Pasang Niat Hamil Kali Ke 2 Selepas Aidilfitri Termakbul, AYDA JEBAT Kini Hamil 5 Bulan

PELAKON dan penyanyi, Ayda Jebat berkongsi khabar gembira mengenai dirinya yang kini sedang hamil anak kedua. Menurut Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, kandungannya sudah masuk lima bulan dan dia dijangka bersalin awal Disember depan.

“Memandangkan kini saya sedang menjalani penggambaran, saya berterima kasih kepada semua pihak yang memahami keadaan saya. Walaupun bukan semua tahu saya sedang hamil, tetapi saya terharu dengan kerjasama daripada semua pihak,” katanya.

Ayda membuat pengumuman istimewa itu bersama suaminya, Nabil Mahir ketika menghadiri sidang media pelancaran drama terbaharu lakonannya, Bukan Cinta Sempurna di Pavilion Bukit Bintang pada Selasa.

Selain Ayda, drama terbabit turut dibintangi Amar Baharin, Fadlan Hazim, Shah Iskandar, Hanna Aqeela, Neera Azizi dan ramai lagi.

 

Ayda Jebat turut berkongsi posting di Instagram miliknya bagaimana dia ‘membuka rahsia’ kehamilannya kepada Nabil dan keluarga ketika sambutan Aidilfitri lalu. Kini, usia kandungan Ayda sudah memasuki angka 5 bulan dan dia turut menitipkan pesanan buat para peminatnya untuk mendoakan perjalanan kehamilannya kali ini.

“Minta semua doakan Ayda dan kandungan sentiasa sihat. Terima kasih  dan sayang semua,” ujarnya.

Terdahulu, Ayda Jebat pernah  merancang untuk hamil anak kedua selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Keputusan tersebut diambil kerana ingin mengelakkan jarak usia yang terlalu jauh antara anak-anaknya kelak. Dia dan suami, Nabil Mahir meletakkan hasrat untuk memiliki tiga orang cahaya mata dalam keluarga mereka.

“Tidaklah banyak tetapi memang sudah rancang untuk memiliki anak seramai dua atau tiga orang,” ujar Ayda Jebat.

Ayda dan Nabil berkahwin pada 1 Januari 2021 dan dikurniakan anak perempuan, Ana Nayla yang kini berusia dua tahun.

 

Share
Published by
Rosmah Idayu