Fesyen

Patutlah Ramai Yang Serbu Masuk Butik STARVILION, Rupanya Sebab ‘Tarikan’ Ni!

Jika anda ke Seksyen 7 Shah Alam, jangan lupa singgah ke butik Starvilion. Menyebut namanya sahaja pun sudah terasa gah, inikan pula berpeluang untuk memiliki koleksi fesyen inspirasi gaya selebriti terkenal tanah air yang terpilih. Butik Starvilion menjadi pilihan tepat bagi anda merealisasikan impian untuk bergaya persis selebriti pujaan. Biarpun menjadi hub fesyen jenama selebriti terkenal, butik Starvilion menawarkan harga mampu milik.

Ruang butiknya memaparkan sentuhan dramatik yang banyak bermain dengan pencahayaan sekali gus menyerlahkan aksen mewah. Setiap koleksi tersusun kemas mewakili jenama selebriti. Beberapa pembantu butiknya yang mesra pelanggan akan memberikan layanan terbaik dan profesional.

“Walaupun butik ini baru saja ditubuhkan pada 21 April lalu namun sambutan sangat baik. Kolaborasi melibatkan 14 artis serta selebriti terkenal tanah air antaranya Nora Danish yang mewakili imej profesional, classy dan mewah. Sementara Wany Hasrita mewakili stail generasi muda. Untuk kanak-kanak perempuan pula kita ada Mya Sara.

Artis-artis lain ialah Hisham Hamid, Elfira Loy, Puteri Zarith, Amira Othman, Wak Doyok, Nelydia Senrose, Zahirah Macwilson, Remy Ishak, Fazura dan Fattah Amin. Bukan sekadar busana malah koleksi tudung terkini turut ditampilkan.

Bagi memastikan material yang dipilih berkualiti, kami akan duduk berbincang bersama setiap artis dan selebriti untuk mendapatkan keputusan terbaik. Mereka akan memilih material terbaik dan selesa,” kongsi Ketua Pegawai Operasi Starvilion, Zeileen Yusnita Abd Jalil yang juga merupakan pemilik bersama suaminya iaitu Mohamad Farid Omardin. Pasangan ini juga merupakan pengasas butik Altelia Amani.

Zeileen berharap agar jenama Starvilion terus dikenali ramai bukan sekadar di Malaysia malah di luar negara kelak. Besar harapan Zeileen agar Starvilion menjadi hub fesyen ready-to-wear terulung di Malaysia seterusnya mengekalkan harga mampu milik buat para pelanggan.

 

 

IKLAN
Share