“Palestin Sedang Menang” Dakwah Ebit Lew, Cik Man & Norhafizah Musa Sebar Positive Vibe!

Cara penyampaian dakwah zaman ini semakin dinamik sejak ramai asatizah muda menjadi idola masyarakat. Antaranya Ustaz Ebit Lew, PU Azman dan Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa.

Meninjau pandangan tiga penceramah ini tentang isu kemanusiaan di Palestin, masing-masing kelihatan sangat prihatin berbahagi dakwah yang sangat menarik.

Penjelasan mereka juga banyak menjawab tanda tanya masyarakat, sekaligus menyebar positive vibe terhadap krisis yang sedang berlaku di sana.

 

PU AZMAN

Karakter selamba dan suka berjenaka membuatkan Cik Man diminati golongan muda

 

Berusia 40 tahun, nama penceramah bebas Azman Syah Alias atau Cik Man terus berkembang selepas dinobatkan juara program Pencetus Ummah musim kedua.

 

“Kenapa Allah tak menangkan Palestin?”

Palestin sedang menang. Menang dengan semangat jihad yang tumbuh dari iman.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.

Kita lihat mereka berkejaran dalam gempita b0m. Tapi hakikatnya, mereka sedang kejar syahid.

Kalau kita kesian dengan Palestin, kita patut lebih kesian pada diri kita kalau tak sudi berdoa untuk mereka.

Padahal benda itu sangat mudah untuk dilakukan. Kita tak galas tugas seberat Umar al Khattab yang membuka Baitul Maqdis dan tidak seperti Solahuddin al Ayubi yang membebaskan Baitul Maqdis dari cengkaman musuh Islam dan tak sehebat Mujahidin Palestin yang setia berjuang untuk pembebasan Palestin.

Lalu bila kita berdoa, kenapa Palestin masih tidak menang ?

Kerana rintihan kita menjadi pilihan Allah untuk DIA dengari. Boleh saja Allah lenyapkan isu ini 70 tahun yang lalu. Lalu apa yang tinggal untuk kita? Terus santai di zon selesa?

Usaha kita iaitu prihatin, risau, doa dan infaq bukan debu yang dipersiakan. Semua itu menempah ganjaran Allah sebagai umat yang mengambil berat hal saudaranya. Semua itu saham akhirat buat kita.

Kenapa rakyat Palestin mengukir senyum ketika ditangkap musuh?

Kerana kepercayaan mereka yang padu pada ganjaran akhirat.

Mereka yakin janji Allah. Masa depan bukan di dunia persinggahan tapi di syurga abadi.

Cuma persoalannya, kita di mana sekarang ini?

 

 

USTAZAH DATUK DR NORHAFIZAH MUSA

Lembut dan keibuan, cara penyampaian dakwah Ustazah Norhafizah disenangi golongan wanita

 

Kejayaan Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa, 44 tahun, sering menjadi inspirasi wanita moden. Beliau bukan saja disegani dalam bidang kerjaya, malah dikurniakan nikmat rumah tangga bahagia bersama suami tercinta, Dr Azahar Yaakub serta tujuh anak tersayang.

 

“Ini Tanggungjawab Bersama”

Melangkah masuk ke Syawal Mubarak, meninggalkan Ramadan madrasah tarbiyah. Kali ini kita dibawa untuk melihat sebuah kehidupan yang benar-benar ‘hidup’ di bumi Palestin, mereka berjuang di jalan-Nya.

Begitu indah mukadimah bicara pasangan Ikon Muslim Care Malaysia, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan suami, Dr Azahar Yaakub saat menyeru masyarakat menyertai kempen #Aid4Palestine.

“Wajib untuk kita bersama-sama dalam perjuangan mempertahankan bumi suci itu. Ayuh sahabatku, bergandingan kita membantu apa yang mampu, dengan doa dan sumbangan kewangan kita, insya Allah.

Akan ada sentiasa golongan yang membela agama Allah, meninggikan kalimah Allah.

Mereka tidak gentar dengan cacian manusia atau apa pun, kerana mereka hanya takut kepada Allah.

Hati-hati mereka ini dijaga oleh Allah dengan ketenangan, taufik dan hidayah-Nya. Jangan jauh dari mereka.

Bersamalah dengan mereka semoga kita mendapat bahagian daripada doa-doa mereka.

Bantulah dari kejauhan dengan doa, istiqamah dengan iman dan Islam, dengan bantuan harta kewangan, dengan kesedaran yang digerakkan dan lain-lain lagi.

 

 

USTAZ EBIT LEW

Sifat dermawan serta suka membantu tanpa mengira agama, bangsa dan usia menjadi keistimewaan Ustaz Ebit Lew

 

“Tengok anak tu berlari teringat anak sendiri”

Doakan Palestin. Bila lihat Palestin, rindu pada mak. Mak ajar erti kasih sayang dan cinta.

Menghargai orang lain. Jaga hak orang. Jangan aniaya orang. Sayang semua orang.

Air mata laju mengenangkan nasihatnya. Ya Allah hadiahkan mak keampunan dan syurga Firdaus-Mu.

Menangis dan teramat sedih bila tengok jeritan wanita dan anak kecil. Tak boleh tidur rasa fikir keadaan mereka.

Tengok anak tu berlari teringat anak sendiri. Keluarga berdoa menangis ketakutan bersama menanti saat b0m jatuh atas rumah.

Tidak tahu nak lari kemana lagi. Di kala zaman yang dikatakan hak asasi manusia dan bertoleransi ini, penduduk Palestin berterusan hidup dijajah.

Saudaraku, kita semua sebuah keluarga. Berilah masa berdoa, dan menangis doa untuk memohon bantuan Allah.

Jaga amalan sunnah Nabi SAW. Kita bersatu hati bersama dengan apa segala cara yang kita ada untuk membantu saudara kita.

Semoga Allah terima niat dan usaha kita. Allah maafkan kita kerana kita tidak berbuat apa-apa saat saudara kita kesusahan.

Ya Allah ampunkan dosa kami dan kelalaian kami.

Doakan yer buat Palestin. Doakan Allah jagakan mereka yang berjuang.

Doakan Allah jaga wanita dan anak kecil. Doakan Allah bantu kita.

Pertolongan Allah itu akan hadir bila kita semua bersatu hati dan dekat padanya. Tanpa pertolongannya kita tak mampu buat apa-apa pun.

Dialah Allah yang Maha Kuasa.

Share
Published by
Norzalina