Inspirasi

“Panggilan Last Minute Yang Sangat Bermakna,” Nur Liyana Rahman Sebak Tunai Haji Saat Akhir Bersama Suami!

Rezeki Allah SWT hadir tanpa diduga. Jemputan ke Tanah Suci untuk melaksanakan rukun Islam kelima baru-baru ini nyata membuatkan Nur Liyana Abdul Rahman sebak dapat tunai haji. Apatah lagi dia menerima panggilan tersebut pada saat-saat akhir menuju 10 Zulhijjah.

Meskipun pada awalnya, usahawan jenama LeeyanaRahman ini ragu-ragu untuk berangkat ke Mekah kerana keadaan diri yang sedang hamil. Namun segala perasaan itu hilang selepas dia menerima kelulusan visa daripada kerajaan Arab Saudi.

Berkongsi momen sebelum berangkat ke sana di Instagram, ibu dua cahaya mata ini kelihatan berpurdah dan berjubah putih sambil ditemani suami tercinta, Muhamad Hafiz Abdul Hamid yang bakal mengerjakan haji bersama-sama.

Memanjat kesyukuran menjadi duyufurrahman tahun ini, kongsi Liyana, “Ya Allah, maafkan hati yang kadang kurang yakin, padahal semuanya telah engkau jamin.

Awal-awal berat hati nak sahut panggilan haji ni sebab fikir masih alahan. Tapi bila dapat tahu visa lulus, alahan hilang terus! Panggilan last minute yang sangat bermakna. Dia panggil tepat pada masanya, saat hati mental emosi tengah lemah.

Allah Maha Baik. Dalam pada dia bagi ujian berat yang tak mampu untuk ditanggung, tapi sebenarnya Dia selitkan 1001 hikmah dari ujian tu.”

Tambahnya lagi, “Saya mohon maaf sekiranya ada kesalahan / khilaf dari saya sengaja atau tak sengaja sepanjang kita kenal.

Saya juga mohon doa dari sahabat semua, mohon doakan semoga perjalanan haji kami dipermudahkan, dimakbulkan semua doa-doa, kandungan dipelihara Allah, balik dengan hati yang tenang dan mendapat haji mabrur.”

Liyana dan suami pada Februari lalu membawa kakitangan LeeyanaRahman mengerjakan umrah. Berkat niat murni dan tak lokek berkongsi rezeki, mereka berdua sekali lagi dijemput ke Tanah Suci kali ini bagi menunaikan ibadah haji.

Artikel https://www.nona.my/pernah-jalani-ivf-rajin-bersedekah-impian-nur-liyana-bina-empayar-leeyanarahman-tercapai/

Turut sama berangkat mengerjakan haji bersama Liyana ialah usahawan yang juga pengasas Minaz, Hafiza Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Pija.

Liyana kini hamil anak ketiga. Hasil perkongsian hidup hampir 11 tahun dengan Hafiz Abdul Hamid, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tyara Luthfia dan Hanna Qhalisya.

 

Share
Published by
Suzi