Tak sombong, tak lokek ilmu dan pengalaman. Itulah ungkapan tepat yang dapat diberikan kepada jutawan tersohor, Haliza Maysuri yang merupakan pemilik dan pengasas Bawal Exclusive Sdn Bhd ini.
Selama 21 tahun Bawal Exclusive kukuh di pasaran, bukan satu tempoh yang singkat. Pelbagai rintangan diharungi Haliza dan suami, Mohd Rosli Awang demi meletakkan label ekslusifnya itu di tahap gah bukan hanya di Malaysia bahkan luar negara.
Pengalaman berniaga di pasar malam serta pernah memiliki gerai kecil di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur telah membina jati diri usahawan Bumiputera berusia 42 tahun ini. Berkat kesungguhan, Bawal Exclusive kini menjadi pemborong terbesar kristal Swarovski di dunia. Hebatnya!
KESAN BISNES TERHADAP COVID-19
Tak dinafikan sejak penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan terhadap ekonomi dunia. Kebanyakan peniaga meluahkan rasa bimbang dan cemas apabila keadaan ini menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Namun sebagai usahawan yang sudah banyak melalui pelbagai cabaran getir terutama ketika mula-mula berniaga, Haliza sentiasa tenang dan positif sepanjang berdepan dengan pandemik ini. Haliza turut berkongsi pesanan ‘padu’ di Instagram peribadinya khas buat para peniaga di Malaysia. Cukup menusuk ke jiwa!
“Peniaga sekarang cepat sangat putus asa. Syarikat Bawal Exclusive sekarang ada 32 Premium dan Reseller di seluruh negeri. Selama mereka berniaga Bawal Exclusive tidak pernah merasa rugi dan sakit seperti sekarang ini. Setiap tahun pasti ada peningkatan jualan. 10 antara mereka yang saya lahirkan sudah bergelar jutawan, saban tahun hasil jualan mencapai jutaan ringgit.
Ads
Apabila terjadinya wabak COVID-19, ada antara mereka yang putus asa. Ada yang hubungi saya menangis sebab sedih dan cemas. Saya yang dipanggil Mak dalam perniagaan ini, aktifkan IG ini untuk memberi contoh kepada mereka dan usahawan lain di luar sana. Buka mata lihat apa yang saya buat, jadikan contoh, sedut aura positif, kerja kuat pantang menyerah selagi Allah bagi nafas.
Nak mengadu dalam keadaan sekarang ni jangan tulis di media sosial. Bangun malam meratap minta pertolongan dan ketenangan pada Allah. Fokus dengan kerja kita, jangan asyik stres kira berapa hari lagi PKP ni. Cari hikmahnya.
Saya yang dah berpuluh tahun dalam bidang ini sudah lalui pahit getir ujian, sepak terajang dunia perniagaan. Sebab itu jika masa tengah senang kena menyimpan. Kena ada tabung jika berlaku kecemasan.
Semasa musibah cari peluang, contohnya ketika berlakunya COVID-19 kerajaan masih benarkan syarikat penghantaran beroperasi. Sehari sebelum PKP saya dah bungkus semua masuk dalam kotak stok jualan untuk dibawa balik ke rumah. Boleh berniaga dari rumah. Cepat bertindak!
Ads
Deko mewah pejabat Bawal Exclusive. Cantiknya!
Saya tak pernah kira berapa hari lagi akan berkurung dalam rumah. Saya kira sale dan buat sale. Saya minta Allah bantu saya untuk gerakkan hati orang-orang kaya di Malaysia untuk membeli jualan saya agar saya lepas membayar gaji pekerja-pekerja pada masa yang tepat.
Sebenarnya perniagaan yang besar, besar juga tanggungannya. Memang nampak gah, ada banyak property, ada ramai staf. Setiap hari ratusan, kadang jutaan ringgit duit masuk. Itu normal apabila kita boleh berniaga seperti biasa. Tapi dalam keadaan sekarang ini, duit semua ‘terduduk’ pada barang jika kita tak ada buat jualan. Bagaimana nak bayar hutang property dan gaji pekerja?
Sepanjang PKP, saya mulakan jualan di story. Lepaslah gaji untuk 100 lebih kakitangan saya yang mencecah RM200K sebulan. Memang itu yang saya minta dengan Allah apabila bangun malam. Niat nak membantu Allah akan bantu.
Selagi saya ada kudrat, selagi itu saya akan kerja kuat. Bagi majikan yang bertanya kepada saya bagaimana nak berhentikan pekerja sebab tak mampu nak bayar gaji, ini jawapan saya.
Bersama pereka fesyen kegemaran, Dato’ Rizalman.Bersama sahabat baik, Datin Anne Ngasri.
Dalam keadaan begini kita boleh lihat dalam ramai-ramai pekerja mana yang betul-betul sayangkan perkerjaannya dan yang ikhlas berkerja demi membantu menaikkan syarikat. Pekerja begini kita perlu jaga sehabis baik. Jika perlu, harta yang kita simpan pun boleh gadai kerana harta yang kita kumpul selama ini pun hasil titik peluh pekerja kita juga.
Ads
Namun jika ada yang sebaliknya dengan keadaan pula makin genting, bolehlah beri dia peluang cari kerja di tempat lain. Saya harap dapatlah memberi sedikit suntikan semangat kepada mereka di luar sana melalui coretan-coretan yang saya post di Instagram. Ambil yang positif, praktis dalam kehidupan.”
KEKAL TENANG
Satu lagi perkongsian menarik di Instagram peribadi Haliza pada minggu lalu iaitu tentang penampilannya ke pasar borong Selangor yang telah menarik perhatian ramai.
Ada yang melontarkan kata-kata kurang enak didengar, ada yang mentertawakan, ada yang kata over. Paling menjengkelkan ada yang kata Haliza berlagak seperti artis Hollywood musim corona walhal hanya ke pasar borong sahaja. Namun Haliza tetap tenang dan tak ambil pusing dengan kata-kata yang langsung tidak memberi kesan terhadap kehidupannya.
Apa yang penting Haliza lebih terkesan dengan pengorbanan para petugas barisan hadapan yang terpaksa menyarungkan pakaian khas dalam tempoh yang lama demi melindungi masyarakat daripada wabak COVID-19.
“Allahuakbar panasnya pakaian begini. Macam mana dengan doktor dan nurse.. Ya Allah tolonglah mereka semua ya Allah. Berilah semangat dan kekuatan dalam jiwa mereka dalam jihad ini. Sembuhkan semua pesakit. Jagakanlah keluarga petugas dan keluarga pesakit. Selamatkan kami semua seluruh dunia ini.”
Kredit Foto: Instagram Haliza Maysuri & Bawal Exclusive
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Walaupun sudah berhijab namun Hannah Delisha atau nama sebenar Hannah Adlina Blackburne Birch ini tetap mempunyai cita rasa tinggi dalam fesyen.
Malah, setelah tiga tahun bergelar isteri kepada Muhammad Imam Shah yang juga merupakan seorang pelakon dari Singapura, penampilan Hannah Delisha terlihat semakin anggun dan mempesona.
Sudah menjadi adat resam bergelah seorang selebriti, tiap gerak-geri, penampilan dan kisah peribadi pasti menjadi bualan.
Ditambah pula dengan perkembangan media sosial yang begitu meluas kini. Gaya atau fesyen yang digayakan oleh selebriti pasti mendapat komen dengan likes tertinggi.
Hannah Delisha yang sering tampil cantik dan up-to-date mempunyai falsafah tersendiri dalam bidang fesyen ini.
“Fesyen pada pandangan saya mempunyai dua maksud yang berbeza. Pertama, datang dari dalam diri sendiri, yang kedua, terzahir dari alter ego yang akan sering bertukar mengikut peredaran fesyen terkini,” tutur Hannah Delisha.
Namun jauh dari sudut hati gadis kacukan Inggeris-Melayu ini, lebih selesa memilih kesederhanaan.
“Apabila berbicara tentang fesyen harian, saya lebih gemar gaya yang simple.
“Bagi saya, asalkan selesa untuk bergerak dan melakukan aktiviti harian, sudah cukup memadai. Jika menerima undangan ke majlis-majlis rasmi, baru saya akan dress up dan menggayakan fesyen haute couture,” bicara Hannah lembut.
Cantik Tidak Hanya Pada Luaran, Hannah Delisha Pentingkan Kecantikan Dalaman Juga
Namun, menurut Hannah memakai baju jenama terkenal tidak akan bermakna jika kecantikan luaran dan dalaman tidak dijaga dengan sempurna.
“Secara peribadi, saya utamakan rehat dan tidur yang cukup untuk kelihatan cantik.
“Tidak cukup jika kita menggayakan busana haute couture tetapi wajah nampak letih dan tidak bermaya sekali gus hilang seri tatkala menggayakan busana elegan seperti itu,” kongsi pelakon yang popular dengan drama bersiri Mencintaimu Mr. Photographer ini.
Mengulas berkenaan perkembangan terbaharu dirinya, Hannah Delisha mendedahkan dia kini rancak dengan dunia perniagaan yang diceburinya.
“Saya sibuk dengan bisnes dan kini sudah mengeluarkan rangkaian pakaian ‘Ready To Wear’ (RTW) dan Exclusive di bawah jenama Délicia.
“Dalam Malaysia ni banyak usahawan wanita yang boleh dijadikan idola atau inspirasi. Neelofa is sudah tentu salah seorang dari mereka. Saya suka cara kerja dan profesionalisme Neelofa. Insha-Allah saya boleh belajar sedikit sebanyak dari dia juga,” kata Hannah Delisha.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sejak tersebarnya insiden berdarah di Christchurch pada 15 Mac lalu, diakui ramai pihak mula membuka mata, mengenali keindahan Islam dan mengagumi kredibiliti orang Islam menjadi antara pemimpin tertinggi di New Zealand. Salah satunya, seorang wanita muslim bernama Naila Hassan yang diangkat menyandang jawatan Supritenden Polis di sana. Mungkin inilah ‘kemanisan’ yang Allah hadirkan di sebalik tragedi duka pemergian 50 jemaah Islam yang dilaporkan meninggal dunia akibat serangan tembakan pengganas di Masjid Al Noor, Jumaat lepas.
Memetik laporan Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush… sehingga pagi ini angka kematian meningkat kepada 50 orang, 50 lagi mengalami kecederaan sementara 2 mangsa masih kritikal. Sebagai pegawai kanan polis beragama Islam di New Zealand, kejadian ini mengundang 1001 emosi kepada Naila. Dia yang dilihat membuat ucapan di depan khalayak semalam dengan lantang mengakui agama yang dianuti sambil menahan rasa sebak atas kehilangan saudara seagamanya dua hari lalu. Kata Naila, “I am a proud Muslim and the leader in the New Zealand police.”
Berketurunan Pakistan, Naila merupakan pasangan kembar kepada adiknya, Samina dan mempunyai seorang kakak bernama Rukhsana. Tamat bergraduasi sebagai anggota polis dari Royal New Zealand Police College Porirua, Wellington pada tahun 1988… keluarga Naila juga memiliki hubungan baik dengan lagenda tinju dunia, Muhammad Ali kerana berkongsi kepercayaan yang sama tentang agama Islam.
Hampir tiga dekad memilih anggota polis New Zealand sebagai kerjaya, Naila pernah berkhidmat di bahagian Criminal Investigation Branch (CIB) selama enam tahun selain mengendalikan pasukannya menjaga kemakmuran New Zealand dengan baik, sebelum dilantik sebagai Inspektor dan kini bergelar Supritenden. Biarpun sibuk dengan komitmen menjaga keselamatan orang awam, Naila masih sempat melanjutkan pengajian dan memiliki tiga ijazah!
Di samping kesungguhannya menjalankan tanggungjawab sebagai anggota keselamatan, Naila juga seorang wanita Islam yang aktif. Pada tahun 2006, dia menyertai sukan air Ocean Thunder Pro Surfboat Series di Sydney, menjadi polis wanita pertama bergelar physical training instructor, penyelamat pantai di Piha, New Zealand untuk beberapa tahun dan menyertai perlumbaan bobsled untuk negaranya.
Yang pasti, Naila Hassan seorang wanita Islam yang memiliki aura luar biasa yang mampu menyatupadukan masyarakat melalui sikap profesionalnya di samping menonjolkan contoh kepimpinan terbaik menerusi kerjaya sebagai polis. Selaku wanita yang juga beragama Islam… penulis sangat berbangga dengan kejayaan wanita hebat ini!
Sumber : New Zealand Police
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tidak ramai isteri yang beruntung mempunyai ibu mentua yang baik dan penyayang umpama anak sendiri. Bertuah Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim kerana mempunyai ibu mentua yang melayannya dengan baik.
Malah ibu kepada suami pertamanya dahulu juga masih menyayangi dan melayan Fiza dengan penuh kasih sayang. Bermakna Fiza kini mempunyai 2 orang ibu mentua.
Menyambut Syawal baru-baru ini Fiza telah berkunjung kedua-dua buah rumah mentuanya dan dikongsikan di laman media sosialnya. Melalui perkahwinan ketiganya bersama seorang juruterbang, Aizat Al Jefri, kini Fiza menjalani kehidupan bahagia bersama suami, anak dan keluarga mentuanya.
Kongsi Fiza, “Hari ni raya rumah mertua, Puan Normala. She’s very nice lady, baik hati dan amat memahami. Paling tegas dalam semua perkara. Dalam masa yang sama kadang-kadang tu kelakar jugak. Thank you mama for your understanding us. Yeayyy, dapat duit raya. Thank you ma,” kata Fiza.
Malah, Fiza juga telah berkongsi tentang kunjungannya ke rumah ibu kepada bekas suami hasil daripada perkahwinan pertamanya bersama Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin. Kongsi Fiza, “The best Mother in Law that I ever have.
Mama, thank you so much for everything that you have thought me. Memang dulu Fiza banyak salah, darah muda kan. Mama banyak bagi nasihat pada Fiza. Kalau ada masalah mama tempat Fiza mengadu. Forever you will be my favorite mama.
Thank you to daddy too. Terima kasih kerana menjaga, mendidik dan menjadi ibu kepada 2 orang anak-anak Fiza dan Farriq. Mama and daddy dah lakukan yang terbaik untuk diaorang berdua. Fiza really appreciate sangat-sangat.
Tanpa mama and daddy, tak tahulah apa akan jadi pada diaorang. Kalaulah dapat putar balik masa. Apa-apa pun Fiza beruntung dan happy sangat-sangat sebab ada bekas mertua yang baik seperti mama.
Alhamdulillah Allah panjangkan pertalian kami dan masih lagi baik seperti dulu. Aku bersyukur punyai mama yang (walaupun selalu pok pek) tapi baik hati. Tiada yang lain yang dapat gantikan tempat mama. Love u so much mama,” kongsi Fiza jujur.
Fiza mempunyai 3 orang anak perempuan yang comel melalui 2 perkahwinannya. Ferra Aryanna dan Feeya Adyrra adalah cahaya mata hasil daripada perkahwinan pertama dan seorang cahaya mata hasil daripada perkahwinan ketiga yang diberi panggilan manja, Baby Aleena. Hasil perkahwinan keduanya bersama penyanyi Adam AF tidak dikurniakan anak.
Kredit foto: Instagram @fizahalimofficial
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!