Masalah perut buncit terutamanya di kalangan wanita sudah pasti akan mencacatkan penampilan. Lebih memburukkan keadaan apabila ada yang menegur ‘kandungan sudah berapa bulan’. Sudah tentu terbit rasa segan dan malu apabila ada yang menegur mengenai keadaan perut yang buncit itu.
Tidak kira di kalangan kanak-kanak sehingga orang dewasa, banyak faktor yang menyumbang kepada masalah perut buncit termasuk aktiviti makan secara berlebihan, peningkatan umur dan juga pengambilan makanan yang tidak seimbang.
Senaman otot perut secara teratur mungkin salah satu cara untuk mencapai matlamat mendapatkan perut yang rata. Walau bagaimanapun, terdapat perkara yang boleh membantu menjadikan perut umpama ‘papan cuci’. Salah satu cara adalah makan makanan yang boleh membantu mengawal atau membersihkan lemak dalam badan.
Nak tahu apakah makanan tersebut?
1.Makanan Bijirin
Menurut kajian, di samping diet yang sihat, mereka yang mengambil makanan biji-bijian mampu kehilangan lemak perut yang lebih berbanding mereka yang memakan biji-bijian ditapis. Ini kerana makanan biji-bijian melambatkan penyimpanan lemak di dalam tubuh. Bijirin penuh juga membantu badan berasa kurang lapar untuk tempoh lebih lama sekali gus mengurangkan tabiat mengambil makanan di antara waktu makan sepatutnya.
2.Makanan Kekacang
Benih dan kekacang mengandungi lemak mono tak tepu yang lebih mudah untuk membakar lemak semasa latihan dan aktiviti biasa berbanding jenis lemak yang lain. Atas sebab ini juga, mereka yang makan lemak mono tak tepu lebih cenderung mempunyai perut yang kecil/leper. Lemak ini juga membantu merangsang metabolisme seseorang yang sekali lagi akan membantu membakar lemak pada kadar yang lebih cepat.
3.Sayur-Sayuran Hijau
Sayur-sayuran hijau menyediakan vitamin dan mineral yang diperlukan badan. Serat dalam sayur-sayuran hijau menstabilkan gula dalam darah dan melambatkan tindak balas glisemik. Tindakan ini bekerjasama untuk menghentikan lemak daripada berkumpul di bahagian perut.
4.Protein Tanpa Lemak
Ia penting untuk membentuk otot di dalam badan. Dikenali sebagai protein lean atau juga blok bangunan untuk otot badan. Kehadiran protein ini akan mengurangkan kewujudan lemak di kawasan berkaitan. Satu lagi manfaat besar yang diperoleh daripada protein tanpa lemak adalah ia meneutralkan paras insulin di samping meningkatkan metabolisme. Antaranya adalah ikan.
5.Minyak Zaitun
Satu pilihan yang baik untuk memasak adalah menggunakan minyak zaitun kerana ia tergolong dalam lemak mono tak tepu. Dalam kajian yang dicatatkan di dalam Jurnal Pemakanan British menunjukkan bahawa produk-produk makanan seperti minyak zaitun membantu memecahkan lemak yang disimpan di dalam badan. Setelah lemak dipecahkan, lebih mudah untuk badan melepaskan dan menghapuskan lemak. Oleh itu, ganti minyak dalam diet anda yang mengandungi lemak tepu dengan minyak zaitun untuk meningkatkan kehilangan lemak perut anda. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH