Segak dalam persalinan serba hitam, baju hoodie dan celana gelap dipakai bersama topi terbalik, gaya ranggi Dato’ Sri Bernard Chandran petang itu mencuri tumpuan. Lebih unik, padanan samping songket rona keemasan menyuntik kelainan, membuatkan penampilan pereka fesyen berusia 54 tahun itu tampak lebih muda remaja.
“Raya for the front row! Bagi saya, pakailah kebaya sepertimana yang diinginkan. Padankan dengan kasut but, serikan dengan layering, perincian bersulam, applique atau teknik couture dengan jiwa pop art.
Saya tak takut bermain dengan teknik berbeza untuk baju raya asalkan yang penting, ia masih patuh syariah dan kreatif.” Dato’ Sri Bernard Chandran
Masih dengan keramahan yang sama, pereka yang pernah menempa nama di Paris itu mesra menyapa setiap tetamu yang hadir ke majlis rumah terbukanya. Turut diadakan, majlis pelancaran pameran ‘Bernard Chandran: Petang Raya 2006-2022’ yang dianjurkan secara eksklusif bermula hari ini hingga Ogos.
Busana tradisi diberi nafas baru. Sejak tahun 2006, lelaki berumur 54 tahun ini telah mula memperkenalkan koleksi Petang Raya.
Bayangkan revolusi baju kebaya dengan celana, t-shirt berlogo menggantikan Baju Melayu serta material jersi sukan yang dijadikan Baju Kurung. Inilah karya kreatif beliau menerusi Bernard Chandran Couture yang sentiasa menjadi sebutan.
“Wanita Malaysia sudah bersedia untuk sesuatu yang baru dan berbeza. Saya teringat komen seorang kenalan yang berkunjung ke Malaysia. Katanya ‘semua orang memakai pakaian serupa’.
Kata-kata ini sangat memberi kesan, sekaligus mencabar saya agar mengolah semula busana Baju Kurung tradisional agar keluar dari kepompong.” Dato’ Sri Bernard Chandran
Sangat menyenangi zaman retro yang glamor, Dato’ Sri Bernard Chandran juga merupakan peminat era 70-an dan 80-an. Terinspirasi dengan gaya biduanita Melayu seperti Mariam Ismail, Saloma, Saadiah dan Rahimah Alias, beliau terus memperkenalkan inovasi rekaan yang lebih malar segar.
“Saya mahu mereka semula baju raya, termasuk stail paling tradisional seperti baju pesak agar menjadi kontemporari serta membuatkan anda layak duduk di baris depan dengannya.” Dato’ Sri Bernard Chandran
Pameran ‘Bernard Chandran: Petang Raya 2006 – 2022’ kini dibuka kepada awam bermula 20 Mei hingga 20 Julai 2022 di pusat membeli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang. Kemasukan adalah percuma.
This website uses cookies.