Hiburan

“Paling Mencabar Nak Handle Emosi Anak” Betty Banafe Matang Lalui Fasa Ibu Tunggal

“Paling mencabar nak handle emosi anak” ringkas jawapan Betty Banafe yang kini makin matang selepas 5 tahun lalui fasa ibu tunggal.

Positif menerima takdir meski hakikatnya terpaksa melalui pelbagai dugaan, Betty Banafe terbuka menceritakan kehidupan beliau sebagai ibu tunggal.

Sebagai ibu kepada Julia Claire Dargus, 11 tahun dan Bruce Dean Dargus, 9 tahun, wanita berusia 45 tahun ini cekal membesarkan dua permata hatinya seorang diri sejak lima tahun lepas.

“Sambil bekerja, saya dalam masa yang sama kena luangkan waktu dengan anak untuk pengisian dunia dan akhirat yang seimbang,” jelas Betty atau nama penuhnya Betty Ibtisam Abu Bakar Benafe.

Perpisahan Betty dengan warga Inggeris, Bruce Dargus selepas tujuh tahun hidup bersama meninggalkan impak yang sangat besar khasnya kepada anak-anak mereka.

Sebagai ibu tunggal, Betty bukan saja perlu bijak menguruskan emosi sendiri bahkan emosi anak-anak yang kehilangan kasih sayang seorang bapa.

Instagram @bettybanafee

 

Instagram @bettybanafee

 

Nampak semakin kurus dan langsing, penampilan terkini Betty bagaikan anak dara. Tuah wajah campuran Melayu dan Arab menjadikan selebriti lulusan UiTM ini bertambah jelita, persis supermodel.

Barangkali itulah hikmah di sebalik kedukaan yang dialami Betty selama ini.

“Antara perubahan terbesar sejurus perceraian adalah berat badan saya turun mendadak. Memang pada awalnya terasa keperitan perceraian itu, sebab saya kena bekerja keras, bersiap bangun pagi dan pulang lewat malam.

Being a single mother tanpa minta apa-apa (nafkah) pun, dengan segala macam dugaan yang melibatkan anak, isu hak penjagaan yang masih belum selesai di Mahkamah… Betul, saya tak kisah susah tapi psikologi anak-anak saya ni terganggu.

Bayangkan semasa Julia baru berusia 7 tahun, saya dah bawa dia berjumpa doktor psikiatri. Masa tu macam-macam kes yang kami lalui termasuk tekanan dari pihak sebelah sana (bekas suami). Alhamdulillah kini Julia semakin matang dan menerima kenyataan keluarga kami,” kata Betty tanpa berselindung.

Instagram @bettybanafee

 

Instagram @bettybanafee

 

EMOSI ANAK

“Paling mencabar nak handle emosi anak” Betty Banafe yang kini makin matang selepas 5 tahun lalui fasa ibu tunggal turut mengungkap cabaran terbesar dialaminya.

Bercerita tentang anak perempuan kesayangannya, Betty tak menafikan jika ramai yang menegur persamaan wajah mereka. Dalam perkongsian video terbaru Betty di media sosial, kecantikan Julia jadi pujian, macam copy and paste wajah ibunya!

“Oh, video tu diambil dalam satu pertandingan muzikal teater di Petrosains. Terserlah jiwa seni dalam dirinya, termasuk boleh bermain piano dan buat lagu sendiri. Walaupun tak belajar muzik dan tak tahu pun nota-nota muzik, tapi dia mampu hasilkan karya muzik yang bagus! Tapi dalam famili saya memang ada ahli keluarga yang mahir bermain gendang atau gambus,” cerita Betty penuh teruja.

Memang seiras wajah Betty dan Julia, jom tonton video di bawah…

Mengakui pernah menghantar anak-anaknya ke sekolah aliran Cina, Betty akhirnya akur menukarkan mereka ke sekolah berprestasi tinggi kerana yakin potensi Julia boleh digilap lebih lagi.

“Di sekolah Cina, mereka terikat dengan homework yang banyak. Tapi sebaik berpindah sekolah baru, Julia terus diberi peluang menyertai pertandingan drama, malah terpilih mewakili negeri. Dia juga nampak lebih gembira sekarang.

Julia ni keras, saya pun macam tu dulu. Persistent. Kalau mahukan sesuatu, Julia akan minta berkali-kali sampai dapat. Setiap kali melihat kedegilan Julia, saya nampak kedegilan saya. Saya selalu pesan pada anak, it’s okay to be degil asalkan ia bermanfaat but always try to listen and think first.

Saya tahu anak-anak tertekan, tambahan lagi Julia ada ekzema. Jadi saya selalu bercakap hati ke hati dengannya, ajar supaya dia berdamai dengan takdir dan terima ketentuan-Nya.

Dean pula saya masukkan ke sekolah tahfiz. Sifatnya sedikit hyper dan minat dia lebih cenderung kepada builders. Dia suka kayu dan paku. Buat rumah kucing sendiri. Tapi alhamdulillah, di sekolah tahfiz, Ustaz selalu beri nasihat yang berguna khususnya tentang adab dan tanggungjawab seorang anak.”

Selalu mengamalkan solat berjemaah di rumah sebagai cara merapatkan hubungan ibu-anak, Betty juga turut mengajarkan nilai-nilai empati ke jiwa mereka termasuk menghargai ayah kandung meskipun telah berpisah.

Ditanya sejauh mana hubungannya dengan bekas suami yang merupakan bapa kepada Julia dan Dean, Betty berterus-terang bahawa mereka langsung tidak berhubung. Mujurlah masih wujud sekelumit sifat mengambil berat daripada tiada langsung. Kata Betty, ‘kalau you boleh makan seminggu sekali, macam itulah…’

“Yang pastinya saya selalu pesan pada anak-anak, kalau ditakdirkan ajal menjemput saya secara tiba-tiba, mereka tahu siapa yang harus dihubungi. Yang kedua, harapan saya selalulah ingat asal-usul diri kita dan agama. Jangan sesekali hilang identiti diri dan maruah orang Islam.”

Instagram @bettybanafee

 

Instagram @bettybanafee

 

Menyentuh tentang perkembangan kerjaya, Betty berkongsi keterujaan tentang syarikat produksinya yang bakal menerbitkan filem dalam tahun ini. Sebagai seorang produser, Betty menjadikan Datuk Yusof Haslam sebagai sumber inspirasi, malah berhasrat untuk menerbitkan filem-filem box-office sebaik beliau.

“Saya menjadikan beliau idola kerana disiplin dan amalannya ketika bekerja. Selain berjaya dengan izin Allah SWT, amalan Abang Usop yang sentiasa menjaga kebajikan orang-orang sekeliling juga beri inspirasi,” kata Betty.

Selain bidang seni, Betty yang turut menjalankan bisnes F&B berkongsi berita gembira. “Selepas Restoran Banafee Village yang dah bertapak 40 tahun di Johor Bahru, kini bakal dibuka Restoran Banafee Ampang. Ia masih dalam pembinaan, insyaAllah doakan semua rancangan kami dipermudahkan.”

Jodoh panjang atau tidak, itu rahsia Allah SWT. Namun sekuat apa pun kita berusaha, selama mana pun kita bersamanya dan setia mana pun kita disisinya, kalau ditakdirkan jodoh terhenti sampai di situ saja, maka yakinlah Tuhan ada rancangan yang lebih baik untuk diri masing-masing.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/genggam-emas-anak-saudara-siti-nurhaliza-harumkan-nama-negara-di-world-championship-of-performing-arts/

Share
Published by
Norzalina