Hati-Hati, Siapa Sangka 5 Kondisi Kereta Wanita Seperti Ini Undang Kemalangan!

Apabila berbicara tentang pemanduan wanita, pasti timbul persepsi negatif yang mengaitkan kelakuan mereka ketika berada di jalan raya. Cuai, terlalu berhati-hati dan kurang arif dalam bab penyelenggaraan kereta antara faktor yang sering dituding kepada wanita apabila mengalami kemalangan.

Buat semua wanita, jom ubah persepsi tersebut dan belajar ‘memahami’ kenderaan masing-masing dengan lebih peka. Punca sebenar terjadinya kemalangan jalan raya bukan semata-mata terletak kepada sikap pemanduan. Sebaliknya aspek penjagaan kenderaan juga perlu dititikberatkan.

Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Malaysian Takaful Association (MTA), walaupun punca berlakunya kemalangan sering dikaitkan dengan pemanduan melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, melanggar lampu isyarat merah dan memandu ketika mabuk .. akan tetapi jika kenderaan berkeadaan baik, risiko kemalangan dapat dikurangkan.

Anda boleh menghindari insiden tidak diingini di atas jalan raya dengan mematuhi lima senarai semak penyelenggaraan kenderaan seperti yang disarankan PIAM dan MTA.

  1. Keretakan cermin hadapan

Ia boleh mengakibatkan penglihatan pemandu terbatas. Dalam situasi genting, pemandu perlu bertindak balas dengan segera tapi dengan adanya halangan ia akan mempengaruhi kadar tindak balas tersebut.

  1. Masalah pencahayaan

Lampu memainkan peranan penting dalam konteks pemanduan selamat. Jadi, jika lampu kenderaan tidak berada dalam keadaan baik, ia akan meningkatkan lagi risiko kemalangan. Segera tukar lampu anda sekiranya mentol terbakar, lampu panduan arah berkelip pantas dan pancaran lampu yang malap.

  1. Pengelap cermin bermasalah

Ia penting bagi memastikan penglihatan jelas buat pemandu tidak kira ketika hujan mahupun berkabus. Jika pengelap cermin mengeluarkan bunyi bising dan tersekat-sekat semasa digerakkan, itu petunjuk anda perlu menukarnya dengan segera.

  1. Kerosakan brek & alas brek haus

Brek yang gagal berfungsi secara tiba-tiba biasanya disebabkan tidak menyelenggara atau menukar brek dan alas brek dengan kerap. Salah satu petanda brek mengalami masalah termasuklah pedal brek bergegar, kereta tidak dapat berhenti dengan baik apabila membrek dan penambahan bendalir brek secara kerap.

  1. Penggunaan tayar botak

Ramai pemandu tidak mengendahkan untuk memeriksa rekahan dan bunga tayar mereka. Disebabkan sikap acuh tak acuh dan penyelenggaraan yang kurang baik serta pemanduan laju, ia menjurus kepada bebenang tayar meletup atau terkeluar sekali gus mengakibatkan kemalangan, kecederaan serius atau kematian.

Sebagai langkah pencegahan kemalangan, PIAM dan MTA menyediakan talian bantuan ‘Accident Assist Call Centre’ (AACC) iaitu 15 – 500 yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu. AACC sedia membantu apabila berlakunya kemalangan atau kerosakan kenderaan di jalan raya selain memberi maklumat berkaitan insuran am, prosedur tuntutan atau mengenalpasti syarikat insuran / takaful anda.

Menjelang musim perayaan yang bakal tiba, selenggara kenderaan anda sebelum pulang ke kampung halaman. Paling penting, kenderaan anda bebas daripada lima masalah yang dinyatakan tadi.

Share
Published by
Suzi