Setiap kanak-kanak perempuan di seluruh dunia pasti mempunyai memori memiliki satu patung Barbie yang menjadi teman sepermainan di zaman kanak-kanak. Patung Barbie sememangnya sinonim dengan rupa paras yang cantik dan langsing.
Pembuat mainan Mattel julung kalinya memperkenalkan Barbie versi Sindrom Down dalam usaha menjadikan rangkaian anak patungnya lebih inklusif. Sekaligus, usaha tersebut membolehkan kanak-kanak Sindrom Down bermain dengan permainan tersebut tanpa rasa berbeza dengan penampilan mereka.
Menurut Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Global Barbie & Dolls Mattel, Lisa McKnight, pihaknya menjalin kerjasama dengan Persatuan Down Sindrom Kebangsaan di Amerika Syarikat (AS) untuk menghasilkan patung yang memiliki rangka lebih pendek dan badan lebih panjang, berbanding rangkaian Barbie yang lain.
Katanya lagi, wajah anak patung baharu itu juga berbentuk bulat, selain memiliki mata bundar, telinga lebih kecil dan hidung yang pesek.
“Tapak tangan patung itu juga memiliki ciri yang sering dikaitkan dengan individu mengalami sindrom down,” katanya dalam satu kenyataan rasmi Mattel baru-baru ini.
Patung berkenaan mengenakan gaun lengan gelembung dengan motif rama-rama berona kuning dan biru yang sering dikaitkan dengan kempen kesedaran sindrom down. Setiap 21 Mac, dunia akan meraikan individu yang Sindrom Down dengan menjadikan tarikh itu sebagai Hari Sindrom Down Sedunia.
Lisa berkata, patung itu turut dihiasi rantai dengan tiga chevron ke atas yang mewakili tiga salinan kromosom ke-21 serta ortotik di buku lali dengan kedua-dua perhiasan itu dibuat dalam merah jambu.
“Matlamat kami untuk membolehkan semua kanak-kanak melihat diri mereka dalam Barbie, selain menggalakkan mereka bermain dengan patung yang seperti mereka,” katanya. –
Sumber: REUTERS
This website uses cookies.