Tiada kata-kata yang boleh dilafazkan selain terharu oleh Che Zuhaiza Che Hamat terhadap pengorbanan suaminya, Mohd Rusdi Husain. Sejak lima tahun lalu Che Zuhaiza telah diuji dengan musibah penyakit Multiple Sclerosis atau gangguan saraf.
Che Zuhaiza hanya boleh dipapah serta berkerusi roda untuk bergerak. Suamilah tempatnya bergantung harap, bukan sekadar menjaga dirinya yang tidak mampu lagi untuk bergerak bahkan melakukan semua urusan rumah tangga termasuklah menguruskan anak-anak.
Cukup besar pengorbanan seorang suami yang mungkin sukar untuk kita lihat pada zaman sekarang. Wajah lelaki berusia 44 tahun ini tampak tenang demi melihat kebajikan isteri tercinta sentiasa terjaga.
Pasangan ini dikurniakan empat zuriat yang masih kecil berusia 11, 9, 7 dan 6 tahun. Mohd Rusdi bertugas sebagai pembantu bilal di Masjid Saidina Othman Bandar Tun Razak Kuala Lumpur.
PENGORBANAN
“Saya disahkan mengalami gangguan saraf dan tidak dapat berjalan sekitar tahun 2013. Ia berlaku ketika saya mengandungkan anak bongsu. Namun alhamdulillah saya dapat bersalin secara normal.
Ini satu keajaiban di saat diri menderita dengan penyakit. Doktor juga memberitahu penyakit saya ini tak akan sembuh dan saya terpaksa bergantung dengan ubat dan rawatan hospital. Sejak saya sakit kadangkala anak-anak terpaksa ponteng sekolah untuk bantu suami menjaga saya. Jiran-jiran juga banyak membantu meringankan beban kami sekeluarga.
Ini antara kekuatan saya kerana di saat begini kami dikelilingi insan-insan yang baik dan berhati mulia. Selain itu, doa dan sabar menjadi kekuatan saya. Mujurlah anak sulung kami sudah boleh diharap dan ringan tulang membantu. Setiap hari suami akan memasak siap-siap kemudian dia akan bergerak ke Masjid Saidina Othman sebelum Zohor.
Saya terharu kerana suami sanggup belajar apa yang dia jarang buat sebelum ini seperti memasak dan mengemas rumah. Suami juga buat dua tiga kerja demi menambah pendapatan keluarga.
Terima kasih buat suami kerana sanggup bersusah payah menjaga saya dan anak-anak. Hikmahnya, kami sekeluarga kini bertambah rapat. Cinta dan kasih sayang kami kian mendalam,” luah Che Zuhaizah berusia 39 tahun.
This website uses cookies.