Kalau figura Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sering dipuji kerana pendekatan ‘memujuknya’ seperti seorang Abah, lihat pula bagaimana karakter isteri PM, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Macam seorang ibu.
Tampil sebagai isteri PM Malaysia pertama yang berhijab, raut wajah Puan Sri Datin Paduka Hajah Noorainee Haji Abdul Rahman, 71 tahun, sentiasa terlihat manis dan keibuan.
Kelembutan wajah dan senyuman First Lady ini benar-benar menyempurnakan imej politik suaminya, malah tatkala terlibat dalam urusan negara, kelibat mereka berdua jelas mencerminkan wajah Malaysia yang Islamik, namun penuh sifat kekeluargaan dan penyayang.
Pasangan ini berkahwin pada 22 September 1972 dan kini dikurniakan empat orang anak serta lima cucu.
Anak ketiga mereka iaitu Najwa, 33 tahun, merupakan antara penyanyi berbakat besar di negara ini, selain adik-beradik yang lain iaitu Datuk Fakhri Yassin, Datin Sri Nabilah dan Farhan Yassin.
Puan Sri Noorainee merupakan mantan Timbalan Yang diPertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI). Sewaktu suaminya memegang jawatan Menteri Besar Johor, beliau merupakan Penasihat Pertubuhan Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (JUITA JOHOR).
Selain itu beliau juga menggalas tugas sebagai Penaung PUSPANITA, Penaung Persekutuan Gimnastik Malaysia dan Penaung SPWinds, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya.
Menariknya tentang anak jati Muar ini, dua jenis orkid hibrid pernah dinamakan sempena namanya iaitu Aranda Puan Sri Noorainee dan Mokara Puan Sri Noorainee oleh MARDI.
PM Kesayangan
Perjalanan politik Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup berharga jika dikenangkan kerana beliau mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam arena politik negara.
Dalam tempoh 100 hari pentadbirannya sebagai Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sangat kurang berpolitik dan jarang memberikan kenyataan politik.
Sebaliknya, beliau menumpukan lebih banyak usaha dan masa dalam menangani pandemik COVID-19 dan mendepani cabaran ekonomi negara dalam tempoh itu.
Dari segi politik, tindakannya kurang berpolitik sejak dilantik mengetuai pentadbiran negara pada 1 Mac sehingga hari ke-100 pada Selasa, dikatakan menyumbang kepada kestabilan negara walaupun terdapat beberapa drama politik dalam tempoh itu.
Sungguh pun beliau jarang keluar televisyen, tetapi aura beliau terasa tiap kali muncul, beliau membawa figura bapa-bapa, selalu ingin yang terbaik untuk keluarga walaupun ada masa ‘anak-anak’ tidak faham.
Disayangi Rakyat
Menolak tepi segala desas-desus politik yang dikatakan sedang bergolak dari dalaman sekarang, Nona berkongsi nukilan warga Facebook tentang kecintaan mereka terhadap Abah dan Mama PM Malaysia ni.
Warkah Kami buat Abah
Maaf, jika memanggil mu Abah tanda biadap,
Tiada penghormatan pangkat dan hilang adab,
Sedangkan bagi kami Pangkat Abah itu lebih besar dari PM dan Tan Sri,
Kerana nilai Abah itu lebih dekat dan bermakna bagi hati kami.
Abah,
Benar lah apa yang cerdik pandai kata,
Hukum Tuhan tidak berdiri atas akal manusia,
Tatkala perjalanan politik negara tidak tentu hala,
Kau hadir sebagai nakhoda tanpa diduga.
Abah,
Ini bukan satu kebetulan,
Bahkan ini adalah keputusan dari Tuhan,
Buat menjawab doa insan yang hilang kemampuan,
Bagi menjadi kekuatan buat menghadapi ujian di masa hadapan.
Abah,
Aku yakin kau lah jawaban doa dari Jemaah Tabligh yang teraniaya,
Jawaban tangisan umat yang derita agama dicerca,
Pengikat bagi bangsa Melayu yang berpecah,
Atas nama Islam kau hadir sebagai Rahmah.
Abah,
Mungkin terlalu awal kami melambungkan ucapan syukur terhadap kehadiran mu,
Sedangkan jalan mu dan teman seperjuangan dijanjikan orang dengan penuh liku,
Namun ketenangan mu membuat kami bersatu,
Bagi mengekalkan perpaduan Bangsa Malaysia utuh dan jitu.
Abah,
Tidak pernah kami menitiskan air mata apabila pemimpin berucap,
Kecuali satu ketika engkau berpesan kepada kami dengan wajah yang penuh mengharap,
Agar kami bersabar dan terus berdoa dengan tetap,
Dan bersama berusaha agar tetap ada hidangan di meja makan,
Buat anak dan isteri meneruskan kehidupan,
Sehingga tiba kita semua menggenggam kejayaan.
Abah,
Jangan patah hati dek fitnah,
Jangan menyesal hal yang telah punah,
Jika engkau gagah menyatukan ummah,
Kami rakyat sedia menjadi benteng walau darah kami tertumpah,
Demi agama, bangsa dan negara ini yang bertuah.
Abah,
Belum pernah pemimpin utama negara ini membaca surah,
Dalam ucapan senada penuh hikmah,
Tangan kau tadahkan membawa seluruh rakyat berdoa dengan pasrah,
Menggantungkan nasib sepenuh nya kepada Tuhan,
Allah Rabbul ‘Alamin yang Maha Pemurah.
Kredit: Facebook Azmie Bugis
This website uses cookies.