Dalam banyak-banyak nama pemimpin wanita di dunia, Jacinda Ardern antara nama yang paling hangat diperkatakan kebelakangan ini. Tidak keterlaluan dikatakan, kredibiliti Ardern selaku pemimpin wanita membuka mata penduduk dunia lebih-lebih lagi sejak tercetusnya insiden tembakan di Christchurch pada 15 Mac lalu.
Sebagai Perdana Menteri New Zealand, Ardern yang juga seorang ibu cukup dikagumi rakyat di negaranya sendiri termasuk yang beragama Islam kerana ketegasannya menentang pengganas selain sikap hormat Ardern terhadap sensitiviti penganut Islam.
Hadir berpakaian sopan dan mengenakan selendang ketika bertemu keluarga mangsa baru-baru ini, ramai penganut Islam yang menyaksikan penampilan Ardern tersebut berasa kagum dan tersentuh hati dengan keprihatinan wanita nombor satu New Zealand terbabit. Meskipun berlainan agama… Ardern begitu menghormati perbezaan anutan agama di negara tadbirannya.
Erat memeluk dan menggenggam jemari isteri keluarga mangsa serangan, riak wajah Ardern yang tekun mendengar setiap butir bicara mereka membuktikan beliau cukup serius menangani isu berkenaan. Berjanji untuk membiayai kos pengebumian 51 mangsa terkorban tidak kira status migran atau sebaliknya, Ardern juga akan memastikan setiap keluarga mangsa akan diberi bantuan kewangan.
Semalam, Ardern sekali lagi menjadi tumpuan ramai apabila dalam nada tegas tidak akan sesekali menyebut nama pengganas yang menimbulkan kekecohan di New Zealand. “Dia mempunyai banyak motif di sebalik serangan keganasan tersebut antaranya meraih publisiti. Atas sebab itulah, anda tidak akan mendengar saya menyebut namanya. Dia seorang pengganas, penjenayah dan ekstremis dan saya tidak akan sesekali menyebut namanya.”
Dalam pada itu, Ardern turut menyebut hukuman setimpal akan dikenakan kepada pengganas berusia 28 tahun tersebut yang juga merupakan warganegara Australia.
This website uses cookies.