruh wanita untuk berusaha ke arah kebaikan.
Kredit: Instagram Zarina Zainuddin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bertemu empat mata dengan Dr Fauziah Mohd Hassan yang merupakan ahli lembaga pemegang amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), penasihat Rose2Rose dan ahli jawatan kuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia. Sudah lama sebenarnya beliau bergiat aktif dalam bidang kemanusiaan ini namun namanya menjadi popular sejak Oktober tahun lalu kerana ekspedisi keamanan Women’s Boat to Gaza yang ditawan oleh tentera Israel sebaik sahaja memasuki perairan Gaza. Video petisyen beliau yang meminta mereka dikeluarkan dari negara haram Israel menjadi viral serta merta.
Mendekati pakar perunding O&G di Hospital Ampang Puteri ini, keperibadiannya yang sangat keibuan membuatkan penulis berasa senang sepanjang sesi fotografi dijalankan. Dalam setiap jawapan yang diberikan ternyata beliau punya semangat juang yang tinggi dan tidak pernah menyerah kalah. Semoga kisah perkongsian ini menjadi satu iktibar dan juga teladan kepada semua pembaca Nona untuk melibatkan diri di dalam bidang kemanusiaan kelak.
PENGLIBATAN
Sudah sibuk dengan kerjaya sebagai seorang doktor kemudian bergiat aktif didalam bidang kepamusiaan pula. Apakah faktor yang membuatkan anda seorang individu yang aktif untuk membantu keamanan sejagat? “Saya rasa ia adalah sebahagian dari diri ini. Sebagai seorang doktor sememangnya sudah menjadi tugas hakiki saya untuk membantu orang. Apabila terdengar krisis kemanusiaan yang semakin menjadi-jadi saya terpanggil untuk turut menghulurkan bantuan, namun ketika terdetiknya niat itu saya masih belum jumpa cara bagaimana hendak membantu sehinggalah pada tahun 1999 apabila Tan Sri Jamilah mengajak saya menyertai misi perubatan Mercy. Sejak itu saya banyak menyertai misi kemanusiaan antaranya di Kosovo, Maluku, Afghanistan, Aceh, Pakistan dan Gaza. Semua misi ini saya ikuti ketika bersama dengan Mercy Malaysia. Kemudian apabila Aqsa Syarif ditubuhkan pada tahun 2010, alhamdulillah saya telah diberi kepercayaan untuk menjawat kerusi timbalan pengerusi dan kini saya turut bertindak dan berkhidmat sebagai seorang ahli lembaga pemegang amanah untuk Humanitarian Care Malaysia atau lebih dikenali dengan nama MyCARE.”
Apakah dorongan yang membuatkan anda memilih untuk bergiat aktif dalam bidang ini? “ Penderitaan wanita dan kanak-kanak Palestin menjadi satu sumber kekuatan untuk saya bergerak ke hadapan bagi menghulurkan bantuan. Kalau nak tahu, menurut laporan World Health Organization (WHO), kawasan Semenanjung Gaza yang selama ini menjadi kawasan panas yang diceroboh oleh Israel mungkin tidak lagi sesuai di diami pada tahun 2020 berikutan pelbagai jenis operasi ketenteraan dan juga sekatan yang berteruskan hampir sedekad lamanya.
Kalau bukan kita yang melakukan sesuatu, siapa lagi yang boleh? Dunia seakan lupa yang Gaza telah dikepung selama lebih 10 tahun. Untuk membantu, bukan hanya krisis-krisis di bahagaian Asia Barat sahaja yang perlu ditangani, malahan di Malaysia juga kita perlu peka terhadap mereka yang memerlukan bantuan. Ingatlah bahawa sekecil-kecil bantuan sangat bermakna daripada tidak berbuat apa-apa, kalau ada seringgit sumbanglah seringgit jangan pernah malu, kerana nilai yang sedikit itulah mampu mengubah kehidupan mereka yang memerlukan,” ujarnya penuh semangat.
PERJALANAN WANITA
Berita tentang ekspedisi Women’s Boat to Gaza yang ditawan tentera Israel membuka mata banyak pihak tentang perjuangan dalam menyedarkan dunia bahawa penduduk Gaza sudah lama ditindas. Untuk pengetahuan anda selain Dr Fauziah, terdapat 13 orang lagi wanita yang turut berada di atas bos tersebut dan mereka terdiri dari pelbagai warganegara, agama dan juga bangsa. Antaranya, dari negara Sepanyol, New Zealand, South Africa, Rusia, Australia, Norway, Sweeden, Ireland Utara dan Kanada.
Sebelum memulakan pelayaran misi ini, adakah sudah tahu bahawa yang misi ini pasti akan gagal dek sekatan kejam rejim Israel di perairan Semenanjung Gaza. Jawab wanita ini, “Memang kami tahu kami akan ditangkap, 99 peratus kami yakin kami akan ditangkap dan hanya satu peratus sahaja keyakinan kami bahawa kami akan selamat sampai. Walaupun sudah agak pasti bahawa keadaan tidak akan menyebelahi kami namun apa yang penting adalah mesej yang cuba kami sampaikan kepada seluruh dunia bahawa masyarakat Palestin di Semenanjung Gaza ditindas habis-habisan oleh rejim Israel. Sekurang-kurangnya apabila kami ditangkap sekalipun dunia sedar bahawa masyarakat Palestin masih ditindas dan diperlakukan secara tidak adil.”
Ketika askar rejim Israel menculik delegasi Women’s to Gaza, bagaimana anda mengikis rasa takut apabila berhadapan dengan situasi tersebut? “Saya menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT dan kepada Dia tempat saya bergantung. Saya sentiasa berdoa agar dipelihara keselematan oleh-Nya. Sebelum pelayaran lagi kami sebenarnya sudah dipersiapkan dengan simulasi dan juga latihan non-violence, bahkan ketika di atas bot pun kami berlatih berulang kali tentang reaksi apa yang perlu dilakukan apabila ditangkap. Tunjuk tangan kosong, muka tidak ada mimik marah dan bercakap dengan penuh diplomasi. Sebaik sahaja kami ditangkap saya berbisik kepada diri sendiri supaya tenang dan terus tenang. Ketika kami ditunda masuk ke kawasan haram Israel, kami menangis melihat Gaza kerana ia begitu dekat dan kami tahu banyak keluarga, kawan-kawan, ibu-ibu kecil bersama anak menunggu kami bersama kad kesihatan mereka. Suasana Gaza yang kami lihat sangat malap, gelap gelita dengan hanya ada empat kerlipan lampu.”
Ketika berada di dalam tahanan Israel apakah yang mereka lakukan kepada seluruh delegasi misi Women’s Boat to Gaza? “Semasa di atas kapal mereka geledah seluruh kawasan habis-habisan, tujuannya hendak mencari kamera tersembunyi dan juga senjati. Kami sememangnya sudah bersedia awal-awal telah membuang pelbagai jenis alat teknologi dan juga pisau ke dalam laut. Setelah kami ditahan, setiap langkah diawasi dan dirakam, ini adalah taktik mereka untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mengasari wanita padahal mereka sebenarnya setiap hari mengganggu dan mengasari murabitat yang menjaga masjid Al-Aqsa, wanita-wanita dan kanak-kanak awam di Gaza. “
Penulis bertanya lagi, siapakah murabitat dan apakah peranan mereka di Masjid Al-Aqsa? Jawab beliau, “Untuk pengetahuan semua, murabitat adalah kelompok wanita yang bergilir-gilir duduk di Masjid Al-Aqsa supaya masjid tersebut tidak kosong. Memandangkan orang lelaki dewasa tidak dibenarkan ke sana jadi hanya merekalah harapan untuk memastikan bahawa masjid itu tidak kosong lantas memberi peluang kepada orang Israel untuk memasuki dan menguasainya. Mereka inilah golongan yang selalu dikasari oleh askar-askar rejim negara haram Israel.”
Mendengar kisah beliau membuatkan penulis berfikir seketika, apakah sumbangan diri ini yang sudah dihulurkan buat saudara kita disana, memang ia mengetuk pintu hati. Rasa sedih, kecewa dan marah menyelubungi diri, mengapa dan kenapa Palestin terus menerus di tawan? Sesungguhnya harga keamanan kini semakin mahal. Dalam rancak kami berbual, penulis bertanyakan kepada Dr. Fauziah mengenai sesetengah rakyat Malaysia yang memilih untuk memasuki Israel bagi melawat Masjid Al-Aqsa. Dengar-dengar aktiviti ini sebenarnya hanya mengundang kemajuan ekonomi Israel? Benarkah sebegitu?
“Soal ekonomi saya tidak boleh jawab, namun bagi saya apa yang terjadi hari ini adalah ramai yang mengambil kesempatan melawat Palestin dan Masjid Al-Aqsa ekoran perjanjian damai di antara Jordan dan Israel. Ini merupakan agenda normalisasi Zionis Israel untuk menunjukkan bahawa Masjid Al-Aqsa dan palestin berada dalam keadaan aman walhal ia tidak sebegitu. Hakikatnya kedua-dua tempat ini terus menerus dijajah! Kita perlu sedar bahawa ini adalah taktik licik israel, dalam dia sebenarnya mereka melumpuhkan semangat jihad umat Islam untuk menuntut kebebasan Al-Aqsa dan Palestin. Untuk pengetahuan semua, apa yang diperlukan oleh kedua-dua tempat ini adalah ia dibebaskan dan bukannya dilawati!” jawab beliau meluahkan pandangan peribadi mengenai hal ini.
CERITA TERKESAN
Pernahkah anda menitikkan air mata sepanjang menyertai misi kemanusiaan? “Kalau nak cakap soal kesedihan atau menyayat hati, saya bukanlah seorang yang senang menangis dan sangat penting untuk saya mempunyai mental yang kuat apabila menyertai misi kemanusian. Namun berbeza dengan misi kemanusiaan di Turki pada tahun 2014 yang mana saya membantu pelarian wanita dari negara Syiria yang sekian lama dipenjarakan di dalam penjara Bashar Al-Assad. Kisah dan juga trauma yang dialami oleh wanita-wanita ini membuatkan airmata saya jatuh, sedih! memang sangat menyayat hati. Wanita-wanita ini ditahan kerana suami mereka dituduh sebagai tentera pemberontak yang menentang Bashar Al-Assad.
Bayangkan sebelum mereka melarikan diri sepanjang dalam tahanan saban hari ada sahaja lelaki yang merogol mereka bukan setakat rogol malahan alat sulit mereka dirodok dengan kayu dan tikus dimasukkan ke dalamnya. Paling menyedihkan apabila mereka berkaya keluar dari penjara keluarga sendiri tidak dapat menerima keadaan diri mereka dan ada yang diceraikan seuami. Bayangkan betapa betapa kejamnya penderaan yang dilakukan. Apabila sampai di Turki para doktor terpaksa membaiki kemaluan mereka. Ada seorang wanita yang saya bantu, langsung tidak boleh melihat lelaki, dia akan menangis dan meraung akibat kesan trauma. Wanita-wanita yang dahulunya menderita ini sekarang sudah bekerja dibawah Syirian Women Association dalam membantu orang lain yang memerlukan pula.”
*ARTIKEL INI DITERBITKAN DI DALAM NONA EDISI MAC 2017
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...