Pakar Permakanan INDRA BALARATNAM Guna Trik Untuk Ajar Anak Makan Sayur, Berkesan Pula Tu!

Wanita yang berasal dari selatan tanahair ini banyak berkongsi ilmu pemakanan bukan sahaja melalui seminar, bengkel, radio serta rancangan temu bual televisyen. Dia juga menyediakan resipi berkhasiat khusus untuk pesakit yang ingin menjalani gaya hidup sihat di bawah syarikat miliknya, Indra Balaratnam Nutrition yang terletak di Petaling Jaya Selangor.

Pengalaman selama 20 tahun sebagai Perunding Pemakanan beliau gunakan untuk membantu pesakit dalam kondisi kesihatan seperti diabetes, obesiti, penyakit jantung, kehamilan, pemulihan selepas pembedahan, sukan dan pemakanan kanak-kanak.

Ibu kepada seorang cahayamata yang kini telah mencecah usia 12 tahun ini berkata dia sering diajukan pertanyaan tentang bagaimanakah dia mendidik keluarganya untuk makan mengikut pola pemakanan yang disyorkan.

“Saya tidak nafikan Skyler sama seperti kanak-kanak lain yang gemar makanan yang manis. Masalah berpunca daripada amalan pemakanan kanak-kanak yang lebih gemar sajian mengandungi kadar gula dan lemak tinggi seperti aiskrim, donut manis, roti krim, gula-gula, bijirin sarapan, biskut serta minuman berkarbonat.

Tetapi sebagai pakar pemakanan, saya sentiasa mengingatkan dirinya kebaikan sayuran dan buah-buahan dalam diet seharian. Jadi, cara terbaik untuk atasi masalah tersebut adalah dengan ‘menyembunyikan’ kehadiran sayur-sayuran di dalam makanannya.

Setakat ini trik tersebut berjaya dan Skyler menikmati hidangan yang saya masak di rumah,” ujar Indra yang sering berkongsi trik dan petua untuk menggalakkan wanita berkerjaya menyediakan sendiri hidangan untuk keluarga bagi memastikan hidangan yang disajikan tinggi khasiat dan kebersihan yang terjamin.

Ketika ditanya bagaimana dia memilih bidang pemakanan sebagai kerjayanya, Indra berkata minat timbul kerana dia agak cerewet soal pemakanan dan melihat kerjaya sebagai pakar nutrisi sebagai satu kerjaya yang penuh cabaran.

“Ketika masih kecil, saya pernah berhadapan dengan masalah picky eater.  Tetapi apabila semakin meningkat remaja, masalah tersebut dapat diatasi.Sebaik menamatkan persekolahan di peringkat menengah, saya ditawarkan  melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang pemakanan. Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang dan berazam mendidik masyarakat untuk lebih menghargai kesihatan melalui pemakanan yang baik,” ujar Indra yang berdarah kacukan Cina di sebelah ibu dan india di sebelah bapanya.

Sebelum mengakhiri perbualan Indra sekali lagi berpesan tentang kepentingan ibu bapa mendalami maklumat mengenai sajian terbaik untuk anak-anak.

“Bagi mengatasi dan membendung obesiti kanak-kanak, ibu bapa adalah golongan utama yang perlu memainkan peranan mengawal dan menentukan jenis hidangan dinikmati anak-anak Ibu bapa harus mempunyai maklumat mendalam bagi membantu mereka mengetahui sajian terbaik untuk anak-anak.

Pada masa sama ibu bapa sendiri perlu menikmati atau menyediakan hidangan berkhasiat di rumah supaya ia turut dimakan anak-anak.Bukan itu sahaja, ibu bapa perlu menerangkan secara terperinci kepada anak-anak mengapa sesuatu makanan itu perlu atau tidak perlu dimakan,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.

Share
Published by
Rosmah Idayu